Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan, 33 tahun, sanggup membelanjakan kira-kira 20 juta Rupiah ($1,580) setiap bulan demi menjaga kebajikan 30 ekor kucing jalanan yang dipelihara di kediamannya di Jakarta, Indonesia.
Cakra atau nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman, berkata semua kucing itu diselamatkan dari jalanan, termasuk yang ditemui dalam longkang, di tepi jalan dan ada juga yang mengalami masalah kesihatan seperti buta atau sakit jantung.
“Semua kucing yang saya pelihara sekarang ini saya pungut dari tepi jalan. Ada yang saya jumpa dalam longkang dan di tepi jalan ketika pulang dari lapangan terbang. Saya akan tanya orang sekeliling dulu, kalau tak ada yang punya, saya akan bawa pulang,” katanya ketika ditemui di sidang media konsert ‘Divine Cakra Khan’ di Kuala Lumpur, lapor Harian Metro.
Penyanyi lagu ‘Kekasih Bayangan’ itu berkata walaupun jumlah perbelanjaan setiap bulan agak tinggi, membabitkan rawatan veterinar mingguan, makanan khas serta ubat-ubatan, namun beliau tidak pernah berasa terbeban atau menyesal.
“Saya beli generator oksigen, peralatan Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk kucing. Saya tak rasa rugi sebab saya percaya setiap rezeki yang saya dapat ada bahagian untuk mereka,” katanya.
Menurutnya, sejak tiga tahun lalu, beliau sudah memelihara lebih 30 ekor kucing yang semuanya akan disteril dan menjalani pemeriksaan kesihatan berkala setiap minggu, selain turut mengupah seorang pekerja khas menguruskan keperluan haiwan-haiwan itu.
“Mereka semua saya hantar ke doktor secara rutin. Kucing jalanan itu saya sterilkan supaya mereka lebih sihat dan tidak bergaduh sesama sendiri.
“Kucing saya banyak. Ada yang mati dan ada juga yang hilang. Tapi saya akan pastikan yang dipelihara semuanya sihat. Kalau ada orang nak ambil bela, saya akan pastikan mereka stabil dulu,” katanya.
Walaupun sudah melakukan yang terbaik setakat ini, Cakra berkata beliau menyimpan impian besar untuk membuka pusat perlindungan haiwan sendiri suatu hari nanti, khususnya bagi menyelamatkan lebih banyak kucing kampung.
“Saya selalu berbincang dengan kawan-kawan yang dah ada ‘shelter’. Nak bina pusat perlindungan haiwan ini banyak perkara kena fikir. Keluarga sekitar kena faham, jiran-jiran pun kena terima. Tak semua orang suka haiwan.
“Sebab itu saya fikir kalau buat, lebih baik di kampung. Suasananya lebih tenang dan lebih mudah nak kawal, tapi selagi saya belum ada tempat khas, saya akan terus selamatkan haiwan yang saya jumpa. Sekurang-kurangnya mereka selamat di bawah jagaan saya,” katanya.
Cakra berkata menjaga haiwan bukan saja cerminan empati dan kemanusiaan, tetapi juga terapi menenangkan, malah sebagai pencinta haiwan sejati, dia memilih memelihara kucing tempatan berbanding baka kacukan.
Dalam pada itu, Cakra turut meluahkan rasa teruja dapat menghiburkan sekali lagi peminatnya di Malaysia, menjelang Konsert ‘Divine Cakra Khan’ yang bakal berlangsung pada 2 Ogos ini di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
“Saya sangat gemuruh dan teruja. Saya memang teliti, termasuk dari segi pencahayaan dan konsep pentas, semuanya mesti selari dengan lagu,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg