KUALA LUMPUR: Penyanyi dan guru vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat, telah dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Tanjung Malim, Perak, mulai 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2026.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata pelantikan itu adalah satu penghormatan besar daripada universiti buat Syafinaz.
Selain itu, ia selaras dengan usaha universiti membawa tokoh industri seni untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka dalam bidang akademik.
“Beliau (Syafinaz) adalah figura seni yang mempunyai reputasi tinggi bukan sahaja sebagai penyanyi dan penggiat seni, tetapi juga pendidik berpengalaman luas.
“Kehadiran beliau akan membuka ruang bagi pertukaran idea, inovasi dalam pembelajaran dan penghasilan karya seni bermutu tinggi,” kata Profesor Md Amin dalam satu kenyataan pada 9 Ogos.
Beliau berharap pelantikan tersebut dapat menjadi pemangkin kepada penghasilan bakat baru yang mempunyai daya saing lebih tinggi di peringkat sejagat, khususnya dalam bidang muzik dan seni persembahan.
Sementara itu, Dekan FMSP UPSI, Profesor Madya Dr Muhammad Fazli Taib Saearani, berkata pelantikan Syafinaz selama setahun diyakini dapat memperkukuh hubungan strategik antara fakulti dan industri muzik, di samping memperkaya aktiviti akademik, penyelidikan serta seni persembahan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Kami melihat pelantikan ini sebagai peluang besar membina jambatan antara dunia akademik dan industri muzik profesional,” kata Profesor Muhammad Fazli.
Selain itu, menurut beliau, pelantikan Syafinaz akan memperkaya kurikulum melalui perkongsian pengalaman, sesi bimbingan, bengkel vokal dan projek kerjasama melibatkan pelajar serta tenaga pengajar.
“Dengan jaringan profesional yang dimiliki, fakulti ini diyakini berpeluang membina kerjasama antarabangsa sekali gus mengangkat jenama UPSI di pentas sejagat,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg