Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cakra Khan umum rehat demi tumpu karya baru

Aug 4, 2025 | 3:19 PM
Penyanyi asal Indonesia, Cakra Khan, meluahkan rasa syukur kepada peminat Malaysia atas sokongan hebat yang diberikan sepanjang konsert solo di negara itu selama tiga tahun berturut-turut.
Penyanyi asal Indonesia, Cakra Khan, meluahkan rasa syukur kepada peminat Malaysia atas sokongan hebat yang diberikan sepanjang konsert solo di negara itu selama tiga tahun berturut-turut. - Foto INSTAGRAM CAKRA KHAN

Selepas tiga tahun berturut-turut menghibur peminat di Malaysia melalui konsert solo, Cakra Khan, 33 tahun, memilih untuk berehat bagi memberi tumpuan pada penghasilan karya baru.

Cakra membuat pengumuman itu dengan penuh emosi yang turut disusuli linangan air mata.

Beliau yang nama sebenarnya, Cakra Konta Paryaman, berkata demikian ketika menjayakan konsert, Cakra Khan Divine Live, di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Malaysia, pada 2 Ogos.

“Terima kasih atas sokongan hebat yang kalian berikan kepada saya setiap kali membuat persembahan di sini.

“Sebenarnya, selepas ini saya ambil keputusan untuk berehat (daripada konsert). 

“Sudah tiga tahun berturut-turut saya mengadakan konsert di Malaysia,” kata Cakra semasa segmen akhir konsert berkenaan.

Menurut laporan Berita Harian Malaysia (BHM), penyanyi asal Pangandaran, Jawa Barat, Indonesia, itu kemudian menyampaikan lagu, Harus Terpisah, yang disifatkan antara karya memperkenalkan dirinya kepada peminat di Malaysia. 

Cakra juga berulang kali menzahirkan penghargaan kepada peminat di Malaysia kerana menyokong perjalanan seninya selama ini.

Beliau mengakui dirinya sangat beruntung kerana berpeluang membuat persembahan sebanyak tiga kali berturut-turut di lokasi sama, iaitu Dewan Plenari, KLCC.

Sebelum ini, Cakra pernah beraksi dalam konsert, A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur, pada 2023, sebelum meneruskan siri kedua konsert dengan judul sama, pada 2024.

Menerusi persembahan pada 2 Ogos, Cakra menyampaikan sebanyak 26 lagu dengan gubahan muzik baru yang lebih segar dan menghiburkan.

Antara lagu yang dipersembahkan adalah, Mencari Cinta Sejati, Setelah Kau Tiada, Harus Terpisah dan Kepada Hati.

Konsert yang berlangsung lebih dua jam itu bertambah gamat apabila Cakra turut menghiburkan peminat dengan lagu, Bunyi Gitar, nyanyian asal seniman agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Sebagai penutup acara dan ucapan selamat tinggal buat peminat, Cakra menghadiahkan lagu, I Will Always Love You, dendangan Whitney Houston, dengan vokal yang cukup memukau.

Konsert anjuran Shiraz Projects itu turut menampilkan penyanyi jemputan seperti Marsha Milan, Titi DJ, Ade Govinda, Faisal Lubis dan kumpulan Trio XL.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg