Atikah Suhaime kekok dipanggil Datin, kenang detik sukar di S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Atikah Suhaime kekok dipanggil Datin, kenang detik sukar di S’pura

Perlahankan kerjaya lakonan, kini tumpu pada niaga dan jadi ibu sepenuh masa
Feb 1, 2026 | 5:30 AM

Atikah Suhaime kekok dipanggil Datin, kenang detik sukar di S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pelakon, Atikah Suhaime, Singapura, perniagaan, business
Pelakon kelahiran Singapura, Datin Atikah Suhaime, kini perlahankan kerjaya lakonan dek komitmen menguruskan perniagaan keluarga mentua dan tanggungjawab menjadi ibu sepenuh masa. - Foto BM oleh AININ ALFIYANI JAILANI

Daripada seorang gadis biasa yang membesar dan menetap di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sekitar kejiranan Tampines, pelakon kelahiran Singapura, Atikah Suhaime, 34 tahun, kini melangkah ke fasa baru kehidupan dengan menyandang gelaran Datin.

Ini susulan beliau mengikat tali perkahwinan dengan ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh Mohd Kamal, 36 tahun, pada 21 Januari 2024.

Dalam sekelip mata, status dan corak kehidupan pelakon drama Singapura, Dikir Puteri dan Delicatessen itu berubah haluan.

Meski mengakui gelaran tersebut membawa pelbagai keistimewaan, Atikah, atau nama sebenarnya, Nur Atikah Mohd Suhaime, secara jujur berkongsi tidak semua yang datang bersama status itu membuatkannya selesa, terutama apabila gelaran tersebut mula membentuk persepsi orang terhadap dirinya.

“Bagi saya, di Singapura, orang dihormati kerana usaha dan kerja keras, bukan kerana gelaran.

“Sebagai seorang Muslim pun, saya bimbang gelaran Datin boleh membuatkan saya bagai kacang lupakan kulit.

“Sebab itu, saya lebih selesa jika tidak dipanggil Datin dalam kehidupan harian, kecuali dalam acara rasmi.

“Saya bimbang terlupa asal-usul, walaupun akui ada keistimewaan yang datang bersama status tersebut,” kata Atikah kepada Berita Minggu (BM), ketika ditemui di kafe Zus Coffee di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur, Malaysia.

Sebelum ini, beliau memulakan kerjaya lakonan di Malaysia pada 2012 dan bernaung di bawah syarikat penerbitan filem dan televisyen, Metrowealth Pictures.

Drama pertama lakonannya di negara itu ialah drama berjudul Rawan, dengan pelakon gandingan, Faralyna Idris, Erin Malek dan Fadzil Zahari.

Ini disusuli filem komedi gelap pada 2013, Lagenda Budak Hostel.

Atikah turut mengenang detik-detik menempuh onak dan duri kehidupan, yang membentuk kekuatan serta kematangan dirinya kini.

Pada masa sama, nilai disiplin dalam usaha mencapai kejayaan menjadi tonggak utama dalam cara beliau mendidik anak perempuannya, Lyla Mulan Teh Lokman Teh, yang baru berusia setahun.

“Saya membesar dalam keadaan serba kekurangan, jadi saya biasa hidup susah dan sering bimbang tentang masa depan.

“Berbeza dengan suami yang sejak kecil hidup senang, trauma kekurangan itu membuatkan saya mahu membina sesuatu untuk anak kami dan mendidiknya dengan penuh disiplin.

“Saya tak mahu dia terlalu selesa, sebaliknya faham nilai usaha dan tidak menerima segalanya dengan mudah,” ujarnya, yang merupakan lulusan Diploma Komunikasi dan Media Digital dari Politeknik Singapura (SP).

Salah satu fasa paling mencabar dalam hidupnya yang masih segar dalam ingatan berlaku pada 2016, apabila peluang lakonan mula berkurangan.

Ketika itu, Atikah turut mengalami kemurungan dan terpaksa bekerja sebagai pentadbir di Singapura, sambil mengamalkan diet vegetarian (tidak makan daging).

“Pada waktu itu, saya beralih kepada diet vegetarian kerana sedang mengalami kemurungan.

“Kerjaya lakonan tidak mudah. Kadang-kadang saya kehilangan tawaran, dan kerana itu, saya terpaksa pulang ke Singapura untuk bekerja sebagai pentadbir.

“Tekanan untuk menanggung keluarga dan mengekalkan kerjaya membuatkan saya berasa sangat tertekan.

“Dengan mengamalkan diet vegetarian, secara perlahan-lahan, kemurungan saya mula reda.

“Saya dah tak rasa hilang kawalan atau mudah marah tanpa sebab,” cerita pelakon filem Indonesia, My Stupid Boss dan My Stupid Boss 2 itu.

Sebaliknya kini, setelah menjadi seorang ibu, Atikah memilih untuk memperlahankan langkah dalam dunia lakonan bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab membesarkan Mulan.

“Saya masih berlakon, dan memang merindui dunia lakonan kerana ia cara terbaik untuk saya mengekspresikan diri.

“Namun, lakonan juga memerlukan banyak masa dan komitmen.

“Ada kalanya, kontrak lakonan mengikat saya selama sebulan atau dua bulan.

“Sebab itu, saya berhenti seketika selepas dikurniakan cahaya mata dan terlibat dengan bisnes keluarga, terutamanya jenama mentua saya kerana tak boleh begitu sahaja mengabaikannya.

“Walaupun begitu, rasa rindu terhadap lakonan tetap ada,” kongsi Atikah, yang kini membantu menguruskan jenama perintis ubat gigi dan barangan mandian halal Malaysia, Zaitun, yang juga milik bapa mentuanya, Datuk Seri Mohd Kamal.

Di samping itu, dirinya turut menjadi duta bagi jenama produk penjagaan rambut, Angry Koala.

Bagi mengubat rindu terhadap dunia lakonan, Atikah berkata beliau bakal kembali sibuk dengan penggambaran filem bersiri Indonesia, My Stupid Boss 3, dalam masa terdekat.

Dengan komitmennya kini, beliau perlu merancang jadual dan membuat persediaan awal supaya tanggungjawab sebagai ibu sekali gus wanita berkerjaya dapat dijalankan dengan lancar.

Melalui laman Instagram miliknya, Atikah juga tidak segan berkongsi detik manis bersama adik iparnya, Amir Teh, 26 tahun, yang mengalami Sindrom Down.

Gelagat lucu Amir membuatkan Atikah tersentuh, lebih-lebih lagi melihat keprihatinan dan kasih sayang yang ditunjukkan Amir terhadap anaknya, Mulan.

“Amir seperti malaikat pelindung bagi kami, walaupun masih bersikap keanak-anakan.

“Beliau menjaga Mulan dengan sangat baik dan penuh perhatian.

“Bagi saya, sifat prihatin dan kasih sayang itu wujud secara semula jadi dalam manusia, tak kira ada Sindrom Down atau tidak.

“Bahkan, kadang-kadang kita yang ‘normal’ ini sahaja yang lupa untuk mengambil berat terhadap orang sekeliling,” ujar Atikah penuh keprihatinan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg