Topik diikuti
Pergi ke BHkuAwie tetap sempurnakan konsert walau alami sakit tekak yang perit
Awie tetap sempurnakan konsert walau alami sakit tekak yang perit
Biarpun dibelenggu masalah sakit tekak, penyanyi rok legenda Malaysia, Datuk Awie, 58 tahun, tetap meneruskan persembahan sehingga lagu terakhir.
Semangat luar biasa yang ditonjolkan Awie sewaktu konsert solo Awie Rock King – Last Man Standing 2026 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, mengagumkan kira-kira 20,000 penonton yang hadir, pada malam 12 September.
Sebelum menyanyikan lagu Ingatkan Dia dan bergandingan dengan Akim Ahmad, Awie sempat memberitahu peminat mengenai masalah kesihatan yang dihadapinya.
“Cuaca jerebu agak teruk menyebabkan saya kena bronkitis (keradangan) kali kedua. Apa pun show must go on (mesti diteruskan),” katanya sambil disambut tepukan bergemuruh penonton.
Vokalis Wings itu berusaha menghiburkan peminat walaupun ada ketika suaranya kedengaran serak, malah ada beberapa ketika dia memegang bahagian tekaknya yang memberi gambaran keperitan dialami.
Melihat situasi tersebut, ada penonton berasa risau dengan keadaan Awie kerana bimbangkan keadaannya lebih teruk.
“Berat sungguh dugaan kali ini. Apa pun saya pasrah, kita teruskan juga dengan apa daya yang ada, insya-Allah kita habiskan juga dengan baik malam ini. Doa-doakan,” katanya dalam laman Harian Metro.
Sewaktu konsert tersebut, Awie menyampaikan 36 buah lagu yang dibahagikan kepada lima segmen iaitu Kita Bersama, Legasiku, Cinta Dan Filem, Tribute: Last Man Standing (Don’t Forget) dan Tribute To Anak Seni Yang Telah Tiada.
Kesemua persembahan itu menampilkan pemuzik profesional berbeza sebagai pengiring dengan segmen kelima yang juga segmen terakhir, menampilkan Awie bersama kumpulan Wings.
Barisan pemuzik termasuk Man Kidal, Eddie XPDC, Muzza, Pacai Ekamatra, Addy Cradle, Yan Lefthanded, Shah Slam, Naimi Daini, Fly Halizor, Ritz Metalasia turut hadir untuk memeriahkan persembahan itu.
Mereka diketuai oleh pemain gitar terkenal Aznan Alias yang berperanan sebagai pengarah persembahan.
Selain itu, artis lain yang membuat penampilan pada konsert tersebut ialah Datuk Hattan, Erra Fazira, Hannah Delisha, Putra Ahmad Merrah, Amir Masdi, Stacy dan Black Hanifah.
Antara lagu yang dinyanyikan ialah, Sayap Ilusi, Mata Hati Jiwa, Tiada Rahsia Antara Kita, Di Bayang Awan, Sejati dan banyak lagi.
Lebih istimewa lagi, Awie turut menyanyikan lagu terbaharu ciptaannya berjudul Maharaniku sebagai hadiah buat isterinya, Datin Sharifah Ladyana sempena ulang tahun perkahwinan ke-10 mereka.
Dalam pada meraikan waktu yang gembira, Awie tetap tidak meminggirkan perjuangan rakyat Palestin apabila berduet dengan Amir Masdi menerusi lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur (nyanyian asal Search) dalam Tribute: Last Man Standing (Don’t Forget).