Melihat pada keharmonian dan keserasian mereka bertiga di pentas Gegar Vaganza 12 (GV12) pada 2 November lalu, ramai yang menyangkakan trio dari Indonesia, Mendua, masih terus aktif menyanyi bersama di Indonesia.
Mereka bahkan menduduki tangga pertama konsert minggu pertama GV12 dengan markah 69.5 peratus.
Pujian diberi Ketua Juri, Datuk Ramli MS, mengenai dinamisme suara mereka dan kehadiran pentas yang mengagumkan.
“Saya jangkakan kumpulan ini akan lama dalam pertandingan. Walau sudah lama tidak menyanyi, tapi keseniannya masih ada.
“Mereka pandai membahagikan bahagian dalam lagu sampai kita rasakan semua anggota ada kerja dan peranan penting.
“Tiada vokal yang mengatasi irama lagu. Jadi kekalkan keadaan ini secara konsisten setiap minggu,” ujar Ramli, yang mesra dengan panggilan Tok Ram.
Dalam pada itu, terkejut dibuatnya apabila Mendua memberitahu media seberang selepas tamat pusingan pertama di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) keadaan sebenar selepas lama tidak muncul susulan bergelar Naib Juara peraduan realiti TV3, Gang Starz, pada 2007.
Rupa-rupanya, Mendua yang dianggotai Hendra Purnanto (Pungky), Marisha Friska Halauwet (Sasha) dan Diana Puspitasari (Diana), sudah 18 tahun tidak bertemu setelah menghasilkan lagu yang menjadikan mereka sebagai kumpulan ‘one hit wonder’ (hanya terkenal dengan satu lagu), Hampir Ke Situ.
Lagu itu dijadikan runut bunyi rasmi (OST) filem Malaysia, Duyung, yang dibintangi Saiful Apek dan Maya Karin.
Kata Pungky: “Sejujurnya, sebelum GV12, kami langsung tidak pernah bertemu atau berhubung, apatah pula menyanyi sama.
“Kalau berhubung pun, setakat mengucapkan “Selamat Ulang Tahun” di Instagram. Itu pun setahun sekali. Sebab masing-masing sibuk dengan kerjaya dan kehidupan masing-masing.
“Sasha merupakan doktor pakar bedah. Diana ialah usahawan, manakala saya masih dalam bidang muzik.
“Walaupun begitu, kami tetap mempunyai prinsip dan tetap sahabat baik.”
Menurut Pungky, mereka menyertai GV12 atas usulan rakan baik mereka dalam pertandingan Gang Starz, kumpulan The Lima, juga dari Indonesia.
The Lima yang merupakan juara Gang Starz merupakan finalis GV11.
Menurut Pungky lagi, apa yang menarik meskipun sudah 18 tahun tidak bertemu Sasha dan Diana, mereka yang semuanya dalam peringkat usia 30-an dan 40-an tahun, mampu akrab seperti dahulu di pentas, bahkan sekejap-sekejap, ketawa, mengenang kisah lalu.
“Tetap ada kejanggalan sedikit sebab sudah lama tidak ketemu tetapi kami bertekad ingin bekerjasama dan menikmati setiap detik menyanyi bersama. Impiannya ingin jadi juara GV12, ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg