Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ridhwan Azman serlah bakat dalam pertandingan nyanyian Melayu

Jun 12, 2025 | 5:30 AM
Peserta Big Stage Alpha dari Singapura, Ridhwan Azman
Pada minggu pertama pertandingan nyanyian realiti, ‘Big Stage Alpha’, Ridhwan Azman (tengah) bersama dua lagi peserta, Allan Anderson (kiri) dan Shaqeen (kanan) menyanyikan lagu, ‘Maha Karya Cinta’, dendangan asal Faisal Tahir. - Foto INSTAGRAM ASTRO GEMPAK

Biasa dikenali orang sebagai pencipta kandungan yang tidak reti duduk diam, Ridhwan Azman, menyahut cabaran untuk menyerlahkan bakat nyanyian dalam bahasa Melayu di pertandingan nyanyian realiti Malaysia, Big Stage Alpha.

Ini merupakan satu langkah berani diambil warga Singapura berusia 32 tahun itu, yang lebih sinonim dengan nyanyian lagu dalam bahasa Mandarin.

Penglibatan awalnya dalam pertandingan nyanyian Mediacorp, Campus Superstar pada tahun 2009, telah membentuk kemahiran dan kematangan beliau dalam menyampaikan lagu Mandarin.

Kemahiran tersebut kemudian membawa Ridhwan ke pentas SPOP Wave!, menampilkan tujuh selebriti berbangsa Cina pada 2021, yang turut menyumbang kepada kejayaan beliau sebagai naib juara.

“Saya sudah biasa cuba nasib dalam pertandingan nyanyian di Singapura dan kalau pertandingan dalam bahasa Melayu pula, memang jarang.

“Selalunya, orang akan kenal saya melalui pertandingan dalam bahasa Mandarin, iaitu Campus Superstar dan SPOP Wave!.

“Sebelum Big Stage Alpha, saya juga sempat mara ke ‘Top 100’ dalam pertandingan nyanyian realiti, Calpis Soda One In A Million.

“Jadi saya rasa, tidak salah jika saya ingin cuba sekali lagi dalam pertandingan bahasa Melayu lain seperti Big Stage Alpha.

“Terakhir kali saya berada dalam pertandingan bahasa Melayu ialah Anugerah (Musim 10) pada 2017, yang disiarkan di Mediacorp Suria,” kata Ridhwan ketika dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom.

Pada minggu pertama Big Stage Alpha yang disiarkan pada 27 April di saluran Astro Ria, Ridhwan menyajikan lagu, Maha Karya Cinta, dendangan asal Faizal Tahir, dalam kumpulan yang turut dianggotai dua lagi peserta iaitu, Shaqeen, atau Muhammad Nurshakirin Mahd Zaki, dan Allan Anderson.

Bagaimanapun, perjalanan Ridhwan dalam pertandingan tersebut terkandas di minggu pertama, termasuk Shaqeen, yang turut disingkirkan.

Sementara itu, peserta asal Indonesia, Allan Anderson, berhasil menandingi Ridhwan dan Shaqeen, namun disingkirkan pada peringkat suku akhir pada 1 Jun, bersama Awienit Num dari Kuala Lumpur, Malaysia.

Ridhwan, yang pernah membintangi filem francais tempatan, Ah Boys To Men, arahan Jack Neo, menjelaskan bahawa penyingkiran pada minggu pertama ditentukan berdasarkan prestasi peserta sejak tiga minggu sebelumnya, termasuk sesi uji bakat mega.

Walaupun tersingkir pada minggu pertama, perjalanannya terpalit kontroversi apabila berlaku perselisihan faham dengan rakan sepasukan, Allan, yang menarik perhatian ramai sewaktu pertandingan baru bermula.

“Saya tidak nafikan Allan mempunyai kemahiran dalam bidang nyanyian. Beliau pernah dilatih dalam sebuah kumpulan yang mana jika anda lemah, anda perlu berusaha lebih untuk seiring dengan anggota lain.

“Namun, daripada pemerhatian saya, Shaqeen kelihatan sukar untuk mencapai nota yang tepat, dan cara Allan berkomunikasi agak kurang berhati-hati.

“Apabila juri Datuk Shafinaz menyentuh tentang kerjasama, saya merasakan ia tidak sepenuhnya tepat. 

“Saya tidak mahu meninggalkan kesan terakhir dalam pengalaman sulung bertanding di Malaysia sebagai seseorang yang tidak tahu bekerjasama.

“Oleh itu, saya terpaksa menyatakan perkara sebenar,” jelas Ridhwan, yang juga pengasas sebuah syarikat penerbitan video dan pemasaran media sosial, CrayEight Studios.

Beliau turut mengatakan telah berdamai dengan kejadian yang melibatkan dirinya dan Allan, meskipun perkara tersebut diperbesar oleh media dan netizen, terutama selepas penyingkirannya pada minggu pertama.

“Pertandingan ini sangat menitikberatkan kerja berpasukan, lantas perlu memahami kelebihan dan kelemahan setiap anggota kumpulan.

“Kami juga perlu berbincang untuk menyelaraskan dan memadukan suara dengan harmoni.

“Di samping itu, saya juga sudah biasa bekerja secara berkumpulan sebelum ini, dan saya akui terdapat cabaran dalam berkolaborasi.

“Sebenarnya, isu ini telah pun selesai pada malam penyingkiran minggu pertama.

“Namun, media ingin mendapatkan penjelasan lanjut kerana rakaman diari yang kami lakukan. Dalam diari itu, banyak situasi berlaku, termasuk jenaka ‘prank’ (gurauan) dan salah faham antara satu sama lain.

“Bila wawancara diadakan dalam satu masa dan diterbitkan di lain waktu, ia seumpama mengungkit isu lama. Pada hakikatnya, isu itu sudah terlerai,” ceritanya lagi.

Berbekalkan semangat wajanya, Ridhwan tidak menjadikan hal ini sebagai hambatan untuk meneruskan perjuangan menempah nama dalam arena hiburan bahasa Melayu.

Menyentuh tentang harapannya, beliau berhasrat untuk menjadi seniman yang berkaliber dan mampu meninggalkan kesan mendalam pada masyarakat bak peribahasa, harimau meninggalkan belang, manusia meninggalkan nama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg