KUALA LUMPUR: Meskipun pernah mengumumkan pembubaran kumpulan itu sekitar 2018, ternyata aura gergasi trio adik-beradik, KRU masih utuh.
Masakan tidak, seramai 18,000 peminat membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu dan Ahad lalu bagi menyaksikan Konsert GenKRU yang membuktikan mereka masih ‘terhangat di pasaran’.
Kemunculan Datuk Norman Abdul Halim dan adiknya, Datuk Yusry serta Edry tepat 9 malam mengundang sorakan gegak-gempita, menambah lambang bahawa mereka antara gergasi industri seni yang tetap mempunyai kelompok peminat tersendiri.
Tidak sekadar membuat persembahan di atas pentas, KRU mengambil kesempatan turun pentas dan mengadakan persembahan di tengah-tengah Axiata Arena.
Walaupun masing-masing sudah berusia 53, 51 dan 49 tahun, namun tenaga yang dipersembahkan tiga figura itu cukup mengagumkan.
Mereka membuka pentas dengan lagu hits, Fanatik, Malam Kita dan Ooh La La, secara tidak langsung menaikkan lagi adrenalin peminat yang sudah hadir sejak petang.
“Tak sangka, kita (KRU) dah 33 tahun dalam industri, kita masih lagi boleh buat persembahan besar macam ini.
“Terima kasih banyak kerana bagi sokongan padu kepada kami.
“Nombor 33 itu agak signifikan buat kami – usia 33 tahun KRU, tiga orang ahli dan kita adakan konsert ini selama tiga malam di Axiata Arena, alhamdulillah,” ujar Norman sebaik selesai menyampaikan tiga buah lagu tersebut.
Tidak membiarkan peminat hanyut, KRU terus menyampaikan beberapa lagu hits mereka seperti Babe, Untukmu (lagu asal Feminin), Janji Kita, Di Dalam Dilema, 2 dan Bidadari.
Kemunculan penyanyi, Adam menjadi salah satu elemen kejutan yang tidak dijangka.
Dalam kerancakan itu, KRU memberi kejutan dan sekali gus merealisasikan permintaan peminat yang mahu melihat kumpulan itu dan Adam bergandingan di satu pentas besar menyanyikan lagu popular mereka, Terhangat Di Pasaran, sehingga mengundang sorakan seluruh arena.
Trio itu kemudiannya menyentuh emosi peminat apabila menyanyikan lagu Perpisahan Terasing secara duet maya dengan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, diiringi visual di layar gergasi sebagai penghormatan istimewa buat legenda seni tanah air itu.
Kejutan itu tidak berakhir di situ apabila Norman, Yusry dan Edry bertindak turun ke pentas saat menyampaikan lagu Dekat Padamu diikuti lagu Wanita dan Apa Saja di tengah-tengah Axiata Arena.
Malam konsert mereka bertambah hangat dengan kemunculan artis pertama yang bernaung di bawah KRU iaitu kumpulan Elite, yang turut menyampaikan lagu Di Pintu Syurga.
Elite juga sempat mengimbau nostalgia menerusi tarian ikonik mereka.
Tidak hanya mendendangkan lagu-lagu sendiri, KRU turut mempersembahkan secara medley lagu ciptaan mereka yang dinyanyikan oleh artis lain seperti Sedetik Lebih (Anuar Zain), Separuh Masa (The Lima), Romancita (Mojo) dan Hi Hi Bye Bye (Ezlynn), yang diberi sentuhan baru.
KRU turut menyanyikan dua single baru Vodoo dan One More Time daripada album terbaru mereka berjudul Kaset, yang turut dilancarkan pada malam itu.
Konsert ditutup menerusi lagu Mengerti, Jangan Lafazkan dan Awas.
Walaupun sudah tiga jam berlangsung, tenaga KRU dan peminat yang hadir bagai bersatu apabila penonton mula berdiri, menyanyi dan menari bersama.
Selepas menghiburkan peminat dua malam berturut-turut pada Sabtu dan Ahad, Konsert GenKRU akan diteruskan pada 10 Mei ini sebagai persembahan ketiga dan terakhir untuk peminat tempatan, sebelum ke Singapura pada 28 Jun depan.
Konsert anjuran Icon Entertainment itu turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan isterinya; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; serta barisan artis popular tanah air antaranya Sherry Al Hadad, Fasha Sandha, Aidil Aziz dan Aedy Ashraf. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg