Apabila dua karya muzik hasil ciptaannya, Angkat dan Serumpun, berjaya mengangkat semula nama penyanyi, penggubah lagu, pereka tari serta guru yoga, Mimifly, kembali ke carta popular, beliau bagai tidak menang tangan.
Setakat ini, video muzik single Angkat, yang merupakan ciptaannya bersama Cuurley dan Wan Syahman Wan Yunus, mencecah 4.9 juta tontonan di YouTube sejak dimuat naik pada 28 Disember lalu.
Manakala video muzik lagu bertema Aidilfitri, Serumpun, ciptaan Mimifly dan Cuurley pula merekodkan lebih 11 juta tontonan sejak dimuat naik pada 19 Mac, selepas suntingan dibuat daripada naskhah asal.
Hasil kejayaan luar biasa kededua lagu hit yang menyisipkan koreografi bahasa isyarat itu, jadual Mimifly atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham, 39 tahun penuh sepanjang tahun ini (2025).
Ini merupakan hal yang jarang berlaku dalam sejarahnya berkecimpung dalam bidang muzik, bahkan melebihi undangan persembahan yang diterima sewaktu masih bersama kumpulan One Nation Emcees dulu.
Semasa ditemui Berita Minggu (BM) pada 26 April di Kampung Admiralty Community Plaza, Mimifly berkata:
“Ini merupakan tahap paling ‘laju’ (naik) sepanjang kerjaya saya dalam bidang seni hiburan.
“Sewaktu bersama One Nation Emcees memang sibuk juga. Ada juga persembahan yang datang tanpa henti.
“Sekarang, dengan adanya media sosial, acara di luar semakin bertambah.
“Mimi tidak hanya terima undangan bagi acara televisyen sahaja malah acara-acara lain juga.
“Misalnya dalam satu hari, ada empat hingga lima persembahan di serata tempat.
“Lebih-lebih lagi selepas keluar lagu Serumpun, ‘job’ datang bertubi-tubi.”
Ketika ditemui BM, Mimi berada di Singapura bagi acara sambutan Aidilfitri yang dianjurkan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Woodlands Town, di Kampung Admiralty Community Plaza pada 26 April.
Beliau menyanyikan lagu Serumpun sekali gus membuat cabaran TikTok bagi lagu tersebut bersama hadirin.
Meskipun kini Mimifly seronok menikmati kehangatan popularitinya, beliau juga sempat dihimpit cabaran semasa lagu Serumpun baru diterbitkan.
Ramai netizen di ruang media sosial menegur Mimifly berhubung penampilannya yang dikatakan tidak sesuai dengan konsep Hari Raya.
Dalam tempoh singkat, beliau memuat naik versi baru yang kelihatan lebih sopan, sekali gus membuktikan dirinya menerima teguran berkenaan.
“Sejujurnya, bagi orang-orang yang mengenali saya sejak awal, mereka tahu cara saya berpakaian dan saya juga tidak mengendahkan tohmahan yang dilontarkan oleh netizen.
“Namun, saya sangat menghormati keputusan pasukan saya untuk menyunting semula video muzik Serumpun, walaupun saya sangat menyukai versi aslinya.
“Demi kebaikan bersama, saya menuruti kehendak mereka dan hanya memberikan yang terbaik,” kata Mimi.
Melihat dalam ruangan komen di YouTube, rata-rata peminat mantan anggota kumpulan One Nation Emcees itu, memuji usahanya menyunting semula video muzik demi memuaskan hati semua pihak.
Terdahulu, video muzik bagi lagu Serumpun nyanyian Mimifly yang dikatakan dipadam di YouTube, telah dimuat naik semula pada 11.11 pagi pada 19 Mac lalu, dalam versi suntingan semula.
Tinjauan mendapati dalam tempoh tidak sampai setengah jam, video muzik berkenaan mendapat lebih 3,000 jumlah tontonan dan hampir seribu tanda suka.
Dalam pada itu, dek undangan persembahan yang datang tanpa henti, pelantun lagu Enigma itu dikatakan mempunyai lapan ulser di tekaknya, baru-baru ini.
Berkongsi lebih lanjut mengenai keadaan kesihatannya, Mimi mengulas:
“Saya sangat beruntung kerana mempunyai pasukan yang menjaga saya dan memastikan saya makan ubat tepat pada waktu.
“Masa saya sakit dahulu, saya terpaksa bernyanyi dengan muzik yang dimainkan secara serentak supaya saya tidak terlalu memaksakan diri sehingga memudaratkan lagi kesihatan.
“Alhamdulillah, saya kian beransur pulih. Cuma agak sengau sedikit akibat selesema dan masih batuk-batuk,” tambahnya.
Mimi mengakui bahawa menerima undangan persembahan yang berterusan adalah sesuatu yang mencabar, terutama apabila usia semakin meningkat dan proses pemulihan menjadi lebih perlahan berbanding dulu.
Namun begitu, beliau tetap bersyukur atas peluang yang diberikan, menyedari ramai artis lain mungkin mengimpikan pengalaman seperti ini.
Melangkah ke hadapan, Mimi akan terus menghasilkan karya yang memaparkan ketulenan jati dirinya sebagai artis yang bergiat dalam genre muzik dansa elektronik (EDM), hip-hop dan rap, sambil melestarikan keindahan bahasa Melayu yang puitis dengan seluhur-luhurnya.
“Dalam penghasilan karya muzik saya, ia semuanya bersifat eksperimental.
“Saya ingin terus keluarkan karya yang ‘real’ (tulen) dan mencerminkan kehidupan kita dalam era ini.
“Dalam pada itu, saya juga ingin meluahkan rasa cinta saya terhadap bahasa dan puisi Melayu.
“Saya cuba mengimbangi kesemua unsur itu tanpa mengekang diri saya pada satu format yang sudah terbukti kejayaannya,” kata Mimi penuh harapan sambil merancang kolaborasi dengan artis luar negara seperti di Indonesia dan Thailand, pada masa akan datang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg