Penyanyi terkenal dari Amerika, Beyonce, 43 tahun, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ribuan peminatnya semasa konsert di Stadium NRG, Houston, Texas, pada 28 Jun, apabila prop kereta di udara yang digunakan untuk persembahan, tiba-tiba condong ke satu sisi akibat kerosakan teknikal.
Kejadian yang dirakam dalam video itu, menunjukkan Beyonce – yang memakai topi koboi putih sambil membawa bendera Amerika – sedang menyanyikan lagu, 16 Carriages, dari kereta merah ‘convertible’ (bumbung kereta yang boleh dibuka) yang digantungkan di udara sebelum kenderaan itu condong ke arah penonton.
Beyonce yang kelihatan tenang, menghentikan persembahan itu sambil berkata: “Berhenti. Berhenti, berhenti, berhenti.”
Di tengah-tengah sorakan penonton, beliau meminta untuk diturunkan dengan selamat.
Kenderaan yang digantung di udara menggunakan kabel itu kelihatan bergoyang, sementara Beyonce memegang salah satu kabel lain bagi kestabilan diri.
Beyonce akhirnya diturunkan secara perlahan-lahan ke tempat selamat, diiringi sorakan penuh kelegaan daripada peminat.
“Ya Tuhan, saya cemas tadi,” kata seorang peminat menerusi hantaran video yang dikongsikan di media sosial.
Sekembalinya ke pentas, Beyonce menghiburkan penonton dengan berkata: “Kalau saya terjatuh, saya tahu kamu semua akan menyambut saya.”
Bagaimanapun, punca sebenar kejadian itu tidak dijelaskan oleh pihak penganjur.
Sementara itu, Parkwood Entertainment, syarikat pengurusan Beyonce, memuat naik hantaran di Instagram menyatakan terdapat kerosakan teknikal menyebabkan prop kereta tersebut condong.
Syarikat pengurusan itu turut memaklumkan bahawa Beyonce segera diturunkan dan tiada sebarang kecederaan berlaku.
Di samping itu, wakil dari Stadium NRG, tidak memberikan maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut.
Dalam satu kompilasi gambar konsert berkenaan, salah satunya menunjukkan Beyonce sedang membuat persembahan dari kereta prop yang masih tergantung.
Konsert di bandar kelahirannya itu merupakan yang pertama daripada dua persembahan yang berlangsung di Stadium NRG, pada 28 dan 29 Jun.
Acara tersebut merupakan sebahagian daripada konsert jelajah, Cowboy Carter, yang diadakan di peringkat antarabangsa, bermula April di Los Angeles.
Konsert jelajah ini bertujuan mempromosikan album terbarunya, Cowboy Carter (2024), yang memenangi Anugerah Album Terbaik dan Album Country Terbaik di Anugerah Grammy ke-67, pada Februari lalu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg