Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Debaran ‘superfan’ sokong bintang

Peminat tak akan ‘Mendua’, ingin pengaruh seni trio dari Indo terus ‘mendunia’
Jan 18, 2026 | 5:30 AM
Peminat Mendua yang menggelar diri mereka ‘Mendua Mendunia’ memperkukuh ukhuwah dengan mengadakan acara kenal suai di The Port Karaoke, IOI Mall Puchong, Selangor, Malaysia. Berikut foto kenangan bersama ‘orang( kuat’ Mendua Mendunia dan anggota Mendua (dari kiri) Encik Mohd Khairil Izham Mahizan, Hendra Purnanto (Pungky), Diana Puspitasari, Cik Julia Inne Azrina Mohammad, Marisha Friska Halauwet (Sasha), Cik Noor Sherliza Ibrahim, Cik Tasneem Abdul Rashid dan pengurus Mendua, Aszuad.
Peminat Mendua yang menggelar diri mereka ‘Mendua Mendunia’ memperkukuh ukhuwah dengan mengadakan acara kenal suai di The Port Karaoke, IOI Mall Puchong, Selangor, Malaysia. Berikut foto kenangan bersama ‘orang( kuat’ Mendua Mendunia dan anggota Mendua (dari kiri) Encik Mohd Khairil Izham Mahizan, Hendra Purnanto (Pungky), Diana Puspitasari, Cik Julia Inne Azrina Mohammad, Marisha Friska Halauwet (Sasha), Cik Noor Sherliza Ibrahim, Cik Tasneem Abdul Rashid dan pengurus Mendua, Aszuad. - Foto ihsan JULIA INNE AZRINA

 Apabila Gegar Vaganza 12 (GV12) semakin menghampiri garis penamat, sekali gus menjawab teka-teki juara bagi musim kali ini, ‘superfan’ bagi peserta Singapura, Iskandar Ismail, dan peserta Indonesia iaitu kumpulan vokal, Mendua, semakin memperkukuh semangat sokongan mereka. Ikuti wawancara Berita Minggu (BM) bersama mereka.

Di ambang pusingan akhir program kegemaran ramai anjuran Astro, Gegar Vaganza 12 (GV12), debaran peminat setia kumpulan vokal Indonesia, Mendua, yang terdiri daripada Hendra Purnanto (Pungky), Marisha Friska Halauwet (Sasha) dan Diana Puspitasari, kian terasa.

Salah satu bentuk sokongan yang dipaparkan peminat kepada kumpulan kesayangan mereka itu termasuk mereka baju seragam berwarna merah jambu, yang dipakai setiap minggu ketika berada di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), setiap Ahad.

Demikian yang dikongsi salah seorang peminat sekali gus pentadbir Kelab Peminat Mendua Mendunia, Cik Julia Inne Azrina Mohammad, 47 tahun, yang berasal dari Kuala Lumpur, Malaysia.

“Untuk menunjukkan semangat peminat Mendua, saya bersama pengurus Kelab Peminat Mendua Mendunia lain bekerjasama menghasilkan kemeja-T khas.

“Kemeja-T ini juga direka khas oleh teman saya sendiri,” kata Cik Julia, yang berperanan menjaga hal kewangan dalam kelab peminat tersebut.

Sementara itu, suaminya, Encik Mohd Khairil Izham Mahizan, 41 tahun, yang bekerja sebagai pemandu e-hailing (menempah kenderaan secara dalam talian), turut membantu dari segi logistik seperti membawa dan memasang sepanduk serta props lain sebagai tanda sokongan peminat.

Sebagai tanda dagang sokongan mereka, peminat Mendua juga tidak pernah gagal melaungkan cogan kata, ‘Mendua, Mendua, Mendunia!’ setiap kali menyaksikan persembahan kumpulan itu di MBSA.

Selain Cik Julia dan suaminya, Encik Khairil, Kelab Peminat Mendua Mendunia itu turut diuruskan oleh dua pentadbir lain termasuk Cik Tasneem Abdul Rashid, 36 tahun, dan Cik Noor Sherliza Ibrahim, 47 tahun.

Ditanya lanjut mengenai perkembangan anggota Mendua sebelum penyertaan di GV12, Cik Julia menceritakan Pungky, merupakan vokalis tambahan bagi kumpulan vokal Indonesia, Kahitna, sekali gus menggantikan vokalis utama, mendiang Carlo Saba.

Kahitna merupakan kumpulan vokal yang diasaskan oleh komposer ternama Indonesia, Yovie Widianto, sejak 1986.

Carlo Saba meninggal dunia pada 2023 kerana serangan jantung.

Sementara itu, anggota lain Mendua iaitu, Sasha, merupakan seorang doktor bedah umum.

Diana pula seorang ibu tiga anak, suri rumah dan usahawan.

Sebelum ini, Cik Julia turut membantu menguruskan Kelab Peminat The Limaniacs, yang menyokong kumpulan ‘boyband’ Indonesia, The Lima, sewaktu bertanding dalam GV11.

Kededua kumpulan Mendua dan The Lima bernaung di bawah syarikat pengurusan yang sama iaitu Cloudwerks Entertainment.

Pada 2 Januari lalu, Kelab Peminat Mendua Mendunia turut mengadakan sesi kenal suai di The Port Karaoke, IOI Mall Puchong, Selangor, Malaysia.

Ia dihadiri sekitar lebih 30 peminat Mendua.

Bahkan, ketika dua anggota Mendua kehilangan ibu (Pungky) pada Minggu Ketiga dan bapa (Diana) pada Minggu Kelima, peminat mengadakan bacaan tahlil sebagai bentuk sokongan moral.

Menyentuh cabaran mengendalikan kelab peminat, Cik Julia mengakui beliau perlu sentiasa berwaspada dan peka terhadap keadaan kewangan peminat lain serta keikhlasan sebenar mereka.

“Setiap kali kami merancang sesuatu acara, kami perlu peka terhadap keadaan kewangan peminat lain.

“Misalnya, kami elakkan mengadakan acara di pertengahan bulan.

“Selain itu, kami juga perlu berwaspada kerana ada kalanya terdapat ‘pemburu tiket’ GV12 yang menyamar sebagai peminat.

“Untuk memberi keadilan kepada peminat sebenar, kami utamakan mereka yang benar-benar meminati Mendua.

“Kami juga berhubung dengan kelab peminat lain bagi memastikan tiada pemburu tiket atau individu yang berniat menyusup masuk ke kelab kami demi kepentingan peribadi,” jelas Cik Julia.

Pada masa sama, bagi Cik Sherliza, yang mengikuti program Gegar Vaganza sejak Musim Kedua, beliau akur tarikan utama yang membuatkan dirinya sentiasa menyokong program itu adalah kerana ia memberi peluang kepada artis-artis lama yang sudah lama tidak aktif menyanyi untuk kembali ke pentas, sambil membuka ruang kepada peminat bertemu dan menyokong artis pujaan mereka yang sukar ditemui itu.

Sepanjang menguruskan kelab peminat, Cik Sherliza menghargai hubungan ukhuwah sesama peminat, yang dianggapnya ibarat keluarga besar.

“Sepanjang menguruskan kelab peminat, saya paling menghargai hubungan sesama peminat yang ibarat keluarga besar.

“Antara kelab yang saya kendalikan dan masih aktif ialah AFC iaitu ‘Ameng Fan Club’ (kelab peminat bagi vokalis Spring, Ameng) sejak GV3, dan ‘Haizatroopers’, kelab peminat bagi Haiza sejak GV2,” ujarnya.

Menyentuh harapannya bagi kumpulan Mendua pula, beliau berharap Mendua akan terus kekal aktif dengan lagu baru, sekali gus menepis tanggapan ia hanya kumpulan ‘one hit wonder’ (cuma dikenali kerana satu lagu hit sahaja).

Ini memandangkan sebelum ini, Mendua terkenal cuma untuk satu lagu sahaja berjudul Hampir Ke Situ.

Ia juga merupakan lagu runut bunyi rasmi (OST) filem Duyung (2008).

“Saya berharap dapat terus menyokong Mendua di masa hadapan.

“Sayang seribu kali sayang bakat Mendua yang hebat ini patut terus diketengahkan, walaupun mereka sudah mempunyai kerjaya masing-masing,” ujar Cik Sherliza.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg