Demi karier seni, penyanyi berasal dari Brunei Darussalam, Aziz Harun, 27 tahun, rupa-rupanya sudah lebih dua tahun menetap di Malaysia.
Tidak perlu lagi berulang-alik antara Bandar Seri Begawan dan Kuala Lumpur (KL), Aziz atau nama sebenarnya, Abdul Aziz Harun selesa menetap di Malaysia agar kegiatan seni lebih mudah dirancang.
“Saya sudah menetap di KL. Saya sukakan Malaysia. Alhamdulillah, tidak perlu lagi berulang-alik dan boleh fokus bekerja di studio dan menghasilkan karya baru.
“Saya pilih KL kerana di Brunei, agak sukar untuk saya bekerja. Semua perkara perlu dibuat melalui panggilan video, WhatsApp dan sebagainya.
“Selain itu, hendak jumpa teman media pun lebih mudah di Kuala Lumpur. Disebabkan itulah saya berpindah ke Malaysia,” katanya pada sidang media festival muzik, iaitu Latihan Pestapora di pusat masyarakat, The Campus, Ampang, Selangor, baru-baru ini.
Aziz yang popular dengan lagu Janji dan Senyum memberitahu Berita Harian Malaysia beliau tidak mempunyai masalah untuk pulang ke Brunei pada bila-bila masa kerana penerbangan hanya mengambil masa dua jam.
“Keluarga saya pun selalu datang ke KL dan melawat saya, jadi tiada masalah. Alhamdulillah, selepas habis belajar saya terus dapat visa untuk menetap di Malaysia.
“Saya juga bersyukur lagu Ketipak Ketipung Raya dan Janji yang dihasilkan di KL, menjadi. Insya-Allah, saya akan hasilkan single solo seterusnya,” katanya yang berhasrat bekerjasama dengan artis Malaysia dan Indonesia.
Aziz teruja menjayakan festival muzik, Latihan Pestapora Malaysia di Sunway Lagoon, Petaling Jaya, mulai 26 Julai.
Beliau yang kali pertama menjayakan festival muzik sebesar itu berkata dirinya gugup namun teruja untuk sama-sama memeriahkan acara itu.
“Saya baru dapat tahu beberapa minggu lalu bahawa saya akan terbabit dengan Latihan Pestapora yang pertama di Malaysia.
“Jadi, saya sangat teruja, namun gementar. Jadi, saya kena buat sesuatu supaya persembahan memberi impak.
“Apatah lagi, ini antara festival muzik terbesar di Indonesia. Mana tahu, suatu hari nanti, saya akan buat persembahan di Indonesia pula,” katanya.
Artis Indonesia yang akan membuat persembahan pada Latihan Pestapora adalah Efek Rumah Kaca, Kunto Aji, Pamungkas dan ramai lagi. Terdapat juga artis Malaysia seperti Bunkface, Dolla, SonaOne dan ramai lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg