Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dahagakan lebih lagu mengenai erti pengorbanan, perjuangan sempena Aidiladha

Jun 7, 2025 | 5:30 AM
Mohd Khair Mohd Yasin, lagu hari raya haji
Lebih sedekad lalu, penyanyi, penggubah lagu dan sasterawan, Mohd Khair Mohd Yasin, berkongsi rasa nikmat dan keindahan menghadap Kaabah di tanah suci Makkah dalam lagu ‘Hari Raya Di Depan Kaabah’. - Foto fail

Sayup-sayup kedengaran dari laman YouTube suara pelakon dan pelawak veteran Singapura, Khalid Baboo, mendendangkan lagu sempena Hari Raya Haji, Di Depan Kaabah.

Antara bait liriknya yang membuatkan saya teringatkan beberapa teman yang kini mengerjakan haji di tanah suci dengan nikmat dan cabaran tersendiri ialah: “Wahai Maha Kuasa, tak ternilai nikmat-Mu. Hampir kami tak sanggup, menerjah lautan umat manusia.”

Sambil mendengar lagu ini yang mungkin sudah berusia lebih 40 tahun, saya terfikir mengapa tidak banyak lagu Hari Raya Aidiladha yang dicipta komposer di Nusantara ini, berbanding lautan lagu Hari Raya Aidilfitri, yang terlampau banyak sampai tak terkira bilangannya?

Setiap kali bertemu dengan penyanyi muda, yang juga mencipta lagu mereka sendiri dan datang dari seberang, mereka akan berkongsi keinginan bikin lagu Raya setiap tahun.

Tapi apabila ditanya lagu untuk Aidilfitri atau Aidiladha, jawapan kesemuanya: “Mestilah Aidilfitri, kak. Masa tu orang berebut-rebut nak dengar dan nak ‘viral’-kan lagu Raya di TikTok.

“Kalau Aidiladha ni, macam lebih sedih. Kita bual tentang pengorbanan dan kita cakap tentang ibadah haji dan korban. Serius pula jadinya.”

Bagi saya, sayang kalau tak dimanfaatkan tempoh sambutan Hari Raya Haji ini untuk mencipta lagu dengan nilai-nilai murni, sesuai dengan suasana atau ‘mood’ yang kita cuba terapkan dalam meraikan Aidiladha.

Sekurang-kurangnya, kita boleh jadikan muzik sebagai wadah menyampaikan keterangan, khususnya bagi generasi muda tentang ibadah haji dan korban.

Orang nak tahu bagaimana haji dikerjakan tahap demi tahap, suasana di depan Kaabah dan apakah yang timbul dalam hati penuh keinsafan anggota jemaah haji yang menjadi ‘tetamu Allah’.

Seperti dalam telefilem Hari Raya Haji yang menceritakan pelbagai plot penuh ulitan emosi – dari gembira, sedih, pahit menelan kesan kejadian silam, insaf atau mula terbuka hati memaafkan seseorang yang menggores hati, lagu khusus untuk sambutan Aidiladha juga memiliki peranan serupa sebagai peringatan dan nasihat pendengar.

Pastinya ada lagu Raya untuk sambutan selepas sebulan berpuasa masih boleh dan bersesuaian diputar sewaktu Aidiladha.

Tapi suasananya tentunya berlainan dan lebih baik kalau unsur sambutan Aidiladha, meliputi pengalaman mengerjakan haji atau menjalankan korban ini dapat menjadi intipati lagu yang dihasilkan dan kelak didengar menerusi wadah digital.

Pergi Haji, Panggilan Haji, Panggilan Kaabah, Haji Menuju Allah dan Di Padang Arafah adalah antara lagu yang khususnya dicipta untuk Hari Raya Aidiladha dan sebagai renungan tentang jerih payah yang perlu dilalui anggota jemaah haji di Makkah dan Madinah.

Qurban, Bismillah Cinta, Takkan Berpaling Dari-Mu dan Kebesaran-Mu pula adalah lagu-lagu Indonesia yang disenaraikan di YouTube sebagai ‘wajib putar’ sewaktu sambutan Hari Raya Aidiladha.

Saya puji semangat karyawan muzik di Indonesia yang memandang penting lagu-lagu kerohanian, dengan bintang ‘papan atas’ mereka seperti Ungu, Rossa, Afgan dan ST12 tetap menitikberatkan usaha menjana lagu yang boleh dimainkan dalam sambutan Hari Raya Haji.

Lebih sedekad lalu, penyanyi, penggubah lagu dan sasterawan, Mohd Khair Mohd Yasin, berkongsi rasa nikmat dan keindahan menghadap Kaabah di tanah suci Makkah dalam lagu Hari Raya Di Depan Kaabah.

Beliau bergabung dengan anaknya, Bakti Mohd Khair, untuk lagu tersebut yang kemudian dimuatkan dalam album berjudul Bingkisan Di Lebaran yang diterbitkan pada 8 Julai 2012.

Lagu itu juga dinyanyikan Bakti dalam program Hari Raya Aidiladha, Rayakustika, di Mediacorp Suria.

“Semasa menulis lagu pada waktu itu, saya fikir belum ada lagu tentang keinginan beraya di Masjidil Haram.

“Justeru, lagu itu ditulis dengan rasa nikmat, keindahan dan keinginan mendekatkan diri pada Allah swt bagi memberi perangsang pada diri,” jelas Khair tentang pengalaman menunaikan haji pada 2001 seorang diri dan bersama isterinya pada 2005, dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH), yang disiarkan di BH pada 10 September 2016.

Beberapa jam sebelum takbir bergema di corong radio pada malam Aidiladha (6 Jun), saya terima pula ucapan “Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha” daripada penyanyi berbakat besar, Rudy Djoe.

Bersama ucapan itu adalah klip video berjudul Irama Aidiladha yang mengandungi dendangan dua lagu ‘cover’, Impian Seorang Nelayan (dendangan asal kumpulan Kembara) dan Berkorban Apa Saja (P. Ramlee).

Sekali pandang, macam lagu biasa yang boleh diputar bila-bila masa sahaja. Tapi hayatilah liriknya. Ia kisah pengorbanan, perjuangan dan kehidupan yang tidak mengenal erti penat lelah – semangat yang perlu ada dalam kita menghayati erti mendalam sambutan Hari Raya Aidiladha.

Dalam kita bergembira menyambut Hari Raya Haji, rasa insaf dan mengenang keperitan dunia di luar sana juga wajib menyelimuti hati agar kita tidak mudah lupa akan nikmat yang harus kita syukuri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg