Disiplin yang tinggi serta sikap menghargai setiap peluang yang diberikan menjadi antara faktor utama yang membantu pelakon dan pelawak popular, Bell Ngasri, kekal relevan dalam industri seni hingga hari ini.

Bell, atau nama sebenarnya, Nasrizal Ngasri, 46 tahun, berkata, beliau bersyukur kerana memahami selok-belok bidang diceburinya itu sejak bergelar pelakon kanak-kanak lagi.

“Paling penting adalah disiplin dan kita tahu bidang kita ini macam mana.

“Saya bermula daripada sekecil-kecil gaji iaitu sebanyak RM30 ($9.50) sehari, hasil bekerja sebagai pelakon kanak-kanak,” katanya, dalam laman Harian Metro.

Bukan hanya berlakon, Bell turut aktif dalam bidang seni suara komersial dengan melakukan kerja sebagai pengisi suara latar untuk pelbagai iklan hingga kini.

Menurutnya, pendedahan awal dalam cabang seni itu diperoleh daripada bapanya, Ngasri Sain, 76 tahun, yang pernah bertugas sebagai juruhebah radio, pengacara televisyen, pelakon dan penyampai suara latar, dan terkenal sekitar 1980-an.

Pada masa sama, acuan didikan yang diberikan ibunya, Habibah Jaafar, 70-an tahun, dalam membentuk disiplin harian dan selok-belok kerjaya seni ialah azimat paling berharga buatnya.

“Dari segi disiplin, pengurusan hidup dan pengurusan kewangan dalam bidang ini, semuanya lahir daripada apa yang mak saya didik.

“Mak tidak banyak memberi nasihat secara langsung, tetapi lebih mendidik saya tentang cara menguruskan jadual penggambaran, menyusun komitmen kerja serta memahami bagaimana untuk membawa sesuatu watak dengan baik,” ujarnya.

Di sebalik kemuncak populariti yang dikecapinya kini, Bell akur beliau tidak mempunyai sebarang visi yang terlalu tinggi dalam memacu kerjaya seninya.

Sebaliknya, pemenang Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH 35) itu, memilih untuk terus mengikut perkembangan industri seni sambil bersyukur kerana kedua-dua ibu bapanya masih dikurniakan kesihatan yang baik.

Bagaimanapun, jika diberi peluang, Bell, yang juga anak ketiga dalam keluarga enam beradik, berhasrat untuk menjadi seorang penerbit seperti abangnya, Naszeli Ngasri, 51 tahun, dan adiknya, Darling Ngasri, 43 tahun, yang terlebih dahulu mengorak langkah dalam bidang tersebut.

Pada masa sama, beliau tidak meletakkan penanda aras yang terlalu tinggi dalam kerjaya seninya.

“Kalau saya ada rezeki untuk berjaya lebih lagi, saya nak juga menjadi seorang penerbit filem dan berjaya macam adik-beradik saya yang lain.

“Bukan saya mahu berjaya macam Datuk Yusof Haslam atau Datuk Rosyam Nor.

“Saya masih lagi membantu untuk merealisasikan sesuatu filem atau drama. Tidak kisahlah watak apa sekalipun, saya masih ada (untuk berlakon),” ceritanya.

Di samping itu, Bell menegaskan bahawa walaupun bergelar penerbit suatu hari nanti, beliau tidak akan melupakan dunia lakonan yang menjadi titik awal penglibatannya dalam industri seni.

“Kalau kata-kata saya ini Tuhan makbulkan menjadi seorang penerbit satu hari nanti, saya tidak akan tinggalkan diri saya yang dahulunya merupakan pelakon, selagi orang mahu.

“Bila sampai masa orang sudah tidak mahu tengok dan menyampah tengok saya di televisyen, baru saya akan berhenti berlakon,” kata Bell.