Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dari puisi ke lagu, Kamaria Buang sampaikan nilai keinsafan

May 20, 2025 | 5:30 AM
kamaria buang
Penulis dan penyair, Kamaria Buang, menggabungkan unsur puisi dan nyanyian, dalam lagu, ‘Segala-Nya Dari-Nya’, bagi menyampaikan pesanan dengan lebih menyentuh. - Foto fail

Keinsafan dan kerohanian sering menjadi ruang bertafakur, membawa manusia kembali kepada Penciptanya dan menghidupkan semula jiwa yang hanyut dalam kelalaian.

Begitulah pesanan yang ingin disampaikan oleh Kamaria Buang, penulis dan penyair berpengaruh dengan lebih 500 karya puisi, melalui lagu puisi bertajuk, Segala-Nya Dari-Nya, yang diterbitkan pada 27 Februari.

Lagu puisi ini turut disampaikan oleh penyanyi tempatan dan mantan anggota kumpulan 2D, Rifaah Ridzuwanulhakim, yang menambahkan dimensi ungkapan perasaan mendalam pada karya tersebut.

Sememangnya, Kamaria, 67 tahun, tidak asing dengan karya bertemakan ketuhanan. 

Sebelum ini, beliau telah menghasilkan puisi seperti Kucari Ramadan, Segelintir Harapan Di Muharram Ini dan Doa di Arafah, yang menumpukan kepada pencarian keredaan Ilahi. 

Karya beliau juga telah diiktiraf dengan anugerah seperti Anak Tetangga Kelantan Lane (2009) dan Sandalku Milikmu (2015), yang memenangi Anugerah Persuratan oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).

Dalam karya Segala-Nya Dari-Nya yang diciptakan pada 2012, Kamaria menggabungkan unsur puisi dan nyanyian, di mana beberapa bahagian puisi dibacakan sementara korus dinyanyikan untuk membawa mesej yang lebih mendalam. 

Beliau turut mengulas bahawa lagu ini menggambarkan keadaan seorang hamba yang sedang memohon keampunan, menyesali dosa lalu, sambil menyerahkan dirinya sepenuhnya kepada Ilahi.

“Saya rasa pendekatan ini mampu menyentuh jiwa pendengar, terutamanya apabila lagu ini dilaungkan di corong radio pada waktu-waktu tertentu seperti sebelum azan atau waktu subuh. 

“Ini membuka peluang bagi pendengar untuk benar-benar menghayati mesej yang ingin disampaikan lagu ini,” kata Kamaria kepada Berita Harian (BH) melalui Zoom.

Bekerjasama dengan Rifaah, 43 tahun, yang berpengalaman dalam dunia penghasilan muzik dan seni Melayu, Kamaria turut memujinya yang berhasil menyampaikan emosi yang menggetarkan jiwa dengan baik dan halus. 

“Suara lelaki membawa nada yang lebih merintih dan sesuai dengan tema lagu ini. 

“Sebagai pemimpin, apabila dia mula bercakap, dia akan bercakap isi hati dengan sesungguhnya. 

“Dalam hal ini, Rifaah berjaya menyampaikan apa yang saya ingin tonjolkan dalam karya ini,” tambahnya lagi.

Bagi Rifaah pula, lagu ini membawanya ke satu pengalaman baru meskipun beliau bukan asing dengan karya bertemakan ketuhanan. 

“Apabila saya mendengar lirik dan demo lagu puisi yang ditulis Cik Kamaria, saya rasa ia kena dengan diri saya.

“Semasa proses rakaman, saya ada membuat persiapan. Namun, pada saat saya merakamkan lagu ini, ada beberapa perkataan yang menyentuh hati saya.

“Jadi, apabila pendengar mendengarkan lagu ini, saya berharap mereka juga dapat merasakan apa yang saya rasa,” kata Rifaah.

Rifaah juga berkongsi pandangannya tentang penghasilan lagu ketuhanan, yang baginya masih relevan jika disusun dengan elemen muzik dan lirik yang sesuai dan bertepatan dengan selera masyarakat.

Beliau memberi contoh penyanyi seperti Opick, Raihan, Maher Zain dan penyanyi tempatan, Reyza Hamizan, yang membawa mesej serupa tetapi dengan pendekatan muzik berbeza.

“Dari aspek susunan lagu, melodi, dan instrumental, ia sebenarnya lebih kepada selera halwa telinga pendengar.

“Sebagai contoh, penyanyi seperti Opick dan Raihan membawa tema yang sama tetapi dengan genre yang berbeza.

“Opick lebih cenderung kepada irama dan nada yang melankolik, manakala Raihan pula lebih menumpukan pada nyanyian nasyid, yang berunsur qasidah.

“Sementara, penyanyi lagu kerohanian dari Sweden, Maher Zain dan penyanyi tempatan seperti, Reyza Hamizan pula menyampaikan tema serupa dengan sentuhan muzik yang lebih moden.

“Oleh itu, saya percaya tema ketuhanan bukanlah isu, tetapi cara ia dipasarkan adalah kunci utama,” katanya yang sedang menyiapkan album ‘cover’ lagu-lagu klasik seperti Tunggu Sekejap, Gurindam Jiwa dan Mengapa Rindu, yang disuntik nafas baru serta bertujuan memperkenalkan generasi muda kepada keindahan karya seni lama.

Lagu puisi, Segala-Nya Dari-Nya, boleh didengarkan di laman YouTube.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg