Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Noh Salleh curah kisah hati ke hati

Kongi kisah peribadi di sebalik lirik lagu yang dinyanyi
May 8, 2025 | 5:30 AM
Noh Salleh, vokalis kumpulan Hujan, terus memikat hati peminat Singapura sebagai ikon muzik indie Malaysia, yang terkenal dengan lirik penuh makna dan persembahan yang memukau.
Noh Salleh, vokalis kumpulan Hujan, terus memikat hati peminat Singapura sebagai ikon muzik indie Malaysia, yang terkenal dengan lirik penuh makna dan persembahan yang memukau. - Foto ESPLANADE - TEATER DI PESISIRAN

Noh Salleh, vokalis dari kumpulan Hujan, terus memikat hati peminat sebagai ikon muzik indie Malaysia yang terkenal dengan lirik penuh makna dan persembahan yang memukau.

Sempena Pesta Raya 2025, saya berpeluang menonton Noh secara langsung, menyajikan pengalaman akustik yang mengesankan pada 1 Mei di Annexe Studio, Esplanade.

Suaranya yang merdu, digandingkan dengan jenaka spontan, mencipta suasana magis yang memikat hati semua yang hadir. 

Malam itu ibarat gabungan unik sebuah konsert yang menyentuh jiwa dan hiburan komedi yang menggamatkan lagi suasana, menjadikannya pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Studio yang dijadualkan mula bergema pada pukul 8 malam telah pun dipenuhi peminat seawal 7.40 malam. 

Beberapa penonton yang hadir selepas 7.40 malam diarahkan oleh kru pentas untuk mengisi tempat di tingkat dua di Annexe Studio, Esplanade.

Saya turut menyusul yang lain kerana ingin mendapat ‘view’ (pemandangan) persembahan yang lebih luas.

Penonton terdiri daripada pelbagai generasi, dari belia sehingga mereka yang berusia 40-an tahun, membuktikan daya tarikan Noh yang merentasi umur dan latar belakang.

Dengan rangkaian 11 lagu, termasuk karya solo Noh dan lagu ikonik Hujan, persembahan malam itu jelas dinanti-nantikan. 

Untaian 11 lagu itu termasuk, Bila Aku Sudah Tiada, Biar Seribu, Renjana, Kotak Hati, Sang Penikam, Nirmala, Pagi Yang Gelap, Bunga Di Telinga, Rahsia Tuhan, Angin Kencang dan Aku Skandal.

Malah, sambutan hangat daripada peminat mendorong pihak Esplanade menambah slot persembahan pada 1 Mei, sebagai pelengkap kepada jadual asal yang ditetapkan pada 2 Mei.

Noh membuka tirai persembahannya, ‘menghujani’ penonton dengan coklat dan makanan ringan.

Tidak lama kemudian, terdapat satu kalimat yang dikatakan Noh, yang mencuit hati dan membuat saya tertawa.

Beliau berkata: “Anda ‘dihalalkan’ untuk ‘menggila’ dalam persembahan Noh Salleh kali ini kerana saya masih trauma dengan kejadian persembahan pertama Hujan.

“Tiket yang laris dijual dan persembahan berlangsung selama dua hari, tetapi penonton diam dan tidak bergerak sepanjang malam.”

Ketika Noh memulakan persembahannya dengan lagu, Bila Aku Sudah Tiada, yang dipopularkan kumpulan Hujan, seluruh ruangan Annexe Studio, Esplanade, dipenuhi dengan suara penonton yang turut menyanyi bersama. 

Sambutan meriah itu mengukir senyuman di wajah Noh, jelas menikmati momen indah itu.

Saya turut teruja apabila mendengar lagu, Sang Penikam, dilaungkan dengan suara gentelan gitar yang membuai perasaan.

Ini mengingatkan saya pada satu babak dalam filem Babah, arahan Mohd Shah Faizul, di mana Noh membuat penampilan istimewa, menyanyikan lagu tersebut di sebuah halaman yang dihiasi lampu kelap-kelip dengan penuh romantik.

Ia seperti mimpi ketika dapat mendengar lagu itu dinyanyikan secara langsung.

Kebetulan, Noh juga merupakan pencipta lagu, Rahsia Tuhan, yang dijadikan runut bunyi untuk filem Babah dan kemudiannya mencipta fenomena di media sosial, menjadikannya lagu wajib dinyanyikan pada persembahan ini.

Di sebalik melodi dan liriknya yang menyentuh hati, tersembunyi kisah peribadi yang mendalam. 

Noh menceritakan penghasilan lagu ini menyebabkan filem Babah terpaksa ditangguhkan selama setahun.

Lagu ini begitu bermakna buat Noh kerana lahir daripada pengalaman pahit kehilangan dua cahaya mata akibat keguguran yang dialami isterinya. 

Peristiwa ini menambahkan lagi kesan emosi pada lagu tersebut, menjadikan persembahan lagu, Rahsia Tuhan, lebih menyentuh jiwa pada malam itu.

Ketika lagu ini dinyanyikan, setiap bait terasa seperti luka yang dirawat dengan harapan, menyentuh perasaan setiap yang mendengarnya. 

Bagi saya, ini adalah karya terbaik Noh setakat ini, yang menggabungkan kejujuran, harapan dan keindahan dalam satu melodi yang menjadi santapan halwa telinga.

Satu lagi lagu yang benar-benar mengusik kalbu adalah Renjana, dengan liriknya yang puitis dan melodi yang mudah melekat di ingatan.

Noh dengan jujur mengakui beliau tidak begitu mahir menghasilkan lirik yang indah dan kerap bergantung kepada kamus untuk mencari perkataan yang berima serupa.

Meskipun ramai beranggapan lagu tersebut adalah hasil karyanya, namun, lagu ini sebenarnya ditulis oleh seorang penulis berbakat dari Indonesia, Rahne Putri.

Selain itu, apa yang membuat persembahan ini lebih istimewa adalah interaksi Noh dengan penonton. 

Dengan jenaka spontan dan kisah peribadi, beliau berjaya mencipta suasana yang mesra dan menghiburkan, seolah-olah penonton sedang berbual dengan sahabat lama.

Tidak ketinggalan pula aksinya yang penuh gaya, dengan santai meminta rakannya, Mail, mengambilkan kaca mata hitam sebelum menyanyikan lagu, Renjana, atau menikmati hidangan buah-buahan di atas pentas untuk menambah tenaga.

Di sebalik tingkah lucu dan santai Noh, beliau beberapa kali menyatakan beliau rasa kurang sihat lantas meminta izin untuk ke tandas bagi menyegarkan diri.

Saya rasa ruang yang penuh sesak dan suhu yang panas mungkin menjadi faktor yang menyebabkan beliau kurang selesa. 

Perkara ini wajar dipertimbangkan oleh pihak Esplanade untuk memastikan tempat dan jumlah penonton lebih sesuai di masa hadapan.

Mujurlah, penonton di barisan hadapan menunjukkan sikap prihatin dengan memberikan minyak angin dan panadol untuk membantunya kembali pulih.

Walaupun berdepan cabaran, Noh tetap menyajikan persembahan yang mengagumkan, menambah seri malam itu dengan jenaka spontannya sambil menggunakan slanga Singapura untuk menghiburkan penonton.

Secara keseluruhan, bagi mereka yang menghargai persembahan muzik yang intim dan penceritaan yang tulus, malam itu pastinya akan dikenang sebagai salah satu persembahan yang layak diberi pujian.

Noh bukan sekadar menyanyi, malah turut berkongsi pengalaman, menjalin hubungan dan mencipta kenangan yang meninggalkan kesan mendalam di hati setiap penonton.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg