Wings sedia teroka hala tuju muzik lebih segar
KUALA LUMPUR: Selepas lebih empat dekad mengukir nama dalam industri muzik Malaysia, kumpulan rok legenda, Wings, bersedia membuka lembaran baru dengan meneroka hala tuju muzik lebih segar.
Ia seiring penyertaan dua anggota baru kumpulan itu, Ilham dan Pae.
Vokalisnya, Datuk Awie, berkata pembaruan itu perlu bagi memastikan Wings terus kekal relevan, namun identiti serta ‘trademark’, atau ciri khas, kumpulan berkenaan tetap dipertahankan.
“Bagi kami, Wings perlu berani keluar daripada kepompong lama. Namun, ‘trademark’ yang menjadi identiti Wings masih kekal, termasuk cara nyanyian saya kerana itu sukar untuk diubah.
“Pembaharuan Wings dilakukan melalui penstrukturan semula hala tuju muzik. Dengan kehadiran dua anggota baru, kita sama-sama lihat bagaimana perkembangan dan hala tuju kumpulan selepas ini.
“Langkah ini juga penting bagi memastikan Wings kekal relevan. Kita perlu mengikut arus persada muzik semasa dan memahami apa yang diinginkan golongan remaja,” katanya pada sidang media konsert Wings Orang Kita yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, pada 30 Januari.
Menurut Awie, pembaharuan itu turut dilakukan kerana Wings tidak mahu dilihat terlalu selesa atau ‘syok sendiri’.
Katanya, kumpulan itu perlu memikirkan kehendak masyarakat, bukan hanya mengikut selera dan cita rasa sendiri.
“Apa yang golongan remaja mahukan, itulah yang perlu diambil kira dalam pembikinan album akan datang.
“Wings tidak boleh kekal syok sendiri kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
“Jika Wings mahu menghasilkan sesuatu, kita perlu fikirkan kehendak mereka terlebih dahulu, kemudian barulah buat apa yang dirasakan sesuai,” katanya, menurut laporan Berita Harian Malaysia (BHM).
Pembaruan berkenaan akan dipersembahkan kepada peminat menerusi konsert Wings Orang Kita, apabila kumpulan itu bakal mempersembahkan empat lagu baru dalam salah satu segmen khas.
Persembahan lagu baru itu juga menjadi simbolik kepada penyertaan rasmi Ilham dan Pae sebagai anggota Wings, selain disertai majlis memeterai perjanjian pada malam konsert berkenaan.
Mahu fokus menyanyi
Bagi mengukuhkan lagi hala tuju muzik kumpulan itu, Awie turut melantik Edrie Hashim sebagai pengarah muzik Wings.
Menurut Awie, Edrie akan bertanggungjawab menguruskan keseluruhan aspek berkaitan muzik kumpulan itu.
“Saya melantik Edrie kerana selama 36 tahun, semua perkara berkaitan muzik saya uruskan seorang diri.
“Kini tiba masanya untuk saya serahkan tanggungjawab itu kepada individu yang mempunyai kredibiliti dan pengetahuan.
“Saya mahu fokus menyanyi sahaja dan lebih relaks. Saya tidak mahu lagi memikirkan susunan muzik. Semua saya serahkan kepada Edrie,” katanya.
Menyentuh pembikinan album baru yang dijadualkan bermula pada Ramadan ini, Awie berkata Wings kini memiliki 18 lagu dan masih mencari 10 lagi untuk dimuatkan dalam dua album.
Katanya, dua album itu akan diterbitkan oleh Datuk M Nasir, manakala sebuah lagi diterbitkan oleh Edrie Hashim bersama Wings.
“Kesemua 18 lagu yang sudah ada akan disusun semula,” katanya.
Rakaman kededua album itu pula akan dibuat di Indonesia dan Australia.
“Saya ada dua studio sendiri, bukannya tidak boleh buat rakaman di situ. Namun, apabila bercakap soal seni, kita mencari kepuasan.
“Apa jua kerja yang dilakukan perlu ada rasa puas. Sebab itu saya memilih studio lain, selain mahu mencipta momen bersama ahli kumpulan.
“Sebelum ini saya pernah merakam dua album di hotel, antaranya Menakluk Kosmos. Bila berubah suasana, kita akan dapat ketenangan,” katanya.
Sebelum ini, khabar berita mengenai pengunduran dua anggota Wings, iaitu pemain bes, Samsaidi Long Idris, atau lebih mesra disapa sebagai Eddie, dan pemain dram Azmi Hashim (Black), telah dilaporkan beberapa minggu sebelum konsert Wings 40: 4 Dekad Terbang Tinggi, yang diadakan pada 28 November 2025 di Malaysia.
Selepas pengunduran Black dan Eddie, kumpulan yang dikenali dengan lagu Sejati kini dibarisi Awie selaku vokalis, Sham dan Edrie Hashim, sebagai pemain gitar utama.
Ini termasuk dua lagi anggota baru Wings, iaitu Pae sebagai pemain dram, dan Ilham Ishak selaku pemain bes.
“
“Bagi kami, Wings perlu berani keluar daripada kepompong lama. Namun, ‘trademark’ yang menjadi identiti Wings masih kekal, termasuk cara nyanyian saya kerana itu sukar untuk diubah.”
