Bekerjalah dengan sepenuh hati tanpa mengharapkan sebarang pujian atau anugerah.
Itulah kata-kata yang menjadi sandaran bagi penyiar stesen radio Warna 942, Aura Shai.
Bermula sebagai deejay sambilan di stesen tersebut, Shai yang sudah menceburi bidang penyiaran radio secara sepenuh masa selama 20 tahun, memang dikenali bak pejuang bakat seni muzik tempatan.
Berkat segala usahanya, Shai atau nama sebenarnya, Shaidatunniza Mahmood, 40-an tahun, diiktiraf sebagai penerima Anugerah Penaung Muzik oleh Persatuan Perlindungan Hak Cipta dan Penggubah Singapura (Compass) 2025.
Menyifatkan pengiktirafan itu bak bulan jatuh ke riba dan satu pencapaian yang tidak disangka-sangka, Shai ketika dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom, berkata:
“Saya terasa begitu kecil apabila menerima anugerah ini. Sejujurnya, dalam setiap tugasan dan usaha yang saya lakukan, saya tidak pernah mengharapkan sebarang pengiktirafan.
“Saya masih memegang teguh kata-kata seorang insan yang banyak membimbing saya iaitu, Zakiah Halim.
“Beliau berkata, ‘Jangan mengharapkan apa-apa ganjaran dalam apa jua yang kita lakukan’.
“Saya hanya memberikan yang terbaik dalam setiap program serta menunaikan amanah. Namun, apabila diberi anugerah, alhamdulillah, itu adalah bonus yang tidak dijangka.”
Di samping berusaha mencari ruang untuk mengetengahkan insan seni di corong radio, Shai yang menerima anugerah itu di Sands Grand Ballroom, Marina Bay Sands (MBS), pada 28 September, turut terlibat dalam mengacarakan pelbagai majlis di luar studio melibatkan anak seni Singapura.
Penerima Anugerah Penaung Muzik oleh Compass itu adalah hasil pencalonan daripada mereka dalam industri. Ia kemudian melalui jawatankuasa yang menilai calon yang menyumbang dalam menyemarakkan industri muzik Singapura.
Menurut Shai, di antara program yang pernah beliau usahakan bersama ketika di RIA897 termasuk Anugerah Planet Muzik (APM), Singa Maksima Live, SG Akustik Live, Projek Rentak, dan Serbu Sekolah.
Bagi Serbu Sekolah, beliau malah turut membawa artis Singapura ke sekolah-sekolah.
Mengenang kembali detik-detik menguruskan acara gah Nusantara APM, selaku penerbit sepanjang tempoh 13 tahun – antara 2005 dengan 2018 – Shai akur amanah yang digalas untuk mengetengahkan bakat anak seni Singapura di peringkat serantau tidak semudah yang disangka.
“Meskipun APM kadangkala menerima kecaman daripada orang luar, mereka tidak menyedari betapa besarnya usaha dan komitmen yang kami curahkan untuk memperkenalkan serta mengetengahkan bakat-bakat Singapura di persada Nusantara.
“Setiap keputusan memilih artis bukanlah mudah dan kami tidak sesuka hati menampilkan sesiapa sahaja kerana mahu memastikan bakat tempatan dihormati dan tidak dipandang rendah di mata Malaysia, Indonesia, dan juga Brunei.
“Amanah ini sangat berat, dan kritikan seperti, ‘asyik-asyik muka yang sama’ sering diterima.
“Namun, itulah yang menjadi pembakar semangat bagi artis tempatan untuk terus membuktikan kemampuan mereka di tahap serantau.
“Walaupun benar, ada kalanya yang disorot bakat-bakat yang sudah dikenali, tetapi orang ramai jarang menyedari kerja keras, perancangan rapi, dan pengorbanan yang berlaku di belakang tabir,” kata Shai yang juga ibu dua anak berusia 18 tahun dan 20 tahun – kededua masih menuntut di institut pengajian tinggi.
Antara usaha yang Shai perjuangkan, dengan persetujuan pihak pengurusan ketika itu, adalah memberi peluang kepada artis Singapura menonjolkan bakat melalui persembahan di sidang media APM, yang turut diadakan di Malaysia dan Indonesia.
Meskipun usaha itu tampak kecil, ia ternyata memberi kesan positif, khususnya membantu artis Singapura menjalin rangkaian hubungan dengan rakan artis, penggubah lagu, mahupun syarikat rakaman dan label di Malaysia serta Indonesia.
Beberapa artis tempatan yang pernah diketengahkan melalui inisiatif itu termasuk Aisyah Aziz, Ryan Sufiyan, Sufi Rashid, Art Fazil, Aliff Aziz, Awi Rafael, Farhan Shah dan kumpulan rok, Audionauts.
Di samping itu, Shai menambah APM turut menyediakan peluang bagi bakat Singapura bekerjasama dan berkongsi pengalaman dengan artis dari rantau ini.
Salah satu contoh kerjasama serantau yang berjaya melibatkan Singapore Idol, Taufik Batisah, menghasilkan karya bersama penyanyi ternama Indonesia, Rossa dan Afgan.
Pada 2012, Taufik melancarkan lagu duet bersama Rossa berjudul, Aku Bersahaja, dan seterusnya menulis lagu, Knock Me Out, nyanyian Afgan pada 2015.
Shai juga tidak mampu membendung air mata ketika diminta berkongsi kata-kata penghargaan yang diberikan rakan artis sebaik sahaja menerima anugerah tersebut.
“Ada yang berkata, ‘Terima kasih kerana memberi sokongan sejak hari pertama, ketika nama kami belum begitu dikenali’.
“Saya benar-benar terharu kerana dihargai sebegitu, meskipun saya tidak pernah meminta atau menyangka mereka masih mengingati detik-detik awal bersama dulu,” ujarnya.
Apabila ditanya mengenai anak seni Singapura yang paling membanggakan, Shai yang kini mengendali Warna Vista dari Isnin hingga Jumaat mulai 10 pagi hingga 2 petang, mengakui sukar untuk membuat pilihan.
Namun, penyanyi berkulit hitam manis, Izat Ibrahim, yang kini merupakan salah seorang anggota kumpulan ‘boyband’ Malaysia, Alpha, terlintas di fikirannya.
“Saya sangat bangga dengan pencapaian Izat kini. Saya sudah mengikuti perjalanannya sejak beliau berambut dreadlock (gaya rambut pilinan) lagi.
“Ketika Izat melancarkan single pertama, Tiada Gunanya (2018), karya itu sebenarnya sudah mendahului zaman.
“Jika didengarkan pada ketika itu, lagunya kedengaran berbeza, namun, apabila dinikmati sekarang, ia terasa sangat segar dan seiring dengan arus semasa.
“Saya berharap beliau berjaya dengan kumpulan Alpha,” tambah Shai.
Bagi bakat muda pula, Shai menekankan pentingnya membina dan menjaga jenama peribadi, demi memastikan kelangsungan kerjaya dalam industri muzik yang penuh pasang surutnya.
“Bakat seni tempatan perlu lebih serius dalam membina jenama serta menata kerjaya dalam bidang seni suara – ibarat kita mencari peluang kerja, setiap langkah harus dirancang dan disusun dengan teliti.
“Artis juga perlu ada rekod teratur tentang lagu-lagu mereka.
“Bila hantar lagu untuk dimainkan di radio, jangan sekadar hantar, tetapi jelaskan juga kenapa lagu itu wajar dimainkan.
“Selain itu, anak seni juga digalakkan membina jaringan hubungan dengan orang lain seindustri supaya lebih banyak peluang terbuka untuk saling bekerjasama,” nasihat Shai. – AININ ALFIYANI JAILANI
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg