Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Demi sokong Iskandar Ismail, peminat ‘Eissentials’ rela ulang-alik S’pura-KL

Aura tenang, penuh wibawa bak Anuar Zain buat peminat ‘melekat’
Jan 18, 2026 | 5:30 AM
Peminat Iskandar Ismail, yang digelar ‘Eissentials’, mengakui aura tenang dan berwibawa beliau menjadi daya tarikan utama. Salah seorang peminat Iskandar, Cik Zahariah Alang Mohamed (lima dari kiri), sanggup berulang alik dari Singapura ke Kuala Lumpur demi memberi sokongan kepada idolanya.
Peminat Iskandar Ismail, yang digelar ‘Eissentials’, mengakui aura tenang dan berwibawa beliau menjadi daya tarikan utama. Salah seorang peminat Iskandar, Cik Zahariah Alang Mohamed (lima dari kiri), sanggup berulang alik dari Singapura ke Kuala Lumpur demi memberi sokongan kepada idolanya. - Foto ihsan ZAHARIAH ALANG MOHAMED

Walaupun terpaksa menempuh perjalanan selama lima jam dari Singapura ke Kuala Lumpur, semangat pegawai temu duga pembantu rumah, Cik Zahariah Alang Mohamed, 60 tahun, tetap tidak luntur.

Pengorbanan ini khusus dilakukan demi menunjukkan sokongan kepada idolanya, penyanyi Singapura sekaligus juara SG Mania (Musim Pertama) pada 2014, Iskandar Ismail, di Gegar Vaganza 12 (GV12).

Menurut Cik Zahariah yang merupakan sebahagian daripada peminat Iskandar dari kelab peminat, Eissentials, beliau sudah lebih empat kali menempuh perjalanan ke Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia, tempat berlangsungnya GV12, semata-mata untuk memberi sokongan kepada Iskandar, 47 tahun.

“Memang terasa penat, namun semua usaha itu berbaloi!

“Dalam pada itu, saya juga perlu membahagikan masa dengan komitmen kerja.

“Alhamdulillah, setakat ini sudah lebih empat kali juga ‘turun naik’ ke Kuala Lumpur, dan MBSA bagi memberi sokongan kepada Eiss (panggilan buat Iskandar),” kata Cik Zahariah ketika dihubungi Berita Minggu (BM), baru-baru ini.

Di samping itu, ibu empat anak itu berkata walaupun GV12 berlangsung setiap Ahad sejak 2 November 2025, beliau sanggup bersengkang mata pada keesokan hari dek perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Singapura, demi menjalankan tanggungjawab pekerjaannya.

Meskipun Cik Zahariah tidak berpeluang menonton secara langsung pusingan akhir GV12, yang berlangsung mulai 9 malam, 18 Januari ini, beliau ingin luangkan masa memberi sokongan kepada Iskandar di MBSA, sewaktu raptai penuh diadakan pada 17 Januari.

“Saya bekerja sepenuh masa dan memang tidak mempunyai banyak cuti untuk ke Shah Alam setiap minggu.

“Saya turut terkilan kerana tidak dapat memperolehi tiket bagi menonton Eiss di pusingan akhir GV12.

“Namun begitu, saya tetap akan ‘turun’ ke MBSA, dan memberikan sokongan padanya sewaktu latihan diadakan sehari sebelum pertandingan,” katanya lagi.

Cik Zahariah mula mengenali Eiss melalui anak sulungnya, 42 tahun, seorang kakitangan kru bunyian dalam acara seni.

Menyentuh perasaannya ketika melihat nama Iskandar semakin bersinar dalam industri hiburan Malaysia sejak menyertai GV12, Cik Zahariah akur tidak dapat menahan rasa bangga yang semakin membuak-buak.

“Sebenarnya, bakat anak seni Singapura memang ramai dan bermutu. Cuma mungkin kurang wadah besar untuk diketengahkan.

Pegawai temu duga pembantu rumah, Cik Zahariah Alang Mohamed (dua dari kanan) sanggup berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur, demi memberi sokongan kepada idolanya, Iskandar Ismail (tiga dari kanan), yang kini berjuang dalam pusingan akhir program ‘Gegar Vaganza 12 (GV12). Bersama Cik Zahariah ialah peminat Eiss yang hanya ingin dikenali sebagai (dari kiri) Cik Dessy, Cik Zai, Cik Badariah, dan Cik Amna.
Pegawai temu duga pembantu rumah, Cik Zahariah Alang Mohamed (dua dari kanan) sanggup berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur, demi memberi sokongan kepada idolanya, Iskandar Ismail (tiga dari kanan), yang kini berjuang dalam pusingan akhir program ‘Gegar Vaganza 12 (GV12). Bersama Cik Zahariah ialah peminat Eiss yang hanya ingin dikenali sebagai (dari kiri) Cik Dessy, Cik Zai, Cik Badariah, dan Cik Amna. - Foto ihsan ZAHARIAH ALANG MOHAMED

“Namun, apabila mereka diberi peluang dan dihargai di seberang, ia satu kebanggaan buat kami semua, khususnya dalam kalangan peminat Eiss yang digelar, ‘Eissentials’,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Kelab Peminat Eissentials, Encik Mohamad Alif Hakimie Abdullah, 26 tahun, yang bertanggungjawab menyatukan peminat Iskandar serta memastikan sokongan berterusan, mengakui sebelum ini beliau tidak mengenali idolanya secara dekat.

“Sejujurnya, saya tidak mengenali Iskandar sebelum ini, tetapi melalui GV12, saya mula meminati cara beliau menyanyi dan mempersembahkan lagu.

“Persembahannya pada minggu kedua GV12, menyanyikan Warisan Wanita Terakhir (nyanyian asal kumpulan Teacher’s Pet), meyakinkan saya beliau akan pergi jauh.

“Pada mulanya, beliau kelihatan agak kurang yakin tetapi selepas minggu pertama, vokalnya konsisten dan rata-rata persembahannya amat padu.

“Iskandar juga sangat merendah hati. Memang seronok menyokong artis seperti ini!

“Beliau mempunyai aura penyanyi yang tenang dan santai – tidak perlu banyak gaya, tetapi tetap mampu menambat hati penonton.

“Pesonanya tenang seperti Anuar Zain, dan penuh perasaan seperti Datuk Jamal Abdillah, namun tetap mengekalkan identiti tersendiri,” kata Encik Alif, penyunting video media sosial dari Johor Bahru.

Berkongsi lanjut tentang Kelab Peminat Eissentials, sehingga akhbar ini diterbitkan, Encik Alif akur jumlah peminat kian meningkat dengan 2,029 pengikut di laman Instagram dan 447 ahli di aplikasi Telegram.

Di ambang pusingan akhir GV12, acara ‘meet-and-greet’ atau kenal suai yang mengumpulkan Iskandar dan peminatnya masih lagi dalam perancangan.

Pada masa sama, Encik Alif berkata penyertaan Iskandar dalam GV12 memberi peluang luas baginya menarik peminat baru, khususnya di luar Singapura.

“GV12 membuka peluang baru yang sangat besar untuk Iskandar meraih peminat, bukan sahaja di Singapura dan Malaysia, malah di Nusantara.

“Ramai juga yang mula mengenalinya selepas menyertai GV12.

“Selepas GV12, kami berharap beliau kekal aktif dengan mengeluarkan lagu baru dan membuat lebih banyak persembahan di luar.

“Jika beliau dinobatkan juara, Eissentials akan terus memberi sokongan sepanjang perjalanan kerjayanya sebagai artis,” pesan Encik Alif penuh harapan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg