Kumpulan popular Britain, Coldplay akan mencipta sejarah dengan beraksi dalam konsert selama empat malam pada Januari 2024 di Singapura.
Bagi peminat Coldplay yang terlepas mendapatkan tiket konsert mereka di Australia, Malaysia dan Jakarta tahun ini, anda mempunyai peluang sekali lagi untuk merebut dan mendapatkan tiketnya.
Konsert tersebut akan diadakan di Stadium Negara pada 23, 24, 26 dan 27 Januari 2024, menurut penganjur konsert, Live Nation.
Tiket-tiket bermula dengan harga $68 dan penjualan awal akan diadakan pada 19 Jun sementara 20 Jun pula untuk jualan umum melalui Ticketmaster.
Coldplay juga akan mengeluarkan bilangan tiket terhad yang lebih murah, digelar ‘Infinity Ticket’, berharga sekitar AS$20 ($27) setiap satu, pada tarikh kemudian. Tiket itu dijual secara berpasangan sahaja dan setiap pembeli boleh membeli hanya maksimum dua tiket.
Kali terakhir kumpulan itu membuat persembahan di Singapura adalah pada 2017.
Mereka beraksi pada dua malam di Stadium Negara di mana lebih 100,000 tiket untuk kedua-dua malam konsert habis dijual tidak lama selepas jualan bermula.
Konsert di Singapura yang akan datang itu adalah sebahagian daripada pusingan kedua jelajah Asia kumpulan tersebut. Ia termasuk konsert di Manila pada 19 Januari dan Bangkok pada 3 Februari.
Tiket ke konsert sulung Coldplay di Kuala Lumpur dan Jakarta pada November 2023 habis dijual sejurus sahaja ia mula dijual pada Mei lalu.
Coldplay yang terdiri daripada vokalis dan pemain piano, Chris Martin; pemain gitar, Jonny Buckland; pemain bas, Guy Berryman; dan pemain dram, Will Champion adalah antara kumpulan paling berjaya di dunia.
Dikenali dengan lagu berunsur pop rok seperti Hymn For The Weekend (2015), Paradise (2011) dan Yellow (2000), senarai panjang pengiktirafan yang diberikan kepada kumpulan itu termasuk tujuh Anugerah Grammy dan sembilan Anugerah Brit.
Untuk maklumat lanjut mengenai konsert dan tiket Coldplay, layari laman www.livenation.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg