Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buat lawak perkara serius, cuit hati penonton paling sukar

Di sebalik wajah bengis Najib Soiman, dalam hati ‘ada taman’ untuk hibur orang dengan watak komedi
May 21, 2025 | 5:30 AM
najib soiman, pesta perdana, pelakon terbaik dalam watak komedi, cerita dia macam ni, raja bundle
Najib Soiman, yang sering diberi peranan sebagai samseng ganas, penjahat atau individu serius yang payah diajak berbincang, terharu menerima dua pencalonan dalam kategori ‘Pelakon Terbaik Dalam Watak Komedi’, bagi drama ‘Cerita Dia Macam Ni’ dan ‘Raja Bundle’. - Foto MEDIACORP SURIA

Wajah bengis pelakon dan penggiat seni kesusasteraan, Najib Soiman, dianggap sinonim dengan watak samseng, penjahat atau orang yang tidak boleh diajak berbincang.

Kalau Najib, 48 tahun, yang bermula sebagai aktivis teater sendiri menganggap dirinya “tak kelakar langsung”, soalan yang terbetik di fikiran sesetengah rakannya dan dirinya sendiri ialah bagaimana beliau boleh menerima dua pencalonan bagi kategori ‘Pelakon Terbaik Dalam Watak Komedi’ bagi Pesta Perdana 2025?

Najib, bapa seorang anak lelaki, menerima pencalonan bagi wataknya sebagai ketua kampung dalam siri drama Cerita Dia Macam Ni dan watak penjual dalam talian yang yakin dan berpengaruh melariskan produk bagi drama Raja Bundle.

Beliau bersaing dengan tiga rakan seni yang disifatkannya sebagai lucu semula jadi, iaitu Khairudin Samsudin (Riuh-Riuh Ramadan Musim Pertama), Sahfuddin Mahfudz (Raja Bundle) dan Izyan Mellyna (Cerita Dia Macam Ni).

Sebelum ini, Najib pernah menerima pencalonan bagi watak serius dalam drama En Bloc dan telefilem Pesan Ayah.

Beliau menghargai pengalaman berlakon dengan dua legenda lakonan Singapura, Allahyarham Osman Zailani dan Allahyarham J.A. Halim.

Pesta Perdana 2025, yang akan menampilkan empat pengacara, Fauzie Laily, Najip Ali, Era Farida dan Farhana M Noor ini, berlangsung di Teater Mediacorp pada 24 Mei ini.

Ia turut meraikan ulang tahun ke-25 saluran Mediacorp Suria, dengan piala Pesta Perdana direka semula dalam bentuk bebola kristal berpotongan berlian.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Najip menjelaskan tidak mudah untuk buat orang tertawa atau tercuit hatinya.

“Sebab itu, saya katakan komedi adalah urusan serius. Saya bukan pelawak tetapi apabila diberikan amanah menghidupkan watak komedi, saya berusaha sebaik mungkin.

“Saya menyedari ini bukan ‘lawak 10 sen’ atau komedi ‘slapstick’. Dalam banyak watak atau genre, komedi paling susah untuk saya lakonkan. Biarlah jadi watak lain...itu lebih mudah diurus.

“Tapi tengoklah watak Mr Bean. Muka serius tetapi gelagatnya melucukan. Begitu juga dengan watak saya sebagai ketua kampung dalam drama Cerita Dia Macam Ni.

“Nak katakan, dia bukannya kelakar dari segi pertuturan. Tetapi kalau kita amati gerak lakunya, akan tercuit hati ini sebab ada sesuatu yang pelik dalam dirinya dan perbuatannya,” jelas Najib.

Walaupun dianggap rakan-rakan sebagai lebih sesuai membawakan peranan antagonis dengan muka ‘Abang-Abang Garang’, Najib tidak akan menolak watak lain daripada lain yang tidak pernah dibawakannya sebelum ini.

Baginya, ia satu tanggungjawab seorang pelakon yang harus sedia menerima tantangan membawa watak di luar zon keselesaannya.

“Saya sahut cabaran membawakan watak seperti pempengaruh penjual barangan dan sering menguar-uarkan kekata ‘Like and Share’ kepada pengikutnya dalam drama Raja Bundle.

“Bagi mempersiapkan diri saya untuk watak ini, saya amati gerak laku penjual dalam talian yang berpengaruh dan pandai pula tambat hati pelanggan dengan keyakinan dan teknik menjual sehingga laris produknya.

“Nak fikirkan memang susah nak buat kelakar kalau kita tiada rakan gandingan. Dalam peranan saya ini, saya perlu pandai-pandai berbual sendiri dengan menghadap telefon bimbit, sebagaimana yang dilakukan penjual dalam talian,” jelasnya lagi.

Ditanya mengenai saingannya, Najib tertawa seraya berkata: “Tengoklah satu-satu... orang semua dah selesa dan tercuit hati dengan lawak bersahaja mereka secara ‘live’.

“Abang Khai (Khairudin Samsudin). Beliau memang ‘terror’ bab lawak. Orang akan ketawa terbahak-bahak dengan jenaka spontannya.

“Sahfuddin pula dicap sebagai pelawak Singapura. Izyan dah menang kategori ‘Pelakon Terbaik Dalam Watak Komedi’ pada Pesta Perdana 2019.

“Mereka memang bukan calon sebarangan sebab dah ada pengalaman dan pada tahap yang boleh dibanggakan. Saya ni? Terharu dicalonkan bersama mereka tetapi tak tahulah kalau saya ni kelakar!” jelas Najib sambil tergelak.

Buat masa ini, di luar dunia televisyen, Najib sibuk dengan program pementasan puisi bersama Wisma Geylang Serai (WGS) di Joo Chiat Complex, sejajar dengan minatnya dalam bahasa Melayu dan kesusasteraan.

“Sebulan sekali, saya akan mementaskan puisi bersama rakan seni lain yang mengiringi persembahan saya. Ia bukan deklamasi tetapi satu persembahan, sepertimana nilai teater dan lakonan diterapkan.

“Jadual penuh hingga akhir tahun (2025). Saya akan mempersembahkan puisi tulisan saya tentang keadaan yang mengusik jiwa tentang dunia, kemanusiaan, isu politik dan sosial, sebelum membukukannya.

“Kebiasaannya, orang akan bukukan dahulu puisi tulisan mereka. Kemudian, baru diubah menjadi sketsa atau lagu. Saya pula nak biasakan orang dengan puisi tulisan saya sebelum mengusahakan membukukannya.

“Seronok apabila saya temui beberapa wanita peringkat usia ‘mak cik’ yang datang menyaksikan persembahan saya. Jarang ada orang yang ke depan untuk membicarakan puisi dengan penulis.

“Paling tidak, mereka puji cakap puisi itu menyentuh jiwa atau bagus. Tapi saya lihat kesungguhan mak cik-mak cik ini berbincang dengan saya tentang persoalan dan bahasa dalam puisi.

“Selain menarik generasi muda untuk dekat dengan bahasa dan penulisan Melayu, golongan berusia yang suka membaca dan gigih mengamati keindahan bahasa Melayu juga harus disokong minatnya dengan acara sebegini,” jelas Najib.

Nota: Pesta Perdana Glam akan disiarkan di saluran Suria, aplikasi mewatch, saluran YouTube, Mediacorp Entertainment, dan TikTok Mediacorp Untukmu, antara 7 malam dengan 8 malam. Ini disusuli dengan program utama, Pesta Perdana 2025, antara 8.30 malam dengan 11 malam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg