Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Carmen Soo teruja teroka jiwa, peranan di set berbilang negara 

Pelakon Malaysia anggap kemenangan sebagai motivasi bawa watak lebih mencabar
Jun 2, 2025 | 5:30 AM
Pesta Perdana, Carmen Soo, Pelakon Wanita Terbaik, Operandi Gerhana
Pelakon Malaysia, Carmen Soo, menganggap kemenangan di ‘Pesta Perdana 2025’, sebagai pembakar semangat untuk terus melakukan yang terbaik, dengan keinginan membawa watak lebih mencabar pada masa hadapan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pelakon asal Malaysia, Carmen Soo, berpendapat pelakon dan kru penerbitan drama siri jenayah, Operandi Gerhana, yang baik dan senang untuk bekerjasama merupakan antara faktor utama membantunya menjiwai watak Lily, mama-san (penjaga wanita yang bekerja di bar) dan ketua kumpulan samseng perempuan, Dragonflies. 

“Kami semua menetap di Batam sepanjang waktu penggambaran dan ia membolehkan saya fokus pada watak Lily. 

“Berbeza jikalau saya tamat penggambaran di Kuala Lumpur (KL) dan selepas itu berjumpa dengan teman atau melakukan perkara lain. 

“Semasa di sana, kami bergantung kepada satu sama lain – memberi semangat untuk meneruskan penggambaran hingga awal pagi. Ia satu pengalaman yang menarik dan menyeronokkan,” kongsi Carmen, 47 tahun, semasa diwawancara Berita Harian (BH).

Beliau berjaya memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik – Drama Bersiri bagi drama bertemakan sejarah Singapura itu di Pesta Perdana 2025 yang berlangsung pada 24 Mei di Teater Mediacorp. 

Pelakon kacukan Cina-British itu berjaya menewaskan calon lain termasuk Fauziah Latiff (Mencari Marina), Rosita Hussin (Makan INC), Wahyu Rahman (Krisalis) dan Izyan Mellyna (Raja Bundle)

Ditanya mengenai kemenangan itu, Carmen berkata ia seperti satu pembakar semangat untuk mengharungi apa jua cabaran bagi watak yang diterima pada masa hadapan. 

Walaupun Operandi Gerhana merupakan drama bahasa Melayu pertama beliau di Singapura, Carmen sering berlakon dalam penerbitan Singapura dan juga penerbitan berskala besar yang melibatkan berbilang negara. 

Ini termasuk filem Hollywood, Crazy Rich Asians (2019); filem seram Dead Mine (2012); drama tempatan, The Pupil (2010-2012); Code of Law (2012-2015); dan The Hush (2016).  

“Saya bersyukur sering diberi peluang untuk terlibat dalam projek sebegitu. 

“Sering kali dalam penerbitan yang melibatkan beberapa negara, terdapat budaya kerja yang berbeza dan kami tidak tahu apa yang mereka inginkan.

“Kami perlu cuba untuk memahami satu sama lain. Semua sangat profesional dan selalunya kami berkomunikasi melalui e-mel. 

“Sebagai contoh, Dead Mine, merupakan projek pertama saya dengan Mike Wiluan (juga pengarah Operandi Gerhana). 

“Ia juga filem pertama HBO Asia yang turut melibatkan pelakon dari Australia, Indonesia dan Jepun yang saya masih berhubung hingga kini,” ceritanya. 

Mengenai perkembangan terkini, Carmen berkata dirinya sedang sibuk mempromosikan drama terbarunya, First Wives yang disiarkan di Astro Citra dan turut dibintangi Mimi Lana dan Malek Mccrone. 

Beliau yang memainkan watak Amber berasa gembira terlibat dalam drama komedi jenayah tersebut. 

“Ia merupakan drama pertama oleh Astro Originals yang bertemakan tentang wanita. Saya rasa penonton boleh memahami cabaran yang dilalui oleh wanita-wanita dalam cerita ini. 

“Saya sangat bangga dengan projek ini dan saya harap penonton terus beri sokongan kerana ada banyak kejutan dalam jalan ceritanya,” tambah Carmen. 

Beliau turut bersyukur dapat menjayakan watak, Irene De Costa, dalam drama popular, One Cent Thief, yang baru tamat musim kedua pada Mac. 

“Saya tidak sangka mereka berjaya libatkan saya sekali lagi buat musim kedua. Musim pertama pada 2022 mendapat sambutan amat baik. 

“Kali ini, watak Irene sangat berbeza dan penonton boleh melihat perbezaan emosi disebabkan keadaan yang dilaluinya.

“Terdapat lebih penceritaan watak dalam musim ini. Saya rasa seperti melakonkan watak itu dalam dua dunia berbeza,” kongsi Carmen. 

Carmen juga merupakan antara pelakon berbangsa Cina yang dapat menembusi pasaran Melayu di Malaysia.

Mengulas mengenai pembabitannya dalam naskhah Melayu, Carmen berkata ia terjadi tanpa sengaja dan ia membuka pelbagai peluang selepas itu.

“Mungkin kerana saya ke sekolah kebangsaan (di Malaysia) semasa di bangku sekolah dan belajar bahasa Melayu dan Inggeris.

“Tetapi bahasa Cina saya pula yang kurang baik,” ceritanya sambil tertawa.

Ditanya bagaimana beliau membahagikan masa antara tuntutan tugas dengan peranan sebagai ibu, Carmen bersyukur mempunyai suami yang sangat memahami. 

Beliau yang turut terlibat dengan drama bersiri The Iron Heart di Filipina pada 2023, cuba untuk tidak berada di luar negara buat jangka masa lama dan sentiasa pulang ke Malaysia untuk bersama anaknya, Bea, yang kini berusia tujuh tahun. 

“Sebenarnya, saya cuba untuk tidak ambil kerja di luar negara semasa anak saya masih kecil.

“Suami saya, Benson, sangat membantu dan dia juga seorang bapa yang ‘hands-on’ jadi saya boleh teruskan minat berlakon. 

“Tentu sekali ia memenatkan, tetapi saya bersyukur dengan peluang ini,” kata Carmen.

“Kami semua menetap di Batam sepanjang waktu penggambaran dan ia membolehkan saya fokus pada watak Lily... Semasa di sana, kami bergantung kepada satu sama lain – memberi semangat untuk meneruskan penggambaran hingga awal pagi. Ia satu pengalaman yang menarik dan menyeronokkan.”
Carmen Soo.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg