Lagu syahdu nyanyian Allahyarham Adam Ahmad, Kau Pergi Jua, kerap diputar di awal pagi selepas subuh ataupun di ambang azan maghrib berkumandang di corong radio.
Antara bait liriknya yang kekal terpahat di minda sebab terlalu menyayat hati berbunyi, ‘Kau pergi jua... Setelah cintaku kini membara... Belum sempat kucurahkan kasihku... Kau pergi tak kembali’.
Saya pernah membaca di majalah hiburan bahawa lagu yang terkenal pada 1984 ini dicipta berdasarkan pengalaman putus cinta sang penyanyi sendiri dengan bekas kekasihnya, yang kemudian dikahwini beberapa tahun selepas itu.
Bagaimanapun, sepanjang meminati lagu ini, saya tidak pernah tahu atau cuba mengambil tahu siapakah pencipta lagu berkenaan dengan sangkaan ia merupakan lagu hasil karya Adam sendiri.
Maklumlah, Adam juga penggubah lagu hit Datuk Wan Aishah Wan Ariffin, Janji Manismu.
Hanya pada pagi 25 November lalu, barulah saya tahu bahawa pencipta lagu berkenaan ialah Othman Mohamed, yang merupakan abang Adam.
Beliau yang berusia 65 tahun merupakan komposer tersohor Malaysia yang mungkin kurang disebut-sebut namanya, meninggal dunia pada malam 24 November di kediamannya di Shah Alam, Selangor, kerana sesak nafas.
Selain Kau Pergi Jua, Allahyarham Othman juga pencipta lagu-lagu yang saya sebenarnya suka dengar kerana melodi dan liriknya, tanpa mengetahui siapa penciptanya.
Antaranya, Di Hari Persandinganmu (dendangan asal Yunizar Hussein), Episod Cinta (kumpulan Boboy dengan vokalisnya Naqiu) dan Hanya Di Radio (kumpulan Headwind dengan vokalis, Datuk Zainal Abidin).
Walaupun sudah berpuluh tahun lagu ini diterbitkan dan berada di carta lagu, baru sekarang, pada 2024, saya tahu siapa penggubahnya.
Yang menyedihkan, saya baru tahu setelah penciptanya meninggalkan kita buat selama-lamanya.
Apabila saya bertanya kepada teman-teman sebaya yang turut menggemari lagu-lagu ciptaan Othman, mereka juga tidak tahu beliaulah orang penting yang menghasilkan mahakarya yang menjadi santapan halwa telinga.
Begitulah keadaannya sebilangan besar daripada kita yang mengaku mengamati muzik tetapi hanya tahu penyanyi yang menjadikan lagu itu terkenal, tetapi bukan komposer dan penulis lirik di belakang tabir penghasilan kerja seni itu.
Sekali gus, ia membuatkan saya terfikir betapa kebanyakan penggubah lagu pada era antara 1950-an hingga 1980-an tidak atau kurang diketengahkan kepada khalayak ramai kecuali yang mencipta lagu sambil menyanyi, seperti Tan Sri P. Ramlee, Datuk Dr M. Nasir dan Ajai.
Pengiktirafan kepada golongan komposer ini juga jarang-jarang diberi.
Kadangkala, lebih menyedihkan apabila mereka hanya dijulang jasa baktinya ketika sudah tiada lagi.
Saya terpanggil menulis rencana ini berikutan pemergian berturut-turut tiga komposer bertahap ‘maestro’ selain Othman, iaitu Datuk S. Atan dan Tan Sri Dr Ahmad Nawab.
S. Atan, 75 tahun, yang disifatkan ibarat Raja Lagu Hari Raya (kerana banyak mencipta puluhan lagu musiman sempena Lebaran) meninggal dunia pada 16 November menyusuli jangkitan paru-paru.
Ahmad Nawab, 92 tahun, yang sentiasa muncul dengan tiupan saksofon lagu-lagu sedih seperti Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu sambil mengiringi penyanyi yang menjadi anak didiknya pula, dikatakan tiada penyakit kronik tetapi menjadi lemah selepas menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Beliau meninggal dunia pada 24 November.
Satu usaha mengekalkan legasi Ahmad Nawab ialah dengan menerbitkan buku muzik mengenai beliau yang sedang diusahakan anaknya, Nassier Khan, 62 tahun, bersama Kementerian Komunikasi melalui agensi di bawah naungannya, MyCreative Ventures.
Saya juga terbaca laporan mengenai hajat sebuah persatuan seni di Pulau Pinang untuk membina muzium atau galeri khas bagi memperingati jasa maestro muzik itu.
Dalam pada itu, lagu yang S. Atan cipta pula bukan calang-calang dan didendangkan pula oleh mereka yang ternama termasuk dua Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Saya sebenarnya terkesan dengan kesungguhan beliau menghasilkan lagu Raya tanpa henti.
Katanya, sudah sekitar 56 lagu Raya malar segar yang dicipta.
Kebanyakan lagu Raya ini pula dikategorikan dalam koleksi ‘wajib putar’ setiap Aidilfitri seperti Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Datuk Sudirman), Balik Kampung (Sudirman), Menjelang Hari Raya (Datuk DJ Dave), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz), Salam Aidilfitri (Datuk Jamal Abdillah), Hari Mulia (Datuk Sheila Majid) dan banyak lagi.
Beliau turut mencipta lagu raya generasi terkini antaranya Rindu Di Anjung Lebaran (Haiza), Seru Hari Lebaran (duet Syamel dan Ernie Zakri), Rindu Lebaran (E1 Band) dan Nikmat Di Hari Raya (Kelly Azman dan Ismaliza Ismail).
Saya masih ingat lagi sembang santai saya bersama dengannya ketika bertemu di sidang media Gegar Vaganza Musim Keenam (GV6) di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 2019.
“Mengapa Abang Atan nak buat lagu Raya? Orang dengar setahun sekali sahaja,” tanya saya.
Katanya: “Kalau kita tak buat, siapa lagi? Macam mana pun, orang tetap nak dengar lagu Raya dan boleh karaoke bersama.
“Saya memang suka lagu perayaan. Ada emosi sedih dan gembira, suasana kelam-kabut nak balik kampung dan betapa sayunya apabila nak meminta maaf.”
Pada 14 Mei 2022, beliau mencipta sejarah kerana dapat melagukan karyanya di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP), di mana Konsert Cahaya Aidilfitri - A Tribute To S. Atan diadakan.
Sayang sekali, konsert ini tidak dapat direalisasikan di Singapura meskipun saya akur ia masih boleh dilakukan bagi memperingati jasanya dalam mencipta lagu musiman yang mempunyai identiti tersendiri.
Mungkin generasi sekarang tidak merasakan keperluan menjunjung penggubah lagu sebab kebanyakan pemuzik atau anak seni dalam peringkat usia ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU) merupakan komposer dan penyanyi.
Ramai penyanyi ‘nama besar’ dalam kalangan BBNU seperti Aina Abdul, Khai Bahar, Naim Daniel, Fahimi, Haqiem Rusli dan Sissy Iman merupakan pencipta lagu dan penulis lirik juga.
Sungguhpun begitu, perlu ada usaha mengarkib bahan audio dan video wawancara bersama komposer ini atau mengusahakan buku elektronik dan sudut di balai seni bagi tujuan mengenang komposer terkenal, baik yang masih ada ataupun yang sudah meninggal.
Saya hargai usaha wadah penstriman seperti Spotify, meletakkan kredit penggubah lagu dan penulis lirik dalam setiap karya yang dimuatnaikkan.
Mungkin lebih baik kalau ada butiran keterangan mengenai siapa komposer dan penulis lirik itu.
Sekurang-kurangnya, anak muda tidak hanya tahu P. Ramlee tetapi mengenali siapakah pencipta lagu-lagu yang menjadi siulan hingga ke hari ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg