Suasana di The Star Theatre, The Star Performing Arts Centre, pada malam 18 Julai sangat meriah, dengan penonton yang hadir ke Cakra Khan Divine Concert, tidak sabar melihat kemunculan penyanyi Indonesia, Cakra Khan, membuat konsert solonya di Singapura.
Sebagai seorang yang mengikuti perjalanan muzik Cakra sejak awal kemunculannya pada 2012, saya berasa teruja diberi peluang untuk mendengar beliau menyanyi secara live buat kali pertama.
Konsert itu bermula dengan persembahan bertenaga lagu popularnya, Setelah Kau Tiada, dan diikuti lagu Kau Memilih Dia yang dilancarkan pada 2015.
Cakra, atau nama sebenarnya, Cakra Konta Paryaman, 33 tahun, kelihatan bersemangat dengan sambutan penonton yang hadir.
Walaupun teater itu tidak penuh, masih terasa suasana gamat daripada sorakan peminat setia beliau termasuk mereka yang sanggup datang dari Indonesia.
Antara yang hadir sebagai penonton ialah penyanyi popular Indonesia, Rossa, Syahrini dan pempengaruh media sosial, Ncess Nabati.
Cakra turut memberikan penghargaan kepada Rossa dan Syahrini kerana menganggap mereka berdua antara sumber kekuatannya ketika beliau patah semangat untuk terus berkarya dalam industri hiburan.
Beliau turut mendedikasikan konsert tersebut buat bapanya, Allahyarham Hermana, yang meninggal dunia pada 2020 akibat angin ahmar.
Menurut Cakra, bapanya merupakan dorongan utamanya menceburi bidang nyanyian dan sentiasa berada di setiap kejayaan atau kegagalannya.
Kekuatan vokal Cakra yang lantang dan serak-serak basah dapat didengar melalui lagu Terlanjur Cinta, Adalah Aku dan lagu runut bunyi filem (OST) Rudy Habibie, Mencari Cinta Sejati, yang dipersembahkan dengan susunan muzik yang berbeza.
Sisi candi dan ceria Cakra terserlah sewaktu berinteraksi dengan penonton yang hadir.
Beliau berkata kepada penonton bahawa ‘tangki minyaknya’ masih penuh apabila ada penonton yang menyuruhnya berhenti sebentar untuk membasahkan tekak memandangkan lagu baladanya memerlukan beliau untuk ‘tarik’ suara.
Cakra turut berkata beliau tidak boleh menolak tawaran untuk makan hidangan sup tulang merah, makanan kegemarannya kini jika berkunjung ke Singapura.
Beliau menyanyikan beberapa lagu daripada album terbarunya, Divine termasuk Salah Tapi Baik, Broken Symphony, Kamu Adalah dan Sehebat Apapun Cinta.
Walaupun pernah mengalami pelbagai dugaan hidup, Cakra berkongsi dengan penonton dirinya percaya pada rezeki dan takdir yang ditentukan Yang Maha Esa.
Lirik lagu yang mudah untuk difahami dalam lagu Sehebat Apapun Cinta menceritakan mengenai rintangan dan pengorbanan Cakra yang dikongsikan kepada pencipta lagu Ahmad Fredy dan Ade Govinda.
Cakra bercerita bahawa lagu Kepada Hati yang turut tersenarai dalam album Divine merupakan lagu pembakar semangatnya yang sering dinyanyikan sebelum beliau keluar rumah untuk berkarya setiap hari.
Sejujurnya, saya tertarik dengan pemuzik yang mengiringi nyanyian Cakra pada malam itu.
Selain alat muzik seperti gitar, bes, piano dan dram yang sering mengiringi band muzik live, terdapat juga biola, selo, trompet dan saksofon pada konsert itu – membantu menghidupkan jiwa dalam lagu-lagu ‘galau’ dan balada Cakra.
Namun pihak penganjur, Shiraz Projects, boleh menimbangkan untuk memaparkan lirik bagi lebih daripada satu lagu yang dinyanyikan pada malam itu.
Ini agar semua penonton, tidak kira peminat tegar atau tidak, boleh ikut bernyanyi bersama tanpa rasa ragu-ragu.
Kehadiran penyanyi Malaysia, Ernie Zakri, dan penggubah lagu Indonesia, Ade Govida, turut memeriahkan lagi suasana konsert.
Terubat rindu saya dapat mendengar Ernie menyanyikan lagu hitnya, Masing Masing, secara langsung kerana saya tidak berkesempatan menyaksikannya konsert solonya di Singapura pada 31 Mei lalu.
Ernie turut berduet dengan Cakra bagi lagu Seluruh Cinta yang merupakan lagu OST bagi filem, Suamiku, Encik Perfect 10! yang dinyanyikan bersama Dauk Seri Siti Nurhaliza pada 2015.
Namun saya tertunggu gabungan menarik Ernie, Cakra dan Ade bagi lagu Hal Hebat yang pernah dinyanyikan Ernie dan Cakra dalam dua versi berbeza.
Sebaliknya, lagu itu dipersembahkan Cakra bersama petikan gitar oleh Ade sahaja.
Saya cukup terpesona mendengar Cakra menyanyikan versinya yang lebih perlahan bagi lagu Kaulah Segalanya, nyanyian asal penyanyi Indonesia era 90-an, Ruth Sahanaya.
Cakra turut mengajak penonton menari bersama dengan dua lagu bahasa Inggeris, Treasure, nyanyian asal penyanyi Amerika Syarikat, Bruno Mars, dan lagu malar segar, September, oleh kumpulan popular era 70-an, Earth, Wind & Fire.
Konsert yang cukup bertenaga dan menghiburkan itu berakhir dengan Cakra menyanyikan dua lagu hitnya, Kekasih Bayangan dan Harus Terpisah.
Saya berasa seperti benar-benar ‘harus terpisah’ dengan Cakra setelah lebih dua jam mendengar nyanyiannya sambil mengenali dirinya dengan lebih dekat pada malam itu.
Saya berharap Cakra akan kembali ke Singapura untuk menghibur peminatnya dalam masa terdekat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg