BBC telah memutuskan hubungannya dengan cef selebriti dan penulis buku resipi masakan popular Britain, Nadiya Hussain selepas 10 tahun.
Sejak memenangi musim keenam pertandingan realiti memasak, The Great British Bake Off pada 2015, beliau telah berpeluang mengelolakan beberapa rancangan televisyen untuk saluran BBC.
Ia termasuk Nadiya’s Simple Spices (2023), Nadiya Bakes (2020), Nadiya’s Family Favorites (2018) dan Nadiya’s British Food (2017), lapor The Straits Times (ST).
Dalam video yang dimuat naik ke Instagram pada 5 Jun, cef selebriti berketurunan Bangladesh itu menyifatkan perkembangan itu sebagai titik perubahan besar baginya.
“Ia sangat besar kerana saya sudah berada dalam laluan perubahan yang mantap dan saya memikirkan ke mana saya mahu kerjaya saya pergi.
“BBC memutuskan bahawa mereka tidak mahu meneruskan rancangan itu lagi.
“Ia benar-benar mengukuhkan segala-galanya untuk saya, dan ia membuatkan saya berfikir.”
“Ia merupakan satu perubahan besar bagi saya, tetapi saya teruja. Satu yang saya mahu bergerak ke arah positif.
“Hakikatnya, saya mahu bekerjasama dengan individu yang percaya dengan suara seperti saya,” ujarnya yang berusia 40 tahun dan mempunyai tiga anak.
Jurucakap BBC mengesahkan berita itu.
Dalam satu kenyataan, jurucakap itu berkata: “Selepas beberapa siri yang menarik, kami telah membuat keputusan sukar untuk tidak meneruskan rancangan masakan lain dengan Nadiya Hussain pada masa ini.
“Nadiya kekal sebagai sebahagian daripada keluarga BBC yang sangat dihargai, dan kami berharap dapat bekerjasama dengannya dalam projek masa hadapan.”
Nadiya dikenali dengan resipi masakan yang menggabungkan budaya Asia dan Barat dalam satu hidangan. Antara hidangan popularnya termasuk nasi beriani ringkas yang dimasak dalam ketuhar.
Beliau turut berkongsi pelbagai tip masakan menarik yang dipelajari daripada ibu bapanya yang telah berhijrah ke Britain pada 1970-an.
Selain menjadi penyampai rancangan masakannya, Nadiya telah bekerjasama dengan penerbit Penguin Michael Joseph untuk buku masakan pertamanya, Nadiya’s Kitchen (2016).
Beliau juga menulis Bake Me A Story (2016), kompilasi 15 cerita dan resipi untuk kanak-kanak, yang kemudiannya disenarai pendek untuk kategori Buku Kanak-Kanak Tahun itu (2017) di acara British Book Awards pada 2017.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg