Tarian kontemporari, Jarum dalam Jerami, ialah sebuah karya yang diciptakan oleh jurutari Indonesia, Hartari, 59 tahun, yang telah berkecimpung dalam bidang tarian sejak 1986.
Karya itu merupakan respons daripada karya, Api Dalam Sekam (1997), yang dihasilkan oleh mentor Hartati, Gusmiati Suid, yang membincangkan suasana politik yang bergejolak pada era akhir pemerintahan Orde Baru di bawah mantan Presiden Suharto.
Karya Jarum dalam Jerami boleh dianggap sebagai renungan kritikal Hartati terhadap perubahan landskap politik dan sosial Indonesia sejak dua dekad lalu, merangkumi tempoh dari 2005 hingga kini.
Walaupun penonton mungkin tidak begitu ‘akrab’ dengan sejarah politik Indonesia, Jarum Dalam Jerami, tetap memukau melalui keindahan teknikal dan pesanan yang ingin disampaikan dalam koreografinya.
Sebagai konteks, (mencari) jarum dalam jerami ialah peribahasa yang membawa maksud melakukan suatu pekerjaan yang sukar, atau sesuatu perkara yang sulit ditemukan.
Pada 30 April, saya berkesempatan mewawancara Uni Tati (‘Uni’ bermaksud kakak perempuan dalam bahasa Padang), panggilan hormat saya terhadap Hartati, dan mengulik latar belakang tarian ini.
Melalui karya yang dipersembahkan buat kali pertama di Alek Mandeh, Festival Budaya Matrilineal 2022, di Sumatera Barat, Indonesia, Hartati membahaskan keadaan politik yang ada kaitannya dengan budaya ‘pangan’ atau makanan.
Simbol jerami menjadi elemen utama dalam karya ini melambangkan padi, makanan ruji di banyak budaya Asia, sesuatu yang penting tetapi kerap diabaikan.
Namun, isu yang menjadi pokok kegelisahan pemerintah (di Indonesia) saat ini adalah berkurangnya kawasan sawah, mengakibatkan keadaan semakin meruncing.
Ditemani rakan saya yang juga seorang penari tarian Melayu, kami begitu bersemangat untuk menyaksikan sebuah tarian kontemporari yang sarat dengan pesanan dan pengajaran pada 3 Mei, di Teater Studio, Esplanade, sempena Pesta Raya 2025.
Setiap kali menyaksikan persembahan tarian dari Indonesia, kami sentiasa yakin ia tidak akan mengecewakan.
Ketika lampu dinyalakan tepat 8 malam, pentas di hadapan saya memperlihatkan seorang wanita sedang menghentakkan tangkai padi ke lantai dengan tangannya.
Gambaran itu mencerminkan budaya pertanian padi yang merupakan tunjang utama kehidupan masyarakat di Asia Tenggara.
Bunyi tajam daripada ayunan tangannya yang penuh tenaga menggambarkan jerih payah dan usaha gigih petani dalam menjalani rutin kehidupan harian.
Beberapa penari lain kemudian muncul di pentas, mengenakan seragam merah gelap dan seluar panjang berwarna krim.
Mereka membawa karung berisi jerami padi dan menyebarkannya di atas lantai sehingga membentuk timbunan di tengah-tengah pentas.
Seorang lagi wanita kemudian naik ke atas timbunan jerami yang tidak stabil itu lalu cuba mengimbangi gerakan tubuh dan kaki dengan cermat.
Ia mungkin merujuk kepada cabaran yang dihadapi petani dalam menyesuaikan diri dengan perkembangan sosio-politik di Indonesia.
Persembahan ini silih berganti antara segmen penuh bertenaga dan yang lebih tenang, menggambarkan pentingnya menemukan ketenangan di tengah-tengah hiruk-pikuk kehidupan yang tiada penghujungnya.
Penari adakalanya berhenti, membeku atau menyusun langkah perlahan di atas pentas, memaparkan detik bertafakur mengenai keadaan kehidupan yang kurang stabil, yang seharusnya memerlukan lebih perhatian.
Ini seperti yang diperkatakan oleh Uni Tati ketika diwawancara BH bahawa era Reformasi (setelah kejatuhan pemerintahan mantan Presiden Suharto) memberi semua rakyat Indonesia kebebasan untuk berbicara dan bertindak.
Sebaliknya, yang ingin disampaikan beliau adalah masyarakat seharusnya lebih berhati-hati dalam berbicara dan mempertimbangkan tindakan, khususnya dalam era ‘baru’ ini.
Simbol ini juga dapat saya tangkap ketika melihat penari seolah-olah sedang mencari sesuatu, iaitu ‘jarum’, di dalam timbunan jerami yang berserakan di atas pentas.
Mereka bergerak perlahan sambil menepis debu di kaki, mungkin akibat terpijak ‘jarum’ yang tersembunyi di antara jerami itu.
Rakan saya, yang juga sempat menghadiri bengkel tarian Uni Tati pada pagi 3 Mei, memberitahu bahawa gerakan perlahan dan tangkas dalam karya ini diinspirasikan daripada gerakan pencak silat.
Ini kerana Uni Tati ingin mendapatkan kesan agar penonton tidak dapat menjangkakan gerakan atau tindakan penari seterusnya, sepanjang karya ini.
Uni Tati turut memanfaatkan kesan bunyi hembusan nafas penari sebagai cara untuk menjaga stamina mereka sepanjang persembahan satu jam tersebut, sekali gus mencerminkan perjuangan keras petani mengelolakan sawah padi.
Selain itu, rakan saya turut menambah bahawa Uni Tati tidak menggunakan kiraan ketika mencipta tarian ini.
Ini bermakna penari perlu bijak dalam merasakan dan menyelaraskan rentak serta gerakan antara satu sama lain, menambah kekaguman saya terhadap kerja seni ini.
Sebagai seorang penari tarian Melayu dan pengamat seni tari, saya amat mengagumi stamina, tenaga dan ketelitian penari dalam mengendalikan setiap pergerakan koreografi sambil mengimbangi 200 kilogram jerami.
Saya akur ini bukanlah suatu hal yang mudah dilakukan dan memerlukan komitmen yang sangat tinggi untuk menjayakan pementasan ini.
Ini juga mungkin menjadi salah satu cabaran bagi penari di Singapura dalam menghasilkan karya seni yang mendalam dan kritikal.
Namun, nilai pengajaran yang boleh diambil adalah kerendahan hati untuk terus memperbaiki diri dan kepekaan mendalami isu-isu yang mendarah daging dalam masyarakat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg