SPH Logo mobile
Langgan|

Dianggap ‘fashionista,’ Syafinaz rebut peluang teroka gaya baru

Dianggap ‘fashionista,’ Syafinaz rebut peluang teroka gaya baru

Penyanyi yang juga guru vokal jaga penampilan, aset penting seorang artis selain asah bakat
Mar 1, 2026 | 5:30 AM

Dianggap ‘fashionista,’ Syafinaz rebut peluang teroka gaya baru

syafinaz selamat, juri GV
Bagi penyanyi dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat, program realiti anjuran Astro, ‘Gegar Vaganza’, membuka peluang bagi dirinya untuk meneroka gaya dan penampilan yang luar daripada kebiasaan. - Foto INSTAGRAM SYAFINAZ SELAMAT

Selain kritikannya yang kerap menjadi perbualan dalam kalangan netizen, penyanyi dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat, turut mencuri tumpuan menerusi penampilan busana memikat dalam program realiti terbitan Astro, Gegar Vaganza 12 (GV12), yang telah melabuhkan tirainya pada Januari lalu.

Apabila ditanya Berita Minggu (BM) tentang pandangan dirinya sering dianggap sebagai ‘fashionista’ atau paling bergaya, Syafinaz, 53 tahun, berkata:

“Saya rasa peluang berada di GV bagi saya, adalah untuk berseronok.

“Bukan sahaja sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai juri tetap, malah saya juga diberi ruang untuk bergaya.

“Tidak banyak program di kaca televisyen yang memberi peluang untuk kita meneroka dengan penampilan yang berbeza daripada kebiasaan.

“Jadi, saya manfaatkan kesempatan itu untuk turut berkarya dari sudut fesyen.”

Ketika ditemui BM di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor, semasa sidang media akhir GV12, baru-baru ini, beliau tampil manis menggayakan gaun berhias perincian bunga berona perak yang menyerlahkan lagi keanggunannya.

Pada usia 50-an tahun, Syafinaz turut menitikberatkan penjagaan kesihatan dan kecantikan, selain mengamalkan gaya hidup sihat sebagai rahsia agar kekal awet muda.

“Dalam industri seni, salah satu perkara penting yang perlu dilakukan oleh seorang artis adalah menjaga diri sendiri.

“Orang bukan sahaja menilai bakat, malah melihat bagaimana kita membawa diri dari segi tutur kata dan penampilan.

“Jadi, saya ‘invest’ (labur) dalam diri sendiri, bukan hanya untuk kesihatan minda dan pengembangan bakat, malah demi kesejahteraan diri secara menyeluruh.

“Contohnya, demi kesihatan, saya lakukan latihan kekuatan kerana pada usia ini, ia sangat penting.

“Selain itu, saya mengambil suplemen, mengamalkan pemakanan sihat, menggunakan produk penjagaan kulit berasaskan perubatan, serta rawatan kulit wajah secara rutin,” kata Syafinaz.

Ketika diminta menilai potensi dan kemantapan vokal yang ditampilkan juara GV12, Iskandar Ismail dan juara GV6, Hady Mirza (GV6); dan GV8, Aliff Aziz, Syafinaz akur Singapura sebenarnya tidak ketandusan bakat.

Malah, sebagaimana dibuktikan oleh ketiga-tiga penyanyi itu, mereka berhasil menunjukkan disiplin serta semangat juang yang cukup luar biasa, sekali gus mengharumkan nama Singapura.

“Sudah pasti perkara ini mencerminkan penyanyi dari Singapura sebenarnya mempunyai potensi dan mutu yang tidak kurang hebatnya.

“Salah satu kelebihannya adalah semangat juang yang tinggi untuk membuktikan mereka juga mampu berdiri sebaris dengan penyanyi dari negara lain.

“Walaupun mereka datang dari negara yang kecil, tekad dan daya tahan mereka ternyata cukup besar dan mengagumkan,” ujarnya, yang pernah menjadi juri program realiti hiburan Singapura, Kaki Nyanyi, pada 2025.

Awal 2026, Syafinaz menetapkan azam untuk lebih menumpukan perhatian kepada diri sendiri, walaupun masih menggalas amanah sebagai Profesor Adjung di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim, Perak, dan mengimbangi komitmen dalam kerjaya seni.

Beliau akur sebelum ini pernah cuba menumpukan perhatian pada diri sendiri, tetapi tidak berjaya kerana terikat dengan tanggungjawab yang perlu diselesaikan.

“Sebelum ini, saya cuba fokus pada diri sendiri tetapi sukar kerana selain menyanyi, saya juga mengajar individu daripada pelbagai peringkat termasuk artis, kanak-kanak, paduan suara dan penuntut universiti.

“Tahun ini (2026), saya ingin memberi tumpuan lebih kepada diri sendiri walaupun sejak Januari lalu pun sudah dipenuhi kegiatan lain.

“Saya akan cuba sedaya upaya untuk fokus, dan jika diizinkan Tuhan, insya-Allah saya berharap dapat mengeluarkan single baru,” ujarnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg