Seniwati legenda, Datin Noor Azizah Datuk Seri Azizul Hassan, 78 tahun, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Sungai Rapat, Ipoh, Perak, kira-kira 3 pagi pada 7 April.
Berita pemergian bintang filem Enam Jahanam itu disahkan oleh anak sulungnya, Khairena.
“Dengan hati yang amat berat dan penuh rasa sedih, saya ingin memaklumkan bahawa ibu sudah kembali ke rahmatullah secara mengejut. Pemergian ini sangat mengejutkan kami sekeluarga.
“Kami amat menghargai doa dan sokongan semua pihak dalam saat yang penuh duka ini. Semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan dicucuri rahmat.
“Mohon doakan agar kami sekeluarga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini. Terima kasih atas segala ucapan takziah dan perhatian yang diberikan,” katanya.
Difahamkan, arwah yang menetap di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pulang ke Ipoh, pada 6 April kerana ingin berkumpul bersama adik-beradik berikutan salah seorang adiknya baru pulang dari Australia, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Bagaimanapun, Allahyarhamha Noor Azizah dilaporkan mengalami sesak nafas sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Difahamkan, ibu kepada dua cahaya mata itu menghidap penyakit buah pinggang dan kini menjalani rawatan dialisis.
Dilahirkan di Kinta, Perak, Allahyarhamha Noor Azizah memulakan kerjaya seninya pada 1965 menerusi filem Dayang Senandong sebagai pelakon tambahan.
Ketika itu, bapanya yang juga pegawai kanan polis bertugas di Singapura dan memberikan peluang kepadanya untuk mencuba nasib sebagai bintang filem.
Pembabitan Noor Azizah dalam dunia perfileman berlaku secara kebetulan ketika melawat Studio Jalan Ampas di Singapura.
Semasa kunjungan, kejelitaan Noor Azizah mendapat perhatian Seniman Allahyarham Datuk Ahmad Mahmud yang menawarkannya membintangi filem Dayang Senandong.
Sebaik selesai penggambaran filem Dayang Senandong, Noor Azizah ditawarkan membintangi filem Sri Andalas, A Go Go 67 dan terakhir, Raja Bersiong, sebelum berpindah ke Kuala Lumpur.
Nama Noor Azizah mula mencipta kemasyhuran apabila membintangi filem Enam Jahanam, arahan Tan Sri P Ramlee pada 1969.
Di Merdeka Studio, beliau mencipta kemasyhuran sebagai bintang filem apabila sering digandingkan dengan Allahyarham Seniman Ed Osmera.
Antara filem lakonannya termasuklah Jangan Tinggal Daku, Kembang Layu, Durjana, Di Belakang Tabir, Perintah Sri Paduka, Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh, Sayang Anakku Sayang, Cinta dan Lagu serta Pendekar.
Noor Azizah pernah diberi penghormatan membintangi filem produksi Indonesia iaitu Malin Kundang, bergandingan bersama aktor terkenal, Rano Karno dan Jangan Kau Tangiskan.
Beliau juga pernah membintangi drama bersiri, Bailey Bird daripada produksi Australia pada 1977 dengan memegang watak Doktor Susan Lim.
Pada 2000, Noor Azizah turut membintangi filem Soal Hati.
Berita pemergian Allahyarhamha pelakon, Fauziah Ahmad Daud.
Fauziah, atau lebih mesra disapa Ogy, yang pernah berkongsi layar dengan Allahyarhamha Noor Azizah menerusi filem Suara Kekasih pada 1986 menyifatkannya sebagai aktres bersifat keibuan.
Katanya, walaupun arwah memiliki nama besar dalam dunia perfileman dan sudah dikenali sejak zaman Merdeka Studio, tetapi beliau sangat merendah hati dan profesional.
“Saya bertemu arwah kali pertama ketika proses membaca skrip untuk filem Suara Kekasih. Saya difahamkan arwah sudah lama tidak berlakon, tetapi bersetuju membuat kemunculan selepas dipujuk.
“Kami ada beberapa babak bersama kerana arwah membawa watak ibu kepada Allahyarham Azmil Mustapha.
“Saya sangat teruja bila dapat tahu berlakon bersama arwah dan Datuk Rosnani Jamil sebab berkongsi layar dengan bintang hebat.
“Arwah dan Rosnani sangat profesional dan melayani orang baru seperti saya dengan baik. Saya tak rasa dipinggirkan langsung,” katanya kepada BHM.
Ujar Fauziah lagi, jika tidak silap penggambaran filem Suara Kekasih dilakukan di kediaman arwah, namun beliau sangat profesional dan tak pernah mengganggu kru bekerja.
“Rumah arwah dua tingkat, jika ada babak membabitkannya, barulah beliau turun. Jika tidak, memang arwah takkan ganggu orang lain bekerja.
“Beliau sangat lemah lembut, cantik dan kelakar. Itulah pengalaman pertama dan terakhir saya bekerja dengan arwah,” katanya lagi.
Fauziah berkata beliau sudah lama tidak berjumpa dengan arwah, namun pernah terserempak di pasar raya dan restoran, beberapa tahun lalu,
Namun, katanya, setiap kali bertemu, arwah akan menegurnya terlebih dahulu.
“Saya pun tak ingat bila kali terakhir kami berjumpa. Tak silap saya pernah berjumpanya dua kali, tapi dialah yang tegur saya dahulu.
“Walaupun lebih tua daripada saya, tapi arwah sangat baik, mungkin orang-orang lama semuanya begitu. Mereka mudah mesra dan langsung tidak meninggi diri,” katanya.
Filem Soal Hati, terbitan Serangkai Filem, milik Datuk Habsah Hassan, pada 2000 menjadi kemunculan terakhir Allahyarhamha Noor Azizah dalam dunia lakonan.
Habsah terkejut apabila dimaklumkan mengenai pemergian sahabat baiknya itu.
Katanya, beliau menemui arwah buat kali terakhir sebelum Ramadan apabila sahabat baiknya itu datang ke Restoran Primadona, Sungai Penchala miliknya untuk bersarapan pagi.
“Saya terkejut dan tak tahu mengenai berita pemergian arwah kerana belum sempat melihat telefon, pagi ini.
“Jujurnya, saya sangat sedih. Arwah memang uzur dan datang dalam keadaan bertongkat. Tapi, saya tak menyangka arwah alami penyakit serius.
“Walaupun jarang berjumpa, tapi hampir setiap hari kami berhubung melalui aplikasi WhatsApp. Ada sahaja yang arwah kongsikan, contohnya jika ada berita menarik,” kata Habsah.
Habsah yang sudah lama mengenali Allahyarhamha Noor Azizah berkata beliau berjaya memujuk arwah membintangi filem Soal Hati, arahan Othman Hafsham, disebabkan keakraban mereka.
“Arwah sebenarnya tidak mahu lagi berlakon dan sudah lama tinggalkan dunia lakonan.
“Tapi, saya pujuk dan merayu kepadanya untuk berlakon dalam filem Soal Hati. Saya minta arwah bawa watak ibu Datuk Afdlin Shauki.
“Saya kata hanya satu babak dan akhirnya, arwah setuju,” kata Habsah lagi.
Bagaimanapun, Habsah melahirkan perasaan terkilan apabila tidak dapat memberikan penghormatan terakhir kepada arwah kerana baru mendapat berita pemergiannya.
Pengarah dan penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam, pula menyifatkan pemergian Noor Azizah sebagai satu kehilangan besar buat industri perfileman Melayu.
Akui terkejut dengan berita pemergian pelakon filem Enam Jahanam itu, Yusof berkata, kali terakhir bertemunya di Tanah Suci Makkah ketika menunaikan ibadah haji, kira-kira 20 tahun lalu.
“Sedih juga bila dapat tahu berita arwah sudah tiada. Kali terakhir bertemu arwah di Tanah Suci, namun saya hanya nampak arwah dari jauh.
“Disebabkan ramai orang dan sibuk dengan urusan ibadah, jadi kami hanya sempat melambai daripada jauh sahaja.
“Arwah seorang pelakon berpengalaman dan pembabitannya dalam dunia seni banyak dibimbing oleh Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
“Beliau juga pernah berlakon dalam filem Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin. Industri kita kehilangan satu lagi permata berharga,” kata Yusof.
Pernah berlakon bersama dalam filem Cinta dan Lagu yang diterbitkan pada 1976, pengarah filem Sembilu itu memuji keperibadian Allahyarhamha.
“Kami pernah tinggal bersama di Melaka selama sebulan kerana menjalani penggambaran filem Cinta dan Lagu.
“Saya anggap arwah seperti kakak sendiri disebabkan perbezaan jarak usia. Beliau tidak sombong, sentiasa merendah hati dan lemah lembut.
“Arwah juga seorang yang boleh diajak bergurau. Banyak kenangan yang pernah kami lalui bersama,” imbaunya.
Yusof berkata, arwah adalah antara insan seni yang amat dikagumi terutama dari segi penampilan diri.
“Selain pelakon legenda lain seperti Datuk Sarimah Ahmad, Zaiton Abdullah dan Allahyarhamha Saadiah, beliau juga adalah antara pelakon yang amat saya kagumi.
“Mereka ini adalah antara pelakon yang masih mampu mengekalkan kejelitaan meskipun usia sudah meningkat,” pujinya.
Jenazah seniwati legenda ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Masjid Paloh, Ipoh, Perak, kira-kira 2.50 petang pada 7 April.
Lebih 100 ahli keluarga dan kenalan rapat memberi penghormatan terakhir pada majlis pengebumian arwah.
Yang turut hadir, Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave.
Allahyarhamha meninggalkan suami, Datuk Nik Hussain Nik Ali, 94 tahun, serta dua anak mereka, Khairena, 38 tahun, dan Khairi, 34 tahun.
Adik Allahyarhamha, Puteh Zabidah menjelaskan:
“Kakak sudah menjalani dialisis sejak setahun lalu (2024) tetapi keadaan kesihatannya masih terkawal. Cuma beliau susah bernafas pagi tadi.
“Kami menghubungi ambulans dan pasukan perubatan ada memberikan bantuan. Namun, Allah lebih menyayanginya,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg