Dalam era teknologi, industri muzik menghadapi cabaran baru dengan kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dapat menghasilkan karya lagu menyerupai hasil seniman manusia.
Ini membuat sesetengah penyanyi tidak boleh duduk diam, mengenang nasib para seniman dalam industri muzik pada masa akan datang.
Pada 7 Mac, penyanyi asal Canada, Celine Dion, 56 tahun, telah mengeluarkan amaran mengenai lagu-lagu yang dihasilkan oleh AI melalui satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.
Beliau berkata: “Pihak kami mendapati terdapat muzik yang dihasilkan oleh AI tanpa kebenaran dan kini, ia tersebar secara dalam talian mahupun di beberapa penyedia perkhidmatan digital.
“Ia kononnya mengandungi persembahan muzik saya, nama dan imej saya.
“Saya ingin memaklumkan bahawa rakaman-rakaman berikut adalah palsu.
“Ia tidak mendapat kelulusan dan bukan sebahagian daripada diskografi rasmi saya.”
Walaupun penyanyi bersuara emas itu tidak menyebut rakaman tertentu, penggunaan AI menjadi topik perdebatan yang semakin hangat dibincangkan dalam industri muzik, lapor laman web, CNN.
Pada April 2024, lebih 200 artis termasuk Billie Eilish, Kacey Musgraves, J Balvin, Ja Rule, Jon Bon Jovi, Jonas Brothers, Katy Perry dan Miranda Lambert menandatangani surat terbuka yang mengecam ancaman berkaitan AI dalam industri muzik.
Surat tersebut yang dianjurkan oleh badan tidak mengaut untung, Artist Rights Alliance, menggesa pembangun AI, syarikat teknologi dan perkhidmatan muzik digital agar menghentikan penggunaan AI yang menyalahi hak dan merendahkan nilai karya artis manusia.
Surat itu memberi amaran tentang ancaman AI seperti penggunaan AI tidak bertanggungjawab yang dapat mengurangkan pembayaran royalti artis, peniruan suara dan pemalsuan mendalam atau deepfake.
Deepfake merupakan satu teknik pemalsuan dengan merubah rupa paras seseorang pada gambar atau video menggunakan gambar asli melalui kaedah tindan wajah.
Surat tersebut turut menentang menggunakan karya muzik tanpa izin untuk melatih sistem AI.
Baru-baru ini, Dion kembali ke dunia hiburan selepas berehat akibat, Stiff Person Syndrome (SPS), satu keadaan saraf yang jarang berlaku, menyebabkan kekakuan otot dan kekejangan.
Terdahulu, beliau mengumumkan diagnosisnya pada Disember 2022 dan menjalani terapi fizikal dan vokal selama lima hari dalam seminggu.
Pada Julai 2024, Dion membuat kemunculan semula semasa majlis pembukaan Olimpik Paris, menyanyikan lagu klasik penyanyi Perancis, Edith Piaf, Hymne à l’Amour, di puncak Menara Eiffel.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg