Penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, bertakhta di hati ramai peminat tetapi nampaknya lagu beliau juga menjadi salah satu karya pilihan Raja Britain, Raja Charles III.
Anta Permana, ciptaan bersama Ezra Kong dan Hael Husaini, yang didendangkan Siti yang kini bergelar Biduanita Negara, dilaporkan berada dalam senarai lagu kegemaran anak sulung mendiang Ratu Elizabeth itu, sempena sambutan Hari Negara-Negara Komanwel.
Ia turut dikongsi secara eksklusif dalam media sosial The Royal Family, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Senarai lagu-lagu pilihan Raja Charles III dikumpulkan khas di platform Apple Music dengan tajuk, His Majesty King Charles III’s Playlist, yang menampilkan gabungan muzik dari seluruh dunia.
Senarai 17 lagu yang boleh dimainkan dalam tempoh sejam 10 minit itu termasuk lagu Diva Pop, Diana Ross, penyanyi Bob Marley, penyanyi rok Grace Jones serta sensasi Britain yang sedang meningkat naik, Raye.
Selain itu, nama besar seperti Beyonce, Kylie Minogue dan Michael Buble juga berada dalam senarai lagu pilihan Raja Charles III.
“Saya mahu berkongsi dengan anda lagu-lagu yang membawa kebahagiaan dalam hidup saya. Lagu-lagu ini merangkumi pelbagai gaya dan budaya berbeza.
“Namun, seperti keluarga negara-negara Komanwel yang makmur, mereka, dalam cara yang tersendiri, berkongsi kecintaan sama terhadap kehidupan, dalam segala keindahan dan keharmonian beragama,” ujar Raja Charles III di media sosial, The Royal Family.
Menurut pemimpin kerajaan Britain itu, muzik memainkan peranan penting dalam hidupnya kerana ia mengembalikan bermacam kenangan, baik yang menggembirakan atau menyedihkan.
Siti yang berkongsi rakaman video Raja Charles III di Instagram Story, cukup terharu dan rasa bersyukur dan penuh rendah hati dengan pemilihan lagunya itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg