Penyanyi rap yang juga anggota kumpulan Nico G, Nico, 52 tahun, meninggal dunia dalam tidur di Kampung Baru, kira-kira jam 11 malam pada 4 April.
Berita pemergian Allahyarham Nico, atau nama sebenarnya, Abdul Fashah Abdul Aziz, disahkan bekas pengurusnya, Ayob Abd Majid kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
“Sudah menjadi kebiasaan, arwah akan singgah ke Kampung Baru, walaupun tinggal di Cheras.
“Bagaimanapun, arwah sudah tidak bergerak ketika rakan cuba mengejutkannya. Jenazah arwah kini dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat,” kata Ayob lagi.
Mengulas punca kematian, Ayob berkata beliau tidak pasti, namun keluarga meminta menunggu keputusan proses bedah siasat pada pagi 5 April.
Nico mencipta populariti bersama kumpulan Nico pada awal 1990-an yang turut dibarisi Affa dan Dino.
Mereka pada asalnya menggunakan nama Nico atau Network International Chicanos Organization dan dikenali menerusi lagu Inilah Nasibku pada 1993.
Bermula dengan album Buatan Los Angeles, trio itu juga pernah tampil dengan album Realiti pada 1995 dan album Alamak! (1996).
Nico pernah kembali pada 2003 menerusi Ops Kecoh bersama ahli baru, Ezad.
Selepas sekian lama menyepi, Nico muncul semula dengan barisan anggota asal dengan nama baru, Nico G sebagai projek penjenamaan semula kumpulan mereka.
Mereka juga menyertai peraduan realiti, Gegar Vaganza 8 (GV8).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg