Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengalaman pesakit: Kerap dengar bunyi ‘cengkerik’ dalam rumah

Jul 7, 2025 | 5:30 AM
pesakit tinitus, rasa berdengung
Pesakit tinitus boleh mendengar pelbagai jenis bunyi dan boleh rasa berdengung, berdesing, berdering dan mendengar bunyi seperti angin atau cengkerik. - Foto ISTOCKPHOTO

Cik Anna (nama samaran) tidak akan melupakan pagi pertama selepas berpindah ke flat barunya di utara Singapura pada 1998.

“Saya terdengar bunyi cengkerik dalam rumah, seperti berada di tengah hutan malam hari. Tapi anak-anak saya tak dengar apa-apa,” katanya.

Pada saat itu, beliau mula menyedari sesuatu yang tidak kena dengan telinganya.

Selama lebih dua tahun, Anna berasa tidak selesa. Bukan kerana ketiadaan bunyi, tetapi sebaliknya.

Bunyi berdengung, berdesing dan seakan-akan cengkerik sentiasa menghantuinya, satu gejala yang dikenali sebagai tinitus.

“Ia seperti kawanan belalang datang menyerbu. Saya tidak pernah mendapat ketenangan sepenuhnya, terutama waktu malam,” kata Cik Anna, 58 tahun, seorang penyambut tetamu perubatan dan penyelaras rawatan pesakit.

Tinitus ialah gejala apabila seseorang mendengar bunyi tanpa sebarang rangsangan luar.

Menurut pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), gejala itu boleh muncul dalam bentuk dengungan, deringan, bisikan atau desiran angin.

Jika berterusan lebih dua minggu, ia perlu diperiksa kerana berpotensi menjadi kronik.

“Saya takut berjumpa doktor sebab fikir telinga akan terus dibedah. Itu tidak benar. Rawatan bergantung kepada punca,” jelas Cik Anna.

Menurut beliau, doktor memberitahunya gejala itu boleh berlaku pada satu atau kedua-dua telinga, dan biasanya dikaitkan dengan kehilangan pendengaran, usia lanjut, jangkitan telinga, kecederaan kepala, atau penyakit saraf.

Selama dua tahun, Cik Anna tidak mendapatkan rawatan khusus.

Namun dua tahun lalu, pakar ENT merujuknya ke pusat pemulihan pendengaran.

Di sana, dua rawatan inovatif membantu mengubah hidupnya.

“Masa mula datang, saya cakap pada doktor, ‘Saya dah tak tahan’,” katanya sambil tersenyum.

Beliau didiagnosis dengan kehilangan pendengaran, sesuatu yang lazim dalam pesakit tinitus.

Bunyi sekeliling seperti suara manusia, bunyi kereta, atau peralatan rumah biasanya membantu menutup bunyi tinitus.

Tanpa bunyi tersebut, otak lebih cenderung untuk memberti tumpuan pada dengungan.

“Otak saya hanya dengar tinitus, sebab saya tak dengar bunyi lain,” jelas Cik Anna.

Rawatan pertama yang Cik Anna terima ialah alat bantuan pendengaran digital yang canggih.

Ia bukan sahaja menguatkan bunyi sekeliling, bahkan turut mempunyai ‘sound generator’ – program khas yang menghasilkan bunyi latar seperti kipas.

“Kalau saya nak tenang dan tak mahu dengar sekeliling, saya boleh aktifkan program tu. Sangat membantu,” katanya.

Selepas itu, Cik Anna menjalani terapi, Tinnitus Retraining Therapy (TRT), pendekatan yang mengajar otak untuk mengabaikan bunyi tinitus – satu proses yang dipanggil habituasi.

“Orang tak boleh ‘hidup bersama tinitus’ jika mereka terus-menerus memikirkannya dan berasa cemas.

“Otak akan menganggap bunyi itu sebagai satu ancaman. Terapi TRT bantu otak saya berhenti melihat tinitus sebagai sesuatu yang membahayakan,” kata Cik Anna.

Kini, Cik Anna kembali menikmati hidup.

“Untuk mereka yang rasa putus asa, rawatan ni ibarat rahmat,” katanya.

Pakar ENT memberikan panduan kepadanya bahawa gaya hidup sihat dan penjagaan telinga penting untuk mencegah tinitus.

Elakkan mengorek telinga dengan putik kapas, berhenti merokok, serta kawal tekanan darah dan paras gula.

“Tahi telinga kalau ditolak ke dalam akan menyebabkan sumbatan dan berdesing. Ada juga ubat tertentu yang boleh rosakkan sel pendengaran,” kata Cik Anna.

Jika tinitus berpunca daripada lubang pada gegendang telinga, pembedahan menampal gegendang mungkin diperlukan.

Sementara itu, masalah radang ringan boleh dirawat dengan antibiotik.

Pelbagai faktor menyebabkan bunyi berdesing antaranya jangkitan kuman di telinga luar, tahi telinga, gegendang telinga berlubang, neuromedikal seperti Parkinson dan lain-lain.

Istilah neuromedikal merujuk kepada gangguan sistem saraf yang boleh menjejas fungsi pendengaran secara tidak langsung.

Faktor lain gejala ini seperti ‘hyper-cholestronaemia’ menjadi faktor penyumbang kerana ia menjejas aliran darah ke bahagian telinga dalam boleh menyebabkan kurangnya oksigen sampai bahagian telinga dalam, kecederaan pada otak akibat kemalangan, merokok dan pengambilan alkohol.

Bunyi bising di tempat kerja turut menjadi faktor utama.

Pendedahan melebihi 85 desibel (db) untuk tempoh lapan jam atau bunyi lebih 120db dianggap berbahaya.

“Ramai yang tak sedar mereka bercakap kuat, salah faham dalam perbualan, atau pasang TV terlalu kuat – itu petanda awal,” katanya.

Penggunaan alat perlindungan pendengaran seperti penutup telinga dan penyumbat amat digalakkan.

Selain itu, diet sihat termasuk makanan tinggi zat besi dan zink, serta berhati-hati dengan ubat-ubatan ototoksik juga penting.

Ototoksik merujuk kepada kesan toksik atau racun ubat-ubatan terhadap struktur dan fungsi telinga, khususnya bahagian dalam telinga.

Walaupun tiada penawar mutlak untuk tinitus, rawatan moden dan terapi pemulihan seperti yang dialami Cik Anna mampu membawa perubahan besar dalam mutu hidup.

“Saya kini boleh tidur dengan tenang. Dulu, setiap malam saya rasa seperti dalam hutan. Sekarang saya rasa sunyi yang sebenar,” kata Cik Anna dengan penuh syukur.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg