Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siapa bakal jadi juara GV12?

Ramalan awal penulis BM: Iskandar Ismail, Nubhan dan Mendua mampu muncul sebagai 3 peserta terbaik peringkat akhir program realiti kegemaran ramai
Jan 11, 2026 | 5:30 AM
gegar vaganza 12, iskandar ismail, nubhan, mendua, shae, mel sakura, ruri repvblik
Persaingan ‘Gegar Vaganza 12’ (GV12) semakin sengit menjelang pentas akhir, dengan Iskandar Ismail (Eiss), Nubhan dan trio Mendua muncul sebagai antara peserta pilihan, menurut penulis, berdasarkan prestasi konsisten, kekuatan vokal serta kehadiran pentas yang mencuri perhatian juri dan penonton. - Foto ASTRO

Bahang Gegar Vaganza 12 (GV12) kini semakin memuncak apabila rancangan realiti kegemaran ramai di saluran Astro itu semakin menghampiri garis penamat, sekali gus menyingkap teka-teki siapakah yang bakal dinobatkan sebagai juara musim ini.

Pastinya kalau ditanya penonton Kota Singa, ramai yang menaruh harapan besar bagi juara SG Mania (Musim Pertama) pada 2014, Iskandar Ismail, atau lebih mesra disapa Eiss.

Dapatkah Eiss mengecapi misi menjulang satu lagi gelaran iaitu juara GV12?

Jika diimbau kembali prestasi Iskandar saban minggu, beliau agak konsisten mendapat tempat pertama, kedua ataupun ketiga.

Selain persembahannya menerusi lagu Kelentang Kelentong (Minggu Kelima) yang berjaya mencuri perhatian ramai serta menerima pujian juri tetap Hetty Koes Endang – yang menyifatkan Eiss layak mara ke pusingan akhir – saya turut terhibur melihat lagaknya sebagai ceti ketika menyampaikan lagu berbahasa Telugu berjudul Golimar, yang asalnya dipopularkan oleh P.S. Balasubrahmanyam.

Saya berasa kekuatan Eiss paling menyerlah apabila beliau tampil lebih santai dan tidak terlalu membebankan diri dengan konsep yang berat, sekali gus membiarkan sisi penghiburnya menonjol secara semula jadi.

Dalam detik itu, persembahannya terasa lebih hidup dan mudah dinikmati.

Berbanding dengan persembahannya menerusi lagu Destinasi Cinta (Minggu Ke-10), nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza, saya berasa Eiss seolah-olah terlalu mencuba untuk membuktikan sesuatu, sehingga ada sedikit rasa yang kurang kena dalam penyampaian dari segi persembahan pentas.

Sebagaimana komen juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat, yang menyifatkan persembahan pentas Eiss ‘cantik’, namun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, khususnya dari segi raut wajah dan pemahaman hubungan antara lagu dengan instrumen muzik.

Saya berharap Eiss dapat memilih lagu yang benar-benar mencerminkan dirinya sendiri, bukan kerana tekanan atau keinginan membuktikan kemampuan, kerana pada hakikatnya beliau lebih daripada mampu.

Di sisi lain, Nubhan muncul sebagai saingan sengit bagi Eiss kerana memiliki mutu vokal yang cukup ampuh serta penghayatan lagu yang mendalam.

Kalau bab balada atau pop Melayu, memang ‘makanan’ jiwanya.

Walaupun Nubhan diulit cabaran dan ujian dalam kehidupan peribadinya dengan kisah perceraiannya dengan doktor gigi, Dr Fie, menjadi perbualan netizen, namun beliau terbukti sebagai peserta yang ‘steady’ mengungguli carta tiga teratas.

Trio Mendua juga merupakan pesaing yang berkobar-kobar menunjukkan kesungguhan untuk masuk ke peringkat akhir GV12.

Sebagai satu-satunya peserta berkumpulan yang paling menyeronokkan untuk ditonton bagi musim ini, mereka sering mempertaruhkan harmoni yang kuat dan dinamik pentas yang unik.

Kumpulan Indonesia yang dianggotai Hendra Purnanto (Pungky), Diana Puspitasari (Diana) dan Marisha Friska Halauwet (Sasha) mula dikenali di Malaysia dan Singapura sebagai naib juara satu lagi program realiti TV3, Gang Starz pada 2007.

Mereka kemudian merakam lagu runut bunyi (OST) filem Duyung, Hampir Ke Situ, yang penuh inspirasi pada 2008 dan digelar kumpulan ‘one hit wonder’.

Ini memandangkan mereka terkenal, cuma untuk satu lagu sahaja.

Antara yang saya kagumi tentang Mendua ialah semangat mereka yang tidak mudah patah.

Walaupun kehilangan ibu (Pungky) dan bapa (Diana) dalam tempoh dua minggu berturut-turut (Minggu Keempat dan Kelima), mereka terus kuat meneruskan perjuangan dalam GV12, malah berjaya menduduki tempat pertama pada Minggu 10.

Saya juga masih ingat prestasi mereka pada minggu pertama yang menempatkan mereka di tangga teratas dengan markah setinggi 69.5 peratus.

Ketika itu, mereka mempertaruhkan lagu Hampir Ke Situ.

Ketua Juri, Datuk Ramli MS, turut memuji tenaga vokal serta kehadiran pentas mereka yang mengagumkan, sambil menegaskan walaupun sudah 18 tahun tidak menyanyi secara berkumpulan, bakat dan kesenian mereka tetap menyerlah.

Beliau turut kagum dengan cara mereka membahagikan bahagian lagu sehingga setiap anggota kelihatan mempunyai peranan penting.

Itulah kekuatan Mendua, dan jangan terkejut jika mereka berjaya menjuarai GV12, sekali gus mencatat sejarah sebagai kumpulan pertama dan bintang Indonesia pertama yang merangkul gelaran juara di GV.

Selain tiga nama di atas, peserta seperti Mark Adam, Shae, Mel Sakura dan Ruri Repvblik, yang turut bertanding di pusingan separuh akhir pada 11 Januari juga menunjukkan peningkatan ketara dari minggu ke minggu.

Setiap daripada mereka hadir dengan tona suara dan identiti tersendiri, menampilkan gaya dan keunikan yang berpotensi menjadi peserta pilihan ‘wildcard’, mengejutkan penonton dan juri pada saat-saat akhir pertandingan.

Ramalan awal saya menempatkan Eiss, Nubhan dan Mendua sebagai tiga peserta terbaik yang berpotensi bergelar juara GV12.

Namun, gelaran itu tidak ditentukan semata-mata oleh kekuatan vokal, sebaliknya turut bergantung kepada penghayatan, pemilihan lagu, persembahan pentas, serta keupayaan membina hubungan dengan penonton.

Tapi sebelum itu, kita tunggu keputusan peringkat separuh akhir bagi menentukan siapa layak terpilih ke peringkat akhir GV12 nanti.

Pusingan akhir GV12 akan berlangsung pada 18 Januari dan disiarkan di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV), 9 malam. – Ainin Alfiyani Jailani

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg