Penyanyi dan penggubah lagu Amerika, Billy Joel, akur meskipun tidak sihat selepas dikesan dengan keadaan otak yang menjejas daya penglihatan dan pendengaran, keadaannya baik-baik sahaja selepas berehat daripada dunia nyanyian.
Joel, 76 tahun, yang dikenali kerana lagu 1970-an yang menyentuh hati seperti, Just The Way You Are, dan Honesty, mula membatalkan siri konsertnya di Edinburgh dan Liverpool, selepas disahkan mengalami masalah gumpalan cecair serebrospinal yang berkumpul di otaknya.
Keadaan itu dikenali sebagai normal pressure hydrocephalus (NPH), lapor laman web syarikat agensi berita yang berpangkalan di United Kingdom, PA Media.
Pada Mei, pihak pengurusan Joel, atau nama sebenarnya, William Martin Joel, mengesahkan persembahan yang kerap dilakukannya di merata dunia, telah menjejas kesihatannya.
Joel mula mengalami masalah pendengaran, penglihatan dan mengimbangi tubuhnya sehingga terasa tidak selesa untuk bergerak ke sana sini.
Bagaimanapun, dalam satu temu bual podcast, Club Random Podcast, bersama pelawak, Bill Mather, Joel menjelaskan:
“Masalah saya belum lagi terhurai. Saya masih dalam rawatan.
“Tapi saya rasa lebih sihat walaupun saya masih jalan terhuyung-hayang macam duduk dalam bot!”
Menurut laman web kesihatan, NPH USA, keadaan yang dialami Joel itu jarang berlaku dan sentiasa disalah anggap.
Ia kerap menjejas pesakit berusia lebih 60 tahun dan sukar dikesan kerana persis penyakit Alzheimer – masalah pergerakan dan demensia (mula lupa).
“Saya rasa ada kena-mengena dengan tabiat suka minum arak berlebihan dahulu walaupun doktor tidak mengesahkan itulah puncanya.
“Tapi saya sudah berhenti minum arak,” kata Joel, yang memperolehi lima Anugerah Grammy dan 23 pencalonan sepanjang kerjaya seninya selama hampir enam dekad.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg