Topik diikuti
Pergi ke BHkuDatuk Vida anggap nasib pelakon Azar Azmi serupa kerana salah pilih pasangan
Datuk Vida anggap nasib pelakon Azar Azmi serupa kerana salah pilih pasangan
Datuk Vida anggap nasib pelakon Azar Azmi serupa kerana salah pilih pasangan
Usahawan kosmetik Malaysia, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida, 55 tahun, menyifatkan kisah duka yang dilalui pelakon Azar Azmi, 37 tahun, mempunyai persamaan dengan pengalaman hidupnya yang pernah tersilap memilih pasangan.
Bagaimanapun, Vida melihat setiap kesilapan itu sebagai titik perubahan yang membawa hikmah besar dalam kehidupannya.
“Melihat kesedihan Azar, dia juga seperti saya, pernah tersalah memilih pasangan dan tidak berfikir panjang.
“Tetapi saya reda, dan akhirnya yang manisnya adalah anak saya, Cik B, menjadi anak yang hebat.
“Jadi perkara yang ‘salah’ itu kita letak tepi, kemudian kita bangkit semula. Begitu juga dalam kes Azar ini,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) pada program Talk To My Manager 2 (TTMM2) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada 19 April.
Ditanya mengenai perkembangan Azar, Vida berkata beliau tetap positif dan optimis selepas meluangkan masa beberapa hari bersama pelakon itu.
“Saya lihat bakat dia dalam berniaga memang bagus. Jadi saya bantu dia dengan memberikan telefon untuk memulakan langkah baharu.
“Dia perlu aktif buat siaran langsung dan hasilkan kandungan supaya dapat pengikut. Kalau jadi pelakon pun, tidak terus dapat bayaran, jadi berniaga dulu.
“Semoga rezeki dia dipermudahkan,” katanya.
Mengulas mengenai personaliti pelakon itu, Vida menyifatkannya sebagai individu yang mudah percaya orang dan sentiasa berprasangka baik.
“Saya lihat dia seorang yang lurus bendul dan terlalu baik dengan semua orang. Dia mudah ikut kata orang.
“Sampai satu tahap saya tanya kenapa pilih untuk berkahwin dengan duda anak tujuh. Dia jawab, mungkin itu sudah ditakdirkan. Dia memang reda dengan ketentuan hidup,” katanya.
Vida turut mengakui kagum dengan ketabahan Azar yang pernah melalui kehidupan sukar termasuk membesarkan anak dalam keadaan serba kekurangan.
“Dia pernah cerita tinggal di surau bersama anak-anak dan berniaga nasi lemak untuk cari rezeki.
“Saya sendiri kagum dengan kekuatannya. Dalam keadaan susah, dia tetap berusaha,” tambah Vida.
Terdahulu, Azar yang dikenali menerusi drama Nur dan Tiada Arah Jodoh Kita telah direman pada Mac lalu bersama suaminya, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41 tahun, bagi membantu siasatan terhadap satu penipuan pelaburan melibatkan jualan lembu.
