Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belasungkawa: Ikon filem Indo, Ray Sahetapy, simpan impian hasil filem tentang golongan pekak

Anak-anak anggap bapa sebagai penyebar nilai hormat orang tanpa kira latar belakang
Apr 8, 2025 | 4:59 PM
Ray Sahetapy merupakan anak seni yang komited bahkan bercita-cita menghasilkan kerja seni yang memperjuang hak golongan cacat pendengaran, sesuatu yang tidak sempat diusahakan.
Ray Sahetapy merupakan anak seni yang komited bahkan bercita-cita menghasilkan kerja seni yang memperjuang hak golongan cacat pendengaran, sesuatu yang tidak sempat diusahakan. - Foto INSTAGRAM RAY SAHETAPY

Tokoh perfileman Indonesia yang disegani dan disayangi ramai, Ray Sahetapy, meninggal dunia pada 1 April lalu.

Ramai yang menyifatkan Allahyarham Ray, 68 tahun, atau nama sebenarnya, Ferenc Raymond Sahetapy, sebagai butiran permata seni Indonesia yang amat dirindui keluarga, teman dan peminat.

Pemergiannya adalah berpunca daripada pelbagai komplikasi penyakit kencing manis dan strok.

Mantan suami penyanyi bersuara emas, Dewi Yull, ini dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanah Kusir di Jakarta Selatan pada 4 April, dengan ramai rakan seni seangkatan atau yang masih muda, hadir untuk memberi penghormatan terakhir mereka sambil menghimpun doa kesejahteraan jenazahnya.

Ray yang membawakan watak berkesan dalam filem Ponirah Terpidana (1983), Tatkala Mimpi Berakhir (1987) dan Jangan Bilang Siapa-Siapa (1990), pernah dicalonkan sebanyak tujuh kali bagi Piala Citra di Festival Filem Indonesia.

Sebilangannya adalah bagi kategori Aktor Terbaik. Beliau bahkan memegang rekod pencalonan terbanyak dalam kategori tersebut tetapi tiada rezekinya untuk menang.

Ray dianggap sebagai ayah yang penyayang buat empat anaknya, Gizca Puteri Agustina Sahetapy (meninggal pada 2010); Rama, Surya dan Muhammad Raya Sahetapy.

Beliau bernikah dengan Dewi pada 1981 tetapi mereka berpisah pada 2004 setelah bernikah selama 23 tahun. Dikatakan Dewi enggan berpoligami dan memohon mereka berpisah.

Awalnya, keluarga Dewi enggan menerima Ray kerana perbezaan agama sehingga Ray mengambil keputusan memeluk agama Islam dan meninggalkan agama asalnya, Kristian.

Ray kemudian bernikah dengan pengusaha kafe, Sri Respatini Kusumastuti, yang juga pensyarah di Fakulti Seni Pertunjukan Institut Kesenian Jakarta, dari 2004 hingga ke akhir riwayatnya.

Ray dibesarkan di Panti Asuhan Yatim Warga Indonesia, Surabaya.

Sejak remaja, beliau bercita-cita menjadi pelakon dan berkuliah di Institut Kesenian Jakarta pada 1977, seangkatan dengan Deddy Mizwar dan Didik Nini Thowok.

Filem perdananya diterbitkan pada 1980 dengan judul Gadis.

Ia diarahkan oleh Nya’ Abbas Akup. Melalui filem inilah, Ray bertemu dengan Dewi dan jatuh hati.

Ray pernah terjun ke dunia seni suara pada 1985.

Beliau mengeluarkan album solo berjudul Say, dengan dua single hit yang dinyanyikan bersama Dewi, Satu Kenyataan Lagi dan Say...

Ketika industri film Indonesia mengalami kesuraman, Ray tetap wujud dalam dunia seni dan membangun sanggar teater di pinggiran kota.

Melalui sanggarnya ini, Ray pernah menggugat negara dengan gagasan tentang perlunya mengubah nama Republik Indonesia menjadi Republik Nusantara.

Pada pertengahan 2006, Ray kembali membintangi film layar lebar, Dunia Mereka. Pada tahun yang sama, kongres Persatuan Artis Filem Indonesia memilih Ray menjadi salah seorang ketuanya.

Laman The Pinnacle Gazette menukil kata-kata anak bongsunya Raya Sahetapy, 23 tahun, mengenai ayah tercinta.

Beliau menganggap Ray sebagai seorang wira yang banyak mendidik anaknya tentang nilai-nilai kehidupan yang harus dijunjung.

“Papa tidak pernah melihat sebarang halangan sosial; semua orang dilayan sama rata dari pandangan matanya. Dia terangkum dan mampu berhubung dengan sesiapa sahaja, apa jua latar belakang mereka,”

Kata-kata Raya dapat diterima ramai rakannya yang kagum dengan kemesraan dan sikap murah hati Ray.

Raya juga berkongsi tentang pesanan arwah ayahnya agar melayan orang dengan budi baik, tanpa mengira kedudukan sosial mereka.

“Inilah prinsip yang menjadi sandaran Papa sepanjang kehidupan dan kerjayanya, menjadikan beliau bukan sahaja pelakon yang dihormati tetapi mentor yang dihargai serta teman buat ramai orang.

“Papa memang sumber inspirasi ramai,” jelas Surya, anak ketiganya, yang berusia 31 tahun, dan mempunyai masalah pendengaran.

Bagaimanapun, selain legasi peribadi yang ditinggalkan, masih ada aspirasi Ray yang belum dicapai.

Salah satu impiannya adalah menghasilkan filem yang berlegar di sekitar keadaan orang kurang upaya, khususnya tertumpu pada pengalaman masyarakat cacat pendengaran.

Pelakon, Olivia Zalianty, 43 tahun, mengingati nyala rasa Ray tentang penceritaan menerusi bahasa visual daripada menggunakan dialog yang panjang berjela.

“Om Ray sangat teruja menghasilkan filem tentang golongan pekak, projek yang ingin dikendalikan dari Manado hingga Amerika.

“Beliau begitu komited memberi perhatian pada isu sosial penting menerusi kerja seninya.

“Beliau berminat meneroka bagaimana penceritaan visual akan berkomunikasi secara berkesan tentang pengalaman golongan pekak ini, menjadikannya medium paling sesuai untuk mengupas isu insan kurang upaya ini.

“Aspirasi ini menggambarkan watak dan keinginannya untuk menggunakan layar lebar sebagai platform memperjuangkan dan mewujudkan kesedaran buat masyarakat,” tambah Olivia.

Tambahan pula, Surya juga aktivis buat golongan cacat pendengaran dan kini merupakan seorang pensyarah di Amerika.

Dewi, 63 tahun, dalam satu wawancara di satu saluran sembang YouTube bersama Melaney Ricardo pada 5 April pula berkata meskipun sudah berpisah lama daripada Ray, beliau tetap mahu melihat anak-anaknya mengekalkan hubungan baik dengan bapa mereka.

“Saya beritahu mereka hidup mereka berkait dengan ayah mereka. Ayah itu mengukir mereka di dunia. Ayah mereka dijadikan oleh Tuhan, tugasnya mengukir kalian di dunia.

“Apa pun kamu harus tetap menghormati, menyayangi dan mendoakannya.

“Urusan masa lalu bukan untuk terus disesali, melainkan diserahkan pada Tuhan. Kerana urusannya nanti sama Tuhan, bukan sama ayahnya, bukan sama orang. Kamu akan dapat barakah.

“Walau awalnya, mereka perit memikirkan ayah mereka tidak memilih mereka dan berumah tangga lagi, tapi biarlah itu masa lalu,” jelas Dewi.

Beberapa pelakon muda sempat memberi penghormatan di media sosial mengenai budi Ray.

Salah seorang daripada mereka adalah Tissa Biani Azzahra, 22 tahun, yang memuatnaikkan video beliau menyanyi bersama Ray yang memetik gitar.

“Saya turut berdukacita atas meninggalnya Om Ray Sahetapy, salah seorang aktor legenda di Indonesia.

“Karya beliau akan selalu kami kenang. Semoga keluarga yang ditinggalkan diberi ketabahan dan keikhlasan dan Almarhum pergi dalam keadaan husnul khotimah, Aamin Ya Allah. Al-Fatihah,” tulisnya di Instagram.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg