KUALA LUMPUR: Datuk Awie mendakwa ada penganjur konsert membuat keuntungan ‘atas angin’ dengan ‘menjual’ slot tempahan premis acara kepada pihak lain dengan harga yang lebih tinggi.
Awie yang mempunyai pengalaman mementaskan beberapa siri konsert terutama untuk kumpulan Wings menyifatkan tindakan tidak beretika itu menyukarkan pihak lain, apatah lagi, premis untuk mementaskan konsert terutama di ibu negara adalah terhad, lapor Berita Harian Malaysia.
“Kita minta kepada penganjur acara atau konsert ikhlas.
“Usah ambil kesempatan dengan membuat tempahan lokasi untuk sesuatu tarikh dan kemudiannya, jual kepada pihak lain dengan harga lebih tinggi.
“Ambil untung atas angin tidak bagus. Sebagai penganjur konsert, kalau diikutkan, saya boleh buat benda sama, tetapi untuk apa?
“Saya dan rakan kongsi lebih suka berbincang sebelum buat sesuatu.
“Kita tidak mahu ‘lock’ (tetapkan tarikh) secara tidak tentu pasal dan buat ‘show’ bukan-bukan.
“Kepada penganjur konsert, bersikap jujurlah.
“Ada konsert, baru buat tempahan, tetapi kalau tidak ada konsert, jangan main ‘lock’ sahaja.
“Lokasi konsert sangat terhad di Malaysia,” katanya yang ditemui pada sidang media Konsert Jelajah Rockology 2025 di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di sini, pada Isnin.
Berlangsung di dua lokasi utama, iaitu di Midtown Perda, Pulau Pinang, pada 21 Jun depan disusuli di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor pada 5 Julai, Konsert Jelajah Rockology 2025 bakal menyaksikan dua legenda rock iaitu Awie dan Search KidDin bergabung membuat persembahan.
Awie yang juga vokalis kumpulan Wings berharap pemilik ruang acara atau lokasi membuat saringan terperinci bagi memastikan penganjur konsert tidak mengambil kesempatan hingga menyusahkan banyak pihak.
“Kita tidak mahulah menyalahkan pihak pengurusan lokasi acara ini kerana mereka berniaga.
“Cuma kalau boleh, tapis dahululah.
“Periksa betul-betul permohonan mereka. Situasi ini berlaku pada kami hingga akhirnya terpaksa bawa diri dan cari lokasi lain iaitu di luar Kuala Lumpur.
“Kebetulan ada permintaan yang mahukan kami buat persembahan di sana, jadi kita jalan teruslah,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg