Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lakonan Atyy Malek masih ‘menyengat’ walau rehat lama demi anak

May 28, 2025 | 5:30 AM
atyy malek, mencari marina, pelakon pembantu wanita terbaik, pesta perdana
Setelah berehat lama dek membesarkan dua anak lelaki, pelakon Atyy Malek, kembali ke dunia lakonan melalui drama ‘Mencari Marina’ terbitan Poetry in Motion, dan menerima Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Pesta Perdana 2025. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Setelah menyandang gelaran ibu, pelakon Atyy Malek, 34 tahun, akui mengimbangi kerjayanya sebagai pelakon dengan tanggungjawab sebagai ibu bukanlah perkara yang mudah untuk digalas. 

Namun begitu, segala pengorbanan terasa berbaloi setiap kali dua anak lelakinya berusia tiga dan empat tahun, berlari menyambut kepulangan Atyy, atau nama sebenarnya, Noorhayati Abdul Malek, selepas selesai penggambaran.

Lebih mengharukan lagi, pengorbanan itu terasa lebih bermakna apabila Atyy berjaya merangkul Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik bagi drama Mencari Marina pada Pesta Perdana 2025, yang diadakan di Teater Mediacorp pada 24 Mei.

Beliau membawa watak Tasha yang diulit dilema mencari ibu kandungnya yang dianggap telah ‘membuangnya’.

Atyy, yang terkenal dengan watak pembantu rumah Tipez dalam drama Aduh...Bibikku! sebelum ini, berjaya menewaskan Olynn Saleh, rakan pelakon yang turut menerima dua pencalonan dalam kategori yang sama.

Atyy juga menewaskan sahabat karibnya, Yuslina Yussof, dan pelakon Serani, Cassandra Spykerman.

Drama ‘psychothriller’ Mencari Marina terbitan Poetry In Motion ini juga menyaksikan beberapa pelakon lain menerima pencalonan, termasuk bintang dari seberang, Fauziah Latiff (Pelakon Wanita Terbaik – Drama Bersiri); Sani Hussin (Pelakon Lelaki Terbaik – Drama Bersiri); Haizad Imran (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Drama Bersiri), dan Adrianna Putri (Bintang Cilik Terbaik).

Menurut Atyy, drama ini merupakan projek kemunculan semulanya selepas berehat panjang untuk tempoh berpantang pasca kelahiran anak lelaki keduanya.

Malah, beliau tidak menyangka akan dipanggil kembali ke dunia lakonan selepas melahirkan dua anak lelaki.

Mencari Marina adalah drama yang saya lakonkan selepas melahirkan anak kedua. 

“Sebaik menamatkan tempoh dua bulan berehat, saya mula sibuk dengan penggambaran bagi drama tersebut.

“Saya tidak sangka lakonan saya masih dapat memberi kesan, walaupun keadaan kehidupan saya kini sudah berubah.

“Anugerah ini juga menjadi pembakar semangat saya untuk terus menggilap bakat lakonan, lebih-lebih lagi untuk peminat yang sentiasa menyokong walaupun saya sempat menyepi dari bidang lakonan selama dua tahun untuk membesarkan anak-anak,” kata Atyy, yang sudah 15 tahun berkecimpung dalam dunia seni, kepada Berita Harian (BH).

Sebagai ibu, Atyy mengakui perlu menyesuaikan jadual harian dan mempelajari skrip pada waktu malam, sebaik sahaja kededua anaknya tidur. 

Berbekalkan semangat wajanya, beliau kekal berusaha untuk menjalankan amanah sebagai ibu dan pelakon, meskipun berat dan melelahkan.

“Saya rasa senang hati apabila pasukan penerbitan memberikan saya jadual penggambaran setiap minggu, untuk memberi tumpuan pada babak yang akan dirakam.

“Ini memudahkan saya untuk merancang jadual saya sendiri, supaya saya dapat mempelajari dan mendalami skrip yang diberikan sekurang-kurangnya dua hari sebelum penggambaran.

“Tidak seperti dulu, di mana saya boleh membaca dan menelaah skrip bila-bila masa sahaja.

“Ini adalah pengorbanan saya. Bagi saya, ia amat penting bagi pelakon untuk memahami isi kandungan skrip.

“Jikalau tidak, ia agak payah untuk melakonkan watak itu dengan sempurna. Ada anak atau tidak, inilah tanggungjawab saya sebagai pelakon. Ibarat ‘nak seribu daya, tak nak seribu dalih’,” ulas Atyy.

Mengulas tentang kerjasamanya dengan pelakon Malaysia berpengalaman, Fauziah Latiff atau panggilan mesranya ‘Kak Gee’, Atyy akur ia adalah pengalaman yang sukar luput dalam ingatan, melihat betapa profesional bintang itu ketika memainkan watak yang berat.

Fauziah memainkan watak sebagai pakar psikologi, Dr Latifah, yang kemudian dipenjara seumur hidup kerana didapati bersalah membunuh suaminya.

“Kak Gee seorang yang sangat lembut apabila berbicara sehingga membuatkan saya fikir, saya terlalu lantang, heboh dan kecoh!

“Saya hanya ada satu babak bersama beliau, tetapi saya cukup rasa ‘kecil’ bila berlakon bersamanya.

“Tangisan beliau dalam babak itu bukan olok-olok. Biarpun beliau bersifat lembut, tetapi dalam babak itu, saya lihat beliau seperti orang lain.

“Ini membuat saya agak terkilan kerana tidak berpeluang untuk memiliki lebih banyak babak bersamanya. Namun, ia tetap merupakan pengalaman yang tidak boleh dijual beli.

“Walaupun Kak Gee sudah lama tidak berlakon, tetapi beliau masih mempunyai aura dan daya tarikan yang sangat kuat, membuat lakonannya benar-benar memikat,” kata Atyy lagi.

Selain berlakon, Atyy juga mula berjinak-jinak dan meneroka dunia penerbitan, yang sempat dicubanya ketika dalam tempoh berehat untuk fokus membesarkan anak-anak.

Walaupun belum berhasrat untuk mendalami sepenuhnya bidang tersebut, Atyy menekankan kepentingan melahirkan generasi pelapis yang akan terus menghasilkan karya menarik dalam persada seni hiburan tempatan.

Anugerah ini juga menjadi pembakar semangat saya untuk terus menggilap bakat lakonan, lebih-lebih lagi untuk peminat yang sentiasa menyokong walaupun saya sempat menyepi dari bidang lakonan selama dua tahun untuk membesarkan anak-anak.
Atyy Malek.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg