KUALA LUMPUR: Selepas lebih empat dekad menggegarkan industri muzik tempatan, kumpulan rock legenda, Wings, masih belum menunjukkan tanda mahu memperlahankan langkah apabila terus ligat menyusun konsert serta merancang menghasilkan dua album baru secara serentak pada 2026.

Belum reda fenomena Konsert Orang Kita di Zepp Kuala Lumpur, Januari lalu, Wings bakal menggegarkan pentas menerusi Wings Sunday Night Live di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur di ibu negara, pada 5 Julai depan sebelum meneruskan persembahan di Hard Rock Cafe Melaka, seminggu selepas itu.

Kumpulan legenda tersebut juga bakal mencipta sejarah apabila bergabung bersama Search dan XPDC menerusi Konsert 3 Veto di Megastar Arena Kuala Lumpur di Bukit Bintang pada 1 Ogos.

Konsert itu dijangka mengembalikan nostalgia kegemilangan muzik rok era 1980-an dan 1990-an menerusi rangkaian lagu hit serta persembahan bertenaga yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Vokalis Wings, Datuk Awie, atau Ahmad Azhar Othman, 58 tahun, berkata peluang yang hadir dianggap sebagai rezeki yang tidak harus dipersiakan selagi mereka masih mempunyai kudrat untuk terus berkarya dan menghiburkan peminat.

“Rezeki yang sudah diberikan kepada kita jangan ditolak. Kalau ikutkan umur memang rasa penat.

“Dahulu ketika zaman kegemilangan, lagi teruk. Sebulan kami boleh buat 24 persembahan ‘fun fair’, bangun tidur terus sambung persembahan sampai bawa balik duit dalam guni.

“Sekarang kami lebih pilih persembahan yang mahu dibuat, tetapi, alhamdulillah rezeki Wings masih bertahan selama 41 tahun,” katanya pada sidang media Wings Sunday Night Live di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.

Menurut Awie, perjuangan Wings disifatkan baru bermula terutama selepas kemasukan dua anggota baru iaitu Ilham dan Pae.

“Sebenarnya perjuangan Wings baru bermula. Kami merancang dengan sangat berhati-hati daripada segi susunan lagu dan konsep supaya persembahan tidak gagal.

“Kalau boleh bertahan 10 tahun lagi, alhamdulillah,” katanya.

Mengulas dakwaan segelintir pihak yang menganggap Wings terlalu mengejar persembahan atau tamak, Awie berkata semua itu adalah tanggungjawab yang perlu dipikul demi keluarga serta memastikan kebajikan anggota kumpulan terus terjaga.

“Buat album di Malaysia bukan seperti di Amerika Syarikat. Di sini belum tentu ada duit dalam poket.

“Jadi, kami kena terus berusaha selagi mampu dan rebut setiap peluang yang ada. Alhamdulillah kami ada tanggungjawab yang perlu dipikul. Ada anak dan isteri.

“Ada orang kata kami tamak? Kalau mereka mahu tanggung isteri kami, bolehlah cakap macam itu,” katanya berseloroh.

Awie mengakui Wings tertarik mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe kerana mahu tampil dalam suasana lebih santai dan dekat dengan peminat.

“Kami suka konsep intim seperti ini. Penonton boleh makan, santai dan berinteraksi secara dekat.

“Kadang-kadang persembahan berskala kecil begini lebih memberi kepuasan.

“Selain itu, kos lebih terkawal untuk tujuan promosi dan kolaborasi jenama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wings tuberkongsi berita gembira apabila dalam proses menyiapkan dua album baru secara serentak, sesuatu yang jarang dilakukan kumpulan muzik tempatan.

Menurut Awie, idea asalnya hanya mahu menghasilkan sebuah album, namun, proses kreatif yang berkembang membuka ruang untuk mereka tampil dengan dua karya berbeza.

“Pada mulanya, kami mahu buat satu album sahaja. Tetapi apabila difikirkan semula, kami terus hasilkan satu lagi untuk sasaran pasaran berbeza daripada apa yang dilakukan Datuk M Nasir.

“Semua anggota bersetuju dan kami lantik Edrie Hashim sebagai pengarah muzik serta penerbit album.

“Kami mahu buat eksperimen sebab rasanya belum ada lagi band di Malaysia yang keluarkan dua album serentak.

“Insya-Allah, tahun ini (2026) kami akan tampil dengan dua album iaitu satu terbitan M Nasir dan satu lagi hasil tangan Edrie,” katanya.

Bagaimanapun, Awie menegaskan mereka tidak mahu terburu-buru menyiapkan album berkenaan semata-mata mahu mengejar tarikh pelancaran.

Awie berkata faktor keselesaan dan keserasian ketika berkarya lebih penting supaya setiap lagu yang dihasilkan benar-benar memberi kepuasan kepada anggota kumpulan dan peminat.

“Kami mahu hasilkan lagu yang apabila orang dengar, mereka gembira dan kami puas menyanyikannya di pentas nanti,” katanya.