Sedekad bukanlah masa yang singkat bagi seorang artis berjuang mendapatkan tempat dalam industri seni hiburan yang pesat berkembang.
Namun, selepas 10 tahun melabur masa, keringat dan usaha, penyanyi Singapura, Izat Ibrahim, 34 tahun, percaya bahawa hasil ketekunan dan semangat tidak mudah putus asa telah membawanya ke puncak kejayaan.
Dalam tempoh panjang itu, Izat telah melalui pelbagai cabaran dan liku-liku yang mematangkan dirinya sebagai seorang penyanyi dan penghibur.
Sudah banyak kali Izat memasuki peraduan nyanyian. bermula dengan SG Mania (Musim 3) pada 2019 hingga Kaki Nyanyi pada 2025, namun namanya masih belum cukup dikenali.
Pada akhirnya, penantian berharga bagi meniti tangga populariti tercapai setelah memenangi tempat keenam dalam pertandingan nyanyian realiti terbitan Astro, Big Stage Alpha: Gelombang Dominasi.
Edisi Big Stage Alpha itu telah menutup tirai pada 15 Jun lalu, dengan menobatkan penyanyi asal Pulau Pinang dan mantan pramugara syarikat penerbangan Air Asia, Ariel Fesol, sebagai juara.
Susulan kejayaan dalam pertandingan tersebut, Izat turut menjadi salah seorang anggota yang melengkapi boyband terbaru, Alpha.
Berkongsi lebih lanjut bersama Berita Minggu (BM) menerusi Zoom pada 2 Julai lalu, Izat berkata:
“Saya rasa sangat beruntung dan gembira atas peluang yang diberikan ini, untuk berada dalam kumpulan boyband Alpha.
“Tidak kira menang tempat keenam atau kelima sekali pun, tujuan kami di akhir pertandingan Big Stage Alpha adalah untuk membentuk sebuah ‘boyband’.
“Bagi kami, untuk berada di pusingan akhir sudah cukup menandakan tujuan kami tercapai.
“Menjadi pemenang itu adalah bonus dari segi piala dan hadiah berbentuk wang tunai.
“Namun pada dasarnya, kami hanya ingin bersatu sebagai sebuah ‘boyband’.”
Selepas membentuk Alpha bersama enam anggota lain termasuk Afiq Sky, 18 tahun; Araff, 19 tahun; Ray-D, 20 tahun; Ariel Fesol, 27 tahun; Rizal Rasid, 29 tahun dan Daniel Sher, 34 tahun – kehidupan anak Singapura itu berubah serta-merta.
Akhir-akhir ini, beliau lebih kerap mengadakan siaran langsung di media sosial bersama anggota Alpha lain, khususnya di laman TikTok.
Izat, yang bertindak sebagai vokalis utama, menekankan kepentingan untuk terus berhubung dengan kelab peminat Alpha iaitu Alphanites, di Malaysia menerusi media sosial demi kekal relevan.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui bahawa sokongan dan perhatian sebegitu bukan mudah diperolehi dalam industri muzik tempatan.
Bahkan, Izat menceritakan seorang peminat menangis terharu apabila beliau bergabung dalam siaran langsung kendalian peminat tersebut menerusi media sosial.
Kini, Izat memiliki kelab peminat sendiri bernama, Izthatizzies.
“Saya rasa penting untuk kumpulan Alpha sentiasa dekat dengan peminat, memandangkan kami masih baru lagi.
“Setiap anggota turut berhasrat untuk mempunyai kelab peminat sendiri, sekuat sambutan yang diberikan Alphanites pada kumpulan Alpha.
“Adakalanya kami juga banyak menerima ‘fan edit’ (video suntingan peminat yang dimuat naik di media sosial) di TikTok. Ini bermakna ramai meminati Alpha.
“Ada sekali itu, kami muncul dalam siaran langsung (di TikTok) milik salah seorang peminat dan beliau menangis kerana terlalu terharu melihat kami yang muncul dan berinteraksi di sesi ‘live’ tersebut,” cerita Izat sambil tertawa.
Dengan pelbagai personaliti yang mewarnai kumpulan Alpha, Izat sering diberi nama julukan ‘Angah’, panggilan yang biasanya merujuk kepada anak kedua dalam sesebuah keluarga.
Kenyataannya, Izat adalah antara anggota yang dianggap lebih berpengalaman dalam bidang muzik dan secara semula jadi memainkan peranan sebagai ‘abang’ kepada anggota yang lebih muda dalam Alpha.
“Setiap seorang (anggota Alpha) memiliki ‘perangai’ dan kegilaan masing-masing yang lucu dan menghiburkan dalam kalangan peminat.
“Dalam hal ini, orang biasa menganggap Izat sebagai anggota yang ‘paling waras’. Angah adalah panggilan untuk Izat, sementara Along ditujukan pada Daniel Sher, yang juga merupakan ketua kumpulan Alpha.
“Tetapi, sejujurnya, apabila kami tidak serumah, suasana bertukar sunyi dan saya berasa sangat asing.
“Memang agak anehlah. Bila mereka ada, keadaan sangat huru-hara.
“Bila tak duduk bersama, mulalah rasa rindu dengan kerenah mereka,” ujar Izat, yang pernah bekerja sebagai penyanyi kelab malam dan bergiat secara profesional sejak 2014 sebelum ini.
Menyusuli kejayaan di Big Stage Alpha, Izat bersama anggota Alpha lain mengeluarkan lagu sulung berjudul, Monalisa (Bang Bang), sejak Jun lalu (2025).
Lagu ini menggambarkan perasaan kagum terhadap seorang gadis yang memikat, penuh misteri dan berkarisma ibarat wanita ikonik dalam lukisan Leonardo da Vinci, sesuai dengan judulnya iaitu Monalisa.
Lebih menarik lagi, tak sampai 24 jam selepas dilancarkan pada 6 Julai, video muzik Monalisa (Bang Bang), telah mencapai lebih 50,000 tontonan di laman YouTube.
Kini, video muzik itu meraih sebanyak 266,129 tontonan di YouTube serta 148,960 penstriman di wadah Spotify, sehingga akhbar ini diterbitkan.
Di samping itu, Izat berkongsi pengalaman beliau menghadapi cabaran untuk mempelajari gerakan dan tarian ikonik pada lagu Monalisa (Bang Bang).
“Saya bukanlah seorang ‘dancer’ (penari)! Yang lain dapat ‘tangkap’ cepat, sementara saya masih lagi terkial-kial.
“Saya berlatih selama seminggu untuk dapatkan gerakannya. Nasib baiklah saya di belakang!
“Mujurlah, ketika sampai masa untuk merakam video muzik, saya boleh lakukan tarian itu dengan baik,” katanya.
Pada 18 Julai, Alpha mengeluarkan lagu terbaru berjudul, P Ramlee Saloma, menampilkan kebolehan dan keunikan suara mereka menyampaikan lagu yang lebih mendayu-dayu.
Lagu tersebut dijadikan runut bunyi rasmi (OST) bagi drama berjudul, Thariq Ridzuwan, yang merupakan adaptasi novel popular Thariq Ridzuwan: His Treasure, naskhah tulisan Huda Najwa.
Berbalik kepada Izat yang pernah ingin mencuba nasib di Kuala Lumpur pada 2019, namun kurang berjaya, apakah kira-kira pesanan yang ingin disampaikan kepada dirinya ketika itu?
“Saya akan beritahu diri saya yang dulu untuk terus mencuba dan jangan berputus asa.
“Tidak semua orang akan menyokong atau mahu melihat saya berjaya, tapi yang penting adalah percaya pada diri sendiri.
“Kalau sesuatu itu ditakdirkan untuk kita, Allah akan bukakan jalan dan tunjukkan arah yang betul.
“Saya tidak boleh bergantung sepenuhnya pada nasib kerana kejayaan juga datang daripada usaha yang berterusan,” kata Izat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg