Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sasqia Dahuri tidak kekok belanja di Pasar Tekka, berbasikal di S’pura 

Pelakon asal M’sia kembali ke kaca televisyen, selesa bekerja dengan kru penerbitan ‘Keranamu Khadijah’ 
Sep 28, 2025 | 5:30 AM
Sasqia Dahuri, Keranamu Khadijah, pelakon malaysia
Pelakon asal Malaysia, Sasqia Dahuri, selesa menetap di Singapura dan telah memulakan beberapa hobi baru termasuk memasak dan berbasikal. - Foto INSTAGRAM SASQIA DAHURI/ EL MANDA ZUHAIRY

Setelah menetap di Singapura sejak 2020, pelakon asal Malaysia, Sasqia Dahuri, telah memulakan beberapa hobi baru termasuk berbasikal dan memasak – sesuatu yang beliau tidak pernah lakukan di tanah airnya. 

“Saya suka meneroka tempat baru di Singapura, jadi saya telah membeli basikal untuk berkunjung ke pelbagai tempat tidak kira kafe, pasar atau hanya sekadar bersiar-siar di taman.

“Saya sering bangun awal dan suka bersenam pada waktu pagi.

“Kadangkala saya akan berbasikal ke Pasar Tekka untuk melihat pelbagai sayuran segar yang berpatutan dan boleh digunakan sebagai bahan dalam masakan. 

“Seperti ‘rambang mata’ kerana bahan seperti bunga kantan agak sukar untuk didapati di pasar raya. Kalau dah jumpa, mesti beli lebih untuk simpan di dalam peti ais.

“Mujur, basikal saya ada bakul di depan untuk saya letak barangan pasar itu,” kongsinya kepada Berita Minggu (BM) semasa satu sesi wawancara melalui Zoom. 

Terdahulu, Sasqia, atau nama sebenarnya, Nurlisasqia Ahmad Dahuri, berkahwin dengan ejen hartanah tempatan, Asyraff Khan, pada Disember 2018, namun masih berulang-alik antara Kuala Lumpur dengan Singapura disebabkan kerjaya lakonannya. 

Selain suka berbasikal, Sasqia turut bersyukur dapat meluangkan lebih masa bagi senaman dengan menyertai pelbagai kelas ‘pilates’ (senaman otot) dan kelas ‘spin’ (mengayuh basikal tidak bergerak) di Singapura. 

Beliau turut jatuh cinta dengan bidang masakan sejak berpindah ke Kota Singa. 

“Saya mula berjinak-jinak memasak dengan mencuba resipi yang saya lihat di media sosial semasa pemutus litar Covid-19. 

“Kini, saya suka memasak hidangan Kelantan, Thai, Barat dan apa saja hidangan yang suami saya inginkan,” ceritanya yang sempat membuka gerai makanan Kelate.sg pada 2021, namun menutupnya selepas setahun disebabkan cabaran mendapatkan pekerja. 

Mengulas mengenai penutupan gerai makanannya, Sasqia, 40 tahun, berkata ia merupakan pengalaman yang baik dan beliau bersyukur dapat berkongsi dengan warga Singapura mengenai masakan asli Kelantan. 

“Sejujurnya, ibu bapa saya agak terkejut apabila mereka mengetahui yang saya ingin membuka gerai makanan kerana saya tidak pernah masak untuk mereka apabila di Malaysia.

“Membuka perniagaan pasti ada cabarannya. Memasak untuk satu dua orang berbeza dengan memasak untuk 400 pelanggan. 

“Namun saya bersyukur kerana perniagaan itu membuat saya lebih menghargai budaya Kelantan dan mempelajari resipi keluarga saya. 

“Buat masa ini, saya tidak ada perancangan untuk membuka semula jenama itu, namun kita tidak tahu apa yang mungkin berlaku pada masa hadapan,” kongsi Sasqia. 

Minatnya dalam bidang memasak turut memberinya idea untuk menerbitkan rancangan memasak, Rahsia Rasa, pada 2021 sebagai projek pertama di bawah syarikatnya, Stelo Infotainment. 

Walaupun tidak begitu aktif dalam bidang lakonan dan lebih memberi tumpuan pada bidang penerbitan kini, Sasqia telah menerima tawaran lakonan daripada syarikat penerbitan Singapura, Poetry In Motion, untuk menjayakan watak antagonis, Lina, dalam drama Keranamu Khadijah. 

Drama 13 episod dengan tema kekeluargaan itu turut dibintangi Farhana M Noor, Syarif, Fir Rahman, Shenty Feliziana, Junaidi Sali dan Jasmani Basri.

“Sejak berada di Singapura, lakonan tidak menjadi fokus utama saya. Namun, saya tetap meminatinya. 

“Saya menerima lamaran daripada pihak Poetry In Motion kerana diberitahu salah seorang pengarah bagi projek ini ialah Abang Faisal Ishak. 

“Walaupun beliau sering mengarah drama dan filem di Malaysia, saya tidak berkesempatan untuk bekerja dengannya,” ujar Sasqia, yang dikenali menerusi filem, Misteri Dilaila dan drama Lara Aishah

Sasqia pernah membintangi telefilem seram tempatan, Damia The Movie, pada 2018 dan bergandingan dengan pelakon Malaysia, Aiman Hakim Ridza serta pelakon Singapura, Atikah Suhaime dan Ateeqah Mazlan. 

Berkongsi pengalaman bekerja dengan kru penerbitan dan pelakon Singapura bagi projek terkininya, Sasqia berkata beliau sangat selesa dan bersyukur dapat bergandingan dengan pelakon veteran.

“Saya seronok mendengar pengalaman lakonan Abang Jasmani yang boleh dikirakan ‘legend’ dalam industri lakonan Singapura.

“Saya rasa tidak ada masalah bekerja dengan sesiapa kerana kalau di Malaysia pun, kami akan bekerja dengan kru penerbitan dan pelakon yang berbeza setiap kali memulakan naskhah baru.

“Saya bersyukur dapat menimba ilmu daripada Abang Faisal, Abang Izzat Yusof, dan pelakon-pelakon yang sangat membantu semasa di set penggambaran. 

“Ia ilmu yang saya juga boleh terapkan semasa menerbitkan rancangan saya sendiri,” kongsinya yang turut menjadi penerbit dan pelakon bagi filem, Tafakur, yang merupakan kerjasama syarikatnya dan Feisk Productions.

Ditanya mengenai nasihat bagi mereka yang ingin menceburi bidang seni dan ingin menempa nama di luar negara, Sasqia berkata mereka harus bekerja keras dan tidak takut untuk bertanya. 

“Bagi rancangan pertama saya, Rahsia Rasa, saya tidak sangka jenama pinggan mangkuk terkenal dan jenama periuk antarabangsa setuju untuk bekerjasama dengan saya. 

“Saya rasa mereka tidak harus gentar dan sentiasa belajar daripada kru penerbitan kerana mereka mempunyai ilmu berharga bagi anak muda yang ingin berjaya dalam bidang seni,” tambahnya. 

Drama 13 episod, ‘Keranamu Khadijah’, boleh ditonton di saluran Mediacorp Suria setiap Isnin hingga Khamis, 9.30 malam dan menerusi aplikasi mewatch.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg