Lumrah adat manusia termasuk netizen yang berlegar-legar di ruang siber dan menanti masa untuk menyerang.
Ada yang mudah mengecam mahupun menegur bertubi-tubi tetapi sebilangannya mudah sahaja memaafkan.
Bagaimanapun, apabila Ramadan bakal melabuhkan tirainya pada 30 Mac bagi memberi laluan kemunculan Syawal selaku lambang kemenangan umat berpuasa, yang sudah tu sudah sahaja (macam lagu Imran Ajmain, Sudah Tu Sudah).
Tak perlu heret kekecohan (sampai ke musim Lebaran) yang selalu muncul dibincangkan netizen, dengan adanya lagu Raya baru yang tular dan menimbulkan tanda tanya.
Baru seminggu lalu saya baca tentang artis ‘hip-hop’ Malaysia, MimiFly, yang teruk dikecam kerana tampil berkemban dalam video muzik lagu Raya terbarunya, Serumpun.
Ramai yang bising sebab Mimi atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham, 38 tahun, dikatakan bagaikan tidak ikut adat budaya Melayu yang sepatutnya menjunjung tradisi kemelayuan, termasuk dalam menggunakan pakaian yang sopan dan tidak menjolok mata.
Wanita Amanah Wilayah Persekutuan turut mengecam video muzik tersebut kerana dianggap tidak sesuai dengan ajaran Islam dan konsep Aidilfitri.
Apa yang saya puji ialah respons Mimi yang positif dan merendah hati meminta maaf di samping mengaku akan kesilapannya dan keadaan terlepas pandang mengenai video muzik yang menyinggung perasaan ramai.
Beliau tidak menghampakan dengan menyunting dan kemudian memuat naik video muzik baru, Serumpun, yang lebih sejuk dipandang mata.
Dalam masa sembilan hari, video di YouTube itu sudah ditonton sebanyak 2.5 juta kali.
Tidak seperti artis lain yang pantang ditegur dan ‘meroyan’, Mimi pula wajar dipuji kerana merima segala teguran dan usaha memperbaiki kerja seni yang sejajar dengan nilai masyarakat Melayu.
Seorang netizen yang menggunakan akaun, ‘Sekali Sekala Nak Bagi Komen’, menulis:
“Dari sini kita boleh lihat bahawa MimifFy seorang yang tidak mudah melatah, menerima teguran dan nasihat dengan hati yang terbuka, tidak meninggi diri, dan berani memperbaiki keadaan dengan tenang.
“Nampak macam mudah tapi sebenarnya tak semua orang boleh buat ya? Ini adalah sisi baik beliau yang semua orang boleh contohi. Semoga dijadikan iktibar buat semua termasuklah saya sendiri.”
Saya sendiri pernah mewawancara Mimi sewaktu beliau dan kumpulan, One Nation Emcees, bertanding dalam peraduan Gegar Vaganza 6 (GV6) dan muncul sebagai antara finalis.
Orangnya memang hormat orang dan suka mencedok kisah inspirasi daripada perjalanan getir mereka yang ditemui.
Di sebalik keligatannya menari, beliau memiliki kelembutan hati.
Saya pasti semuanya datang daripada pengalaman dibesarkan ibunya, Cik Ramlah Mohd Jali, yang dilahirkan tanpa sepasang kaki.
Cik Ramlah, 70 tahun, pernah menyandang jawatan pengarah di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan penerima Anugerah Ibu Gemilang 2018.
Beliau turut aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seberang Tambak.
Satu perkara yang saya belajar daripada peristiwa video muzik yang lari daripada landasan tatasusila Melayu adalah kita sebagai penonton, sebagaimana Mimi sebagai artis, pun tak boleh cepat melatah.
Sebaiknya janganlah rugi-rugikan pahala Ramadan dengan menggunakan kata-kata kesat meski dalam bentuk penulisan di media sosial.
Jangan juga cepat menilai hanya kerana penampilan Mimi.
Sebabnya, beliau juga mengejutkan netizen lagi (kali ini kejutan manis dan positif) pada saat-saat akhir Ramadan.
Dalam satu rancangan televisyen swasta, yang menampilkan tetamu termasuk artis Malaysia bagi membaca Al-Quran, Mimi yang mengenakan hijab telah diminta membaca potongan ayat daripada Surah al-Jaathiyah.
Suaranya yang lunak menyentuh jiwa bahkan menenangkan meskipun surah yang dibaca ringkas sahaja.
Asatizah yang hadir dalam program itu sampaikan terpesona dengan bacaannya dan memberi kata-kata pujian.
Sewaktu saya meninjau ruang komen, saya terbaca kata-kata seperti, “Mimi ni baguslah. Baca Quran lancar. Saya yang pakai hijab ni, belum tentu boleh baca sebaik Mimi.”
Akhir kata, tak perlulah kita mengutuk tanpa ada rasa belas atau keinginan mendoakan mereka yang terpalit dengan kontroversi.
Kita pun tak perlu jaga tepi kain orang sebab kain sendiri pun kemungkinan masih singkat, koyak atau perlu diganti baru.
Kedatangan Aidilfitri pada 31 Mac ini diharap menjadikan kita netizen yang lebih peka dan mudah memaafkan. Salam Lebaran. Maaf Zahir Batin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg