Pelakon terkenal, Beto Kusyairy, tidak melihat filem terbaru lakonannya, Gayong, sebagai ‘meniru’ konsep cerita yang dibawa dalam naskhah aksi biografi dari China, Ip Man, seperti diperkatakan segelintir pihak.
Beto, atau nama sebenarnya, Nur Kusyairy Zakuan Osman, 45 tahun, berkata setiap negara jajahan, termasuk Malaysia memiliki tokoh pahlawan sendiri yang perlu diangkat.
“Kalau Gayong keluar dahulu, Ip Man keluar kemudian, orang akan cakap filem ini macam Gayong. Sebenarnya setiap negara yang dijajah ini akan ada tokoh ‘heroik’ (perwira).
“Cuma Ip Man bertaraf antarabangsa, jadi orang samakan. Setiap negara ada tokoh hebat, tak kira Thailand, Indonesia atau lain-lain.
“Tapi, orang sudah melekat dengan imej Ip Man, apabila tonton Gayong, orang akan cakap macam filem ini. Habis, semasa dijajah kita tak ada tokoh ke?,” soalnya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) pada malam gala dan tayangan perdana filem Gayong, pada 29 April.
Beto diberi tanggungjawab menghidupkan watak pengasas Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim, bagaimanapun melihat perkara itu dari sudut positif.
Aktor yang menuntut ilmu Silat Gayong sejak berusia tujuh tahun ini, berkata perkara itu juga akan menarik minat orang ramai untuk datang menonton.
“Pada masa sama, saya tak ambil ini sebagai perkara negatif. Saya lihat dari sudut positif, bila orang cakap Gayong macam Ip Man, orang akan datang tengok, mudah-mudahan,” katanya.
Beto kemudian berkata jalan cerita diketengahkan dalam Gayong berdasarkan sejarah sebenar bagaimana Allahyarham Meor Abdul Rahman menentang penjajah Jepun.
“Semasa zaman Ip Man, ada juga kisah penjajahan Jepun dan sebagainya. Dalam Gayong juga begitu, jadi memang betul kisah penjajahan Jepun.
“Allahyarham Meor Abdul Rahman datang menyelamatkan orang ramai di Pasir Ria. Garis masa ini memang kita ikut tepat, cuma dijadikan lebih dramatik untuk tujuan tayangan di pawagam.
“Ia tidak sesekali untuk merendahkan Allahyarham atau warisnya, malah kami 100 peratus angkat nama beliau,” katanya lagi.
Gayong, yang juga naskhah biopik berkisar perjalanan awal Allahyarham Meor Abdul Rahman, bakal ditayangkan pada 8 Mei ini.
Diarahkan oleh sutradara kelahiran Singapura, Faisal Ishak, filem ini turut menampilkan pelakon handalan seperti Nabila Huda, Syafie Naswip, selain pelakon aksi popular dari Indonesia, Yayan Ruhian, dan aktor Thailand, Chevanon Phukaokaew.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg