Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Big Stage Alpha’ semakin sengit, papar kelebihan penyanyi lelaki 3 negara

Izat Ibrahim, 34 tahun, wakili S’pura dalam Minggu Akhir selepas tunjuk prestasi baik
Jun 12, 2025 | 5:30 AM
Big Stage Alpha, pertandingan nyanyian realiti, previu. minggu akhir, final
Dalam Minggu Akhir ‘Big Stage Alpha’ yang akan ditayangkan pada 15 Jun, tujuh peserta dari Malaysia, Singapura dan Brunei akan bersaing untuk membuktikan kelayakan mereka dalam kumpulan ‘boyband’. Tujuh finalis itu terdiri daripada (belakang, dari kiri) Daniel Sher, Rizal Rasid, Ray-D, (bawah, dari kiri), Izat Ibrahim, Ariel Fesol, Araff dan Afiq Sky. - Foto INSTAGRAM ASTRO MALAYSIA

Semakin pertandingan nyanyian realiti Malaysia, Big Stage Alpha, menghampiri garis penamat, semakin terasa bahang pertandingan yang membara dengan persembahan bertenaga tujuh peserta dari Malaysia, Brunei dan Singapura.

Edisi Big Stage Alpha kali ini mencari lima finalis untuk membentuk sebuah ‘boyband’ baru, yang akan melakukan kemunculan sulung di bawah naungan syarikat hiburan, Rocketfuel Network dan Astro.

Setiap minggu, peserta yang berusia antara 18 tahun dengan 37 tahun akan dinilai oleh barisan juri tetap yang terdiri daripada Datuk Syafinaz Selamat, Hael Husaini dan Edry Abdul Halim, berdasarkan persembahan solo dan juga secara berkumpulan yang dinamakan Alpha Ultra dan Alpha Prime.

Kini, yang mewakili Malaysia dan mara ke peringkat akhir ialah, Afiq Sky, 18 tahun; Araff, 19 tahun;  Ariel Fesol, 27 tahun; Daniel Sher, 34 tahun; dan Ray-D, 20 tahun.

Dari Brunei, pertandingan ini disertai oleh Rizal Rasid, 29 tahun, manakala Singapura diwakili oleh Izat Ibrahim, 34 tahun.

Ketujuh-tujuh peserta ini turut diberi nama julukan sebagai OT7 oleh pengamat dunia hiburan dan penggemar K-pop di media sosial, yang membawa maksud ‘One True 7’ – digunakan untuk menggambarkan dukungan atau rasa cinta kepada semua anggota kumpulan. 

Lebih daripada itu, saya rasa ini menjadi minggu yang paling mencabar bagi semua peserta sejauh ini.

Sejak melalui proses ‘reshuffling’ atau penyusunan semula anggota kumpulan dalam Alpha Prime dan Alpha Ultra pada Minggu Suku Akhir, iaitu minggu keenam, kelebihan setiap peserta semakin terserlah.

Dalam Minggu Separuh Akhir (Minggu 7), ketujuh peserta diberi tantangan untuk menyajikan persembahan lagu, Gento, oleh kumpulan SB19.

Ini merupakan tugasan tambahan, di samping persembahan berkumpulan dalam Alpha Ultra dan Alpha Prime.

Melalui lagu Gento, tidak dinafikan yang paling menyerlah dari sudut persembahan adalah Daniel, Ariel dan Rizal kerana kestabilan mereka mengimbangi gerakan yang rumit dan vokal bertenaga.

Saya turut kagum dengan koreografi Ray-D yang kemas, menunjukkan ciri-ciri penari utama jika beliau ditakdirkan menang dan berhasil membentuk ‘boyband’ di akhir pertandingan, walaupun dari segi vokal masih boleh dipertingkatkan lagi.

Bagaimanapun, saya akur kumpulan OT7 ini sudah mula menunjukkan keserasian dan rasanya sayang jika salah satu di antara mereka dikorbankan dalam pertandingan ini.

Seperti yang dikatakan oleh juri Syafinaz dan Edry, mereka ingin melihat OT7 debut sebagai satu kumpulan.

Hal ini turut disokong oleh netizen berdasarkan komen mereka melalui laman YouTube dan TikTok.

Namun, jika sudah namanya adat pertandingan, pastinya akan ada yang menang dan kalah.

Mengikuti perkembangan Izat, bakat seni tempatan dalam Big Stage Alpha, beliau semakin dikenali ramai sejak mempersembahkan lagu Inggeris, Lay Me Down oleh penyanyi dari Britain, Sam Smith, dalam versi rok, memberi sentuhan segar dalam lagu balada tersebut.

Persembahan itu mencatatkan markah tinggi sebanyak 82.20 peratus, menjadikan beliau peserta teratas berdasarkan markah keseluruhan juri untuk Minggu 3 pada 11 Mei.

Penampilannya yang luar biasa itu turut mendapat pujian tinggi daripada juri jemputan, Jaclyn Victor, serta Syafinaz.

Lebih membanggakan, Izat berjaya mengekalkan kedudukan teratas selama empat minggu berturut-turut.

Walaupun menduduki tempat kedua pada Minggu 4 menerusi lagu, DJ Got Us Fallin’ In Love, dendangan Usher, beliau kembali merebut kedudukan pertama pada Minggu 5 dengan persembahan cemerlang lagu, Khayalan, yang dipopularkan kumpulan Black Dog Bone, dan kedudukan kedua pada Minggu 6 dengan persembahan lagu, Kasih Berubah, oleh Ferhad.

Persembahan Izat menyanyikan Khayalan pada Minggu 5 telah mendapat pujian daripada Edry yang terpesona dengan gubahan kreatif lagu Khayalan, digubah oleh komposer Singapura, Danial Elias Teo.

Edry turut mengakui bahawa beliau pada mulanya merasa ragu-ragu, memandangkan lagu tersebut telah dipersembahkan dalam pelbagai versi sebelum ini, yang sekali gus menambah tantangan bagi Izat untuk membawanya dengan pendekatan yang berbeza.

Namun, pada Minggu Separuh Akhir yang disiarkan pada 8 Jun, Izat terjunam ke tangga keempat selepas mempersembahkan lagu, Terus Hidup, nyanyian penyanyi Malaysia popular, Aina Abdul, yang juga merupakan idolanya.

“Izat sebenarnya sudah menjangka tidak akan berada dalam ‘Top 3’ pada Minggu 7 kerana kurang rehat dan latihan, selain situasi semasa pertandingan yang agak mencabar.

“Bukanlah untuk menuding jari atau menyalahkan sesiapa, tetapi apabila latihan saya kurang, saya cenderung untuk ‘overthink’ (terlalu banyak berfikir), lebih-lebih lagi kerana lagu itu dinyanyikan oleh idola saya sendiri.

“Tentu sekali saya mahu memberikan yang terbaik dan memenuhi harapan peminat yang sudah lama menantikan saya menyanyikan lagu Aina Abdul.

“Namun, apabila peluang itu tiba, saya rasa tidak dapat memberikan yang terbaik, lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang. 

“Walaupun agak kecewa, saya tetap gembira untuk rakan-rakan saya yang berjaya berada dalam ‘Top 3’,” ujar Izat dalam satu wawancara.

Dalam Minggu Akhir yang akan berlangsung pada 15 Jun, Izat bakal menyajikan lagu, Januari, dendangan asal Glenn Fredly.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg