Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buku ‘Sentuhan Emas’ lakar sejarah perjalanan komposer Ahmad Nawab

Oct 23, 2025 | 4:10 PM
Tan Sri Ahmad Nawab, Nasir Khan
Anak kepada Seniman Negara Ketujuh Malaysia, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab, iaitu Nasir Khan, meluahkan rasa syukur kerana dapat menunaikan permintaan terakhir arwah bapanya untuk menerbitkan buku muzik berjudul, ‘Sentuhan Emas Tan Sri Ahmad Nawab’. - Foto BHM

Anak kepada Seniman Negara Ketujuh Malaysia, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab, iaitu Nasir Khan, 63 tahun, meluahkan rasa syukur kerana dapat menunaikan permintaan terakhir arwah bapanya untuk menerbitkan buku muzik berjudul, Sentuhan Emas Tan Sri Ahmad Nawab.

Biarpun teruja apabila impian itu akhirnya menjadi kenyataan, Nasir tidak menafikan turut berasa sebak kerana bapanya tidak sempat melihat hasil karya yang menghimpunkan 300 lagu ciptaannya itu diterbitkan.

“Saya sangat terharu dan pada masa sama sedikit terkilan apabila buku ini siap tanpa beliau sempat melihatnya. 

“Secara fizikal, arwah tidak dapat menatapnya.

“Namun Alhamdulillah, beliau tahu saya sedang berusaha menyiapkannya.

“Memang menjadi impian beliau untuk menghasilkan buku muzik ini dengan niat berkongsi ilmu kepada masyarakat. 

“Secara tidak langsung, mungkin selepas ini beliau akan memiliki ramai ‘anak murid’ baru kerana buku ini mengandungi banyak ilmu yang boleh dimanfaatkan terutama oleh mereka yang berminat dalam bidang muzik,” katanya ditemui pada majlis pelancaran buku berkenaan di Malaysia, pada 21 Oktober.

Majlis pelancaran Sentuhan Emas Tan Sri Ahmad Nawab turut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia, Cik Teo Nie Ching.

Buku muzik itu diterbitkan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi melalui agensi MyCreative Ventures.

Menurut Nasir, penerbitan buku berkenaan bukan sekadar mengabadikan warisan muzik bapanya, malah diharap menjadi bahan rujukan penting kepada generasi muda dalam memahami dan menghargai identiti lagu Melayu.

“Mengikut perjanjian, buku ini akan diagihkan ke institusi pengajian tinggi yang mempunyai jurusan muzik, selain jabatan kerajaan seperti Perpustakaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai bahan rujukan.

“Buku ini diterbitkan dalam dua jilid, masing-masing sebanyak 50 naskhah. 

“Kami juga bercadang untuk menjualnya kepada orang ramai, mungkin dalam bentuk buku digital,” katanya dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).

Setebal 570 halaman, buku itu turut memuatkan nota lagu, kisah di sebalik karya ciptaan Allahyarham serta foto eksklusif sepanjang perjalanan seni legenda muzik tersohor itu.

Allahyarham Ahmad Nawab atau nama sebenarnya, Ahmad Khan Nawab Khan, meninggal dunia pada 24 November 2024, di kediamannya di Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Pemergian maestro muzik itu meninggalkan warisan seni yang tidak ternilai. 

Antara penyanyi hebat yang pernah menjadi anak didik atau menerima sentuhan magis ciptaannya termasuk, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim, Allahyarham Datuk Hail Amir, Uji Rashid dan Ramlah Ram.

Sepanjang lebih enam dekad berkarya, Allahyarham telah menggubah lebih 2,000 lagu sejak era 1950-an, dan menghasilkan lebih 200 album, termasuk untuk artis Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.

Selain itu, Allahyarham pernah berkhidmat bersama Orkestra RTM selama 17 tahun, dan menerima pelbagai pengiktirafan seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi karya, Bintang Malam pada 1980.

Atas sumbangan dan kehebatannya dalam dunia muzik, beliau turut dikurniakan Ijazah Doktor Falsafah Kehormat oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2000, sebelum dinobatkan sebagai Seniman Negara Ketujuh Malaysia oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg