Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hati-hati kalau ikut trend tari tular

Selebriti, pempengaruh sosial perlu peka dalam sahut cabaran TikTok seperti ‘joget dapat duit Raya’
Apr 12, 2025 | 5:30 AM
Ada yang mengatakan trend menari sebelum dapat duit Raya yang tular di TikTok bagi musim Lebaran 2025, dikaitkan dengan tarian sosial ‘Penguin Dance’, yang dimulakan di Finland, Albania dan Romania, sekitar 1960-an, manakala ada pula yang mendapati ia juga menjadi tarian kegemaran masyarakat Yahudi.
Ada yang mengatakan trend menari sebelum dapat duit Raya yang tular di TikTok bagi musim Lebaran 2025, dikaitkan dengan tarian sosial ‘Penguin Dance’, yang dimulakan di Finland, Albania dan Romania, sekitar 1960-an, manakala ada pula yang mendapati ia juga menjadi tarian kegemaran masyarakat Yahudi. - Foto hiasan FACEBOOK TREND RAYA

Walaupun saya bukan dalam kalangan generasi anak muda atau Generasi Z dan Alpha yang ‘mabuk TikTok’, sebagai karyawan media, saya tetap tidak mahu ketinggalan mengikuti perkembangan wadah perkongsian video ringkas ini.

Maklumlah, saya dikelilingi rakan sekerja bahkan mempunyai anak saudara yang muda belia.

Antara topik kegemaran mereka apabila diajak bersembang adalah kandungan TikTok yang kian tular.

Setiap munculnya Lebaran, pasti ada sahaja trend selebriti yang mendapat perhatian dan tiba-tiba menjadi ikutan netizen sampai mencecah jutaan tontonan di TikTok dan Instagram.

Bagi saya, trend menyahut cabaran gerak tari lagu tular seperti, Alamak Raya Lagi! (dendangan asal kumpulan De Fam); Ketipak Ketipung Raya (Aisha Retno dan Aziz Harun); serta yang terkini bagi Hari Raya 2025, Meriah Lain Macam (Hael Husaini dan Nadeera); serta Serumpun (Mimifly), merupakan sesuatu yang sudah dijangka.

Seronok tengok pelbagai versi persembahan, bahkan comel menyaksikan anak kecil bawah usia lima tahun menari beramai-ramai dengan gelagat tersendiri.

Ada juga versi warga emas yang tak dapat menyelaraskan gerak tari... ada yang ke kanan dan ada yang ke kiri. Diminta goyang tangan, digoyangnya kaki!

Sungguhpun begitu, pada 2025, saya agak terkejut dengan begitu banyak video yang muncul pada suapan akaun Instagram, Facebook dan TikTok saya, yang memaparkan anggota keluarga, sanak saudara dan handai taulan, beratur sambil menanti masa untuk menari sebelum mendapatkan sampul wang Raya mereka.

Ada sebilangan selebriti Singapura dan Malaysia yang begitu teruja merakam video tular anak-anak mahupun anak kenalan dan jiran mereka terlonjak-lonjak, mengikut irama lagu latar, sebelum akhirnya dapat bersalaman dan menerima duit ‘collection’ mereka.

Dalam hati saya berkata-kata: “Hai... kasihan pula yang nak menerima duit Raya. Kena menari? Macam kena ‘dera’ pula (bagi yang memang tak pandai atau malu nak menari).”

Cuma, hari demi hari apabila isu ini mula dikupas golongan asatizah di dalam akaun media sosial mereka sendiri, sesuatu yang terbetik di fikiran ialah trend sebegini tidak seharusnya menjadi ikutan tanpa mengkaji asal usulnya.

Ada netizen yang sempat menggali maklumat dalam Internet untuk langsung menyebarkannya di TikTok sambil berkata tarian yang dibuat itu persis tarian golongan Yahudi.

Saya tonton beberapa klip video TikTok yang bagaikan membuat tesis ringkas mengenai asal usul tarian ini.

Bagaimanapun, ada juga yang menyatakan masyarakat Yahudi hanya mengikuti ‘Tarian Penguin’ yang dipelopori di Finland, Romania dan Albania, seawal 1960-an.

Ia tiada beza dengan tarian sosial, poco-poco yang berasal dari Sulawesi Utara di Indonesia.

Walau apa pun, saya harap selebriti yang diteladani ramai peminat mereka, harus lebih berhati-hati dalam memaparkan trend media sosial, khususnya pada bulan mulia seperti Ramadan dan Syawal.

Pendek kata, dalam era orang biasa pun boleh menjadi pempengaruh, kepekaan terhadap trend semasa, sama ada ia berlanggar dengan tatasusila dan adab budaya Melayu dan agama Islam pun, harus diperhatikan.

Penceramah bebas, Ustazah Asma’ Harun menegur tindakan pihak yang mengikut trend berjoget demi mendapatkan duit Raya.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau meluahkan rasa kecewa kerana ramai wanita Islam pelbagai peringkat umur mengikuti trend tersebut.

“Tolong fikir sebelum ikut trend ambil duit Raya kena joget, kemudian rakam dan hantar di media sosial. Ramai wanita Islam, baik tua atau muda buat sama,” tegurnya, dalam laporan yang ditukil laman web, Kosmo! Online.

Menurut beliau, Syawal sepatutnya dijadikan ruang untuk menjadi lebih baik dan menghindari kelakuan yang tidak senonoh.

“Syawal ibarat mereka yang balik haji, selepas sebulan Ramadan. Sepatutnya kita lebih berakhlak. Jangan jadikannya satu kebiasaan,” katanya.

Apabila trend ini diselongkar dengan lebih mendalam oleh netizen, saya lihat reaksi spontan selebriti yang memuatnaikkannya sehingga teruk dikecam rakan selebriti lain ataupun netizen yang mengikuti akaun mereka.

Mereka langsung memadam video joget nak dapat duit Raya itu.

Penyanyi, pelakon dan pengarah Malaysia, Liyana Jasmay, 37 tahun, adalah antara yang menyesal mengikuti trend tersebut, lantas segera memadamkan videonya.

Dalam satu hantaran Instagram Story, Liyana meminta maaf kerana mengikuti trend tanpa sebarang usul periksa, bahkan mengajak anak saudaranya merakam video tersebut.

Menurutnya, beliau tersentak apabila mendapat tahu tarian itu cukup popular dalam kalangan kaum Yahudi.

Bagi saya, selebriti Nusantara sebenarnya harus mengambil peluang Syawal untuk berkongsi kandungan yang membangun semangat atau memberi inspirasi kepada pengikut mereka, dan bukan setakat nak ‘happy-happy’ sahaja.

Pada musim Lebaran, saya rasa lebih terkesan dengan video TikTok seorang wanita India yang sanggup menjenguk seorang nenek Melayu yang hidup sebatang kara di Kluang, Johor, pada ambang sambutan Syawal untuk menghadiahkannya kuih Raya dan baju Raya berwarna merah.

Nenek itu cukup terharu dan mengucup pipi wanita yang menggunakan akaun Instagram ‘Chinnakah’s Shop’. Video tersebut ditonton lebih 716,000 kali.

Wanita tersebut kembali lagi selepas beberapa hari menyambut Lebaran untuk memberikan hamper pemberian seorang lagi wanita India, yang tersentuh dengan nasib nenek yang menyambut Lebaran tanpa ditemani sesiapa sahaja. Tidak diketahui anaknya ada di mana.

Syawal memang hari untuk bergembira tetapi ia juga tempoh untuk merenung ke dalam diri dan saling mengingatkan teman-teman kita tentang kemanisan budi yang boleh ditebar untuk orang lain.

Saya suka kalau selebriti Nusantara berkongsi tentang asal usul lagu Raya mereka, kerja seni mereka pada musim perayaan atau cerita-cerita pembakar semangat yang sarat nilai kemanusiaan, yang boleh dijadikan sandaran.

Kalau anda jadi pempengaruh, pastinya anda perlu peka tentang sensitiviti pengikut anda di samping memiliki kesedaran untuk membawa kesan positif dalam kehidupan mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg