Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usah terus ‘jaja’ kisah duka artis bagi tingkat ‘rating’

Hormati kisah peribadi artis, tampilkan sisi lebih positif dan membangun bagi tatapan peminat
Oct 6, 2025 | 5:30 AM
Anak remaja Allahyarhamha Siti Sarah Raisuddin dan Shuib, Thalita Shuib, menampilkan persembahan penuh bertenaga di pentas, ‘Talk To My Manager’, sekali gus menjadikan kenangan manis bersama arwah ibu sebagai pembakar semangat.
Anak remaja Allahyarhamha Siti Sarah Raisuddin dan Shuib, Thalita Shuib, menampilkan persembahan penuh bertenaga di pentas, ‘Talk To My Manager’, sekali gus menjadikan kenangan manis bersama arwah ibu sebagai pembakar semangat. - Foto INSTAGRAM SHUIB SEPAHTU

Setiap insan di dunia ini tidak terlepas daripada melalui pengalaman pahit yang akhirnya membentuk kematangan diri.

Namun, apabila kisah itu milik seorang artis, segalanya menjadi lebih besar di mata dunia dan sering menjadi perbualan netizen yang ‘seolah-olah benar’ di laman media sosial.

Sebagai pengamat seni dan hiburan, saya turut melihat kecenderungan media atau rancangan televisyen untuk terus ‘menjual’ cerita sedih.

Jika tidak berhati-hati, keadaan ini berpotensi memberi kesan yang merugikan – kerana artis lebih dikenang dan menjadi pusat perhatian atas tragedi berlaku berbanding bakat atau karya seninya.

Begitulah yang saya perhatikan secara peribadi apabila anak kepada penyanyi berjiwa besar, Allahyarhamha Siti Sarah Raisuddin, serta pelawak sekali gus usahawan, Shuib, iaitu Thalita Shuib, 12 tahun, muncul dalam program realiti anjuran Astro, Talk To My Manager.

Memang saya sendiri mudah tersentuh apabila melihat perjalanan hidup Thalita yang dilanda ujian berat setelah pemergian ibunya dek jangkitan wabak Covid-19 pada 2021.

Kehilangan ibu pada usia muda bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila setiap langkahnya di pentas sering dikaitkan dengan legasi ibu yang sukar dilupakan.

Di samping itu, media juga tidak ketinggalan menyorot mikrofon peninggalan Allahyarhamha yang menjadi pembakar semangat Thalita dalam setiap persembahannya.

Dalam satu wawancara, remaja itu pernah berkata:

“Ini adalah mikrofon milik arwah ibu saya. 

“Saya pernah terbaca kalau guna mic mahal, suara akan lebih sedap. 

“Sebenarnya, walaupun menggunakan mic mahal, suara tetap perlu dikawal dengan baik. 

“Bila saya memegang mic ini, saya teringat ibu pernah menggunakannya untuk menyanyi.

“Ibu ada banyak pengalaman dengan mic ini, jadi saya rasa ingin membuatnya bangga.”

Bukan hanya mikrofon, malah Thalita turut memakai kasut tinggi ibunya ketika menampilkan persembahan lagu Karena Ku Sanggup, nyanyian asal bintang Indonesia, Agnes Monica, pada minggu kelima, Talk To My Manager.

Ketidakterbiasaan Thalita memakai kasut tinggi terserlah dalam persembahannya, hingga Shila Amzah, selaku juri jemputan, menasihatinya agar mencuba kasut tinggi semasa latihan bagi membiasakan diri untuk persembahan akan datang.

Bagaimanapun, perkara ini (sangkut pautan dengan Siti Sarah) masih sering dijadikan ‘headline’ atau tajuk berita di media sosial, sekadar untuk meningkatkan tumpuan dalam kalangan peminat dan pencinta hiburan.

Justeru itu, di sinilah timbul kegusaran saya.

Sampai bilakah kenangan ini harus terus diulang-ulang?

Adakah peristiwa pahit itu akan sentiasa menjadi bayangan yang melekat sepanjang perjalanan seorang artis muda yang baru mengorak langkah dalam industri hiburan?

Bagi saya, yang sepatutnya lebih diketengahkan adalah keunikan suara Thalita yang lain daripada arwah ibunya, keberanian remaja itu tampil di khalayak ramai, serta ketekunannya menggilap bakat yang ada.

Walaupun tak dinafikan jiwa penghibur dan nada rendahnya mengingatkan saya pada arwah ibunya – ibarat pepatah, “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi” – Thalita tetap memperlihatkan keunikan dengan nada suaranya yang lembut namun, tetap bertenaga.

Apabila kejayaan arwah ibu dijadikan sumber semangat untuk menempuh perjalanan seni yang mencabar, saya melihatnya sebagai perkara yang baik dan positif.

Namun, jika ia menjadi terlalu membebankan sehingga Thalita sukar mencari ciri khas vokalnya sendiri, sayang seribu kali sayang kerana anak muda ini berhak mencipta kejayaan dengan caranya sendiri.

Saya berpendapat kita, baik media mahupun penonton, perlu belajar memberi ruang kepada artis membina identiti sendiri, serta membuktikan diri mereka mampu menyerlah tanpa perlu sentiasa dibandingkan dengan sesiapa.

Mungkin kerana usia Thalita juga masih muda, maka banyak yang boleh dipertingkatkan sekiranya dia ingin menceburi bidang seni suara secara serius.

Kejadian tatkala bintang Indonesia, Bunga Citra Lestari, meraung dek tak tertahan sebak dan luka yang masih berdarah setelah pemergian suami pertama, Allahyarham Ashraf Sinclair, pada 2020, dalam satu sesi ‘live’ pertandingan nyanyian realiti, Indonesian Idol X (Musim 10) – masih terus berputar dalam fikiran saya.

Ketika itu, Judika, yang bertindak sebagai juri Indonesian Idol, membawakan lagu, Tak Mungkin Bersama, yang mengisahkan tentang kehilangan insan yang bermakna dalam hidup.

Nyanyiannya yang penuh jiwa membuatkan Bunga akhirnya menitiskan air mata, sebelum dipeluk rakan artis di sekelilingnya, bagi menenangkan diri.

Dalam satu wawancara terdahulu, Judika mengungkapkan beliau tiada niat membuat sahabatnya bersedih dengan sengaja, gara-gara mendengar lantunan lagu yang menyayat hati itu.

Malah, beliau menambah telah meminta izin pada Bunga sebelum menyanyikan lagu tersebut.

Namun begitu, sepanjang persembahan Judika, kamera tanpa segan mengarah kepada Bunga dan merakam wajahnya yang sudah dibasahi tangisan – dan detik itu turut menjadi tular di laman media sosial.

Pada masa sama, ramai netizen turut mengecam tindakan pihak penerbitan, Indonesian Idol X, dan menganggap mereka kurang sensitif serta terlalu mudah menjadikan duka Bunga sebagai ‘jualan rating’ (strategi curi perhatian penonton) program.

Malah, ada juga yang berpendapat pemilihan lagu baru Judika ketika itu, sengaja diatur untuk mengundang tangisan rakan artisnya.

Pendek kata, menjaja kisah duka selebriti demi menaikkan ‘rating’ bukanlah satu jalan yang wajar.

Harapan saya, pasukan kreatif serta media hiburan akan lebih memberi tumpuan kepada hal yang membawa kebaikan serta inspirasi, daripada sekadar memanfaatkan kesedihan artis demi tontonan ramai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg