Iskandar Ismail dinobat juara Gegar Vaganza 12: ‘Kalau Abah ada, mesti dia bangga’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iskandar Ismail dinobat juara Gegar Vaganza 12: ‘Kalau Abah ada, mesti dia bangga’

Juara GV S’pura ketiga selepas Hady Mirza dan Aliff Aziz
Jan 19, 2026 | 12:55 AM

Iskandar Ismail dinobat juara Gegar Vaganza 12: ‘Kalau Abah ada, mesti dia bangga’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Iskandar Ismail (Eiss) bergenangan air mata gembira dan bersyukur di atas peluang dan kesempatan yang diberi untuk bertanding dan menjuarai Gegar Vaganza 12 (GV12).
Iskandar Ismail (Eiss) bergenangan air mata gembira dan bersyukur di atas peluang dan kesempatan yang diberi untuk bertanding dan menjuarai Gegar Vaganza 12 (GV12). - Foto TANGKAP LAYAR ASTRO RIA

Tatkala namanya diumumkan sebagai juara Gegar Vaganza 12 (GV12), anak watan Singapura, Iskandar Ismail, terkenangkan ayahnya, Allahyarham R. Ismail, penyanyi lagu klasik, Gurindam Jiwa.

“Saya rasa kalau abah saya masih ada, beliau pasti bangga.

“Ucapan terima kasih juga buat isteri dan anak-anak saya...anak sulung dan isteri,” kata Iskandar, 47 tahun, sejurus selepas diumumkan sebagai juara.

Acara peringkat akhir pertandingan nyanyian itu ditayangkan secara langsung di saluran Astro pada malam 18 Januari.

Iskandar mendapat markah 78.1 peratus dan merupakan bintang Singapura ketiga yang bergelar juara menyusuli Hady Mirza (GV6) dan Aliff Aziz (GV8).

Beliau menerima hadiah wang tunai juara bernilai RM100,000 ($31,758).

Ketua Juri, Datuk Ramli MS, berpuas hati dengan persembahan bertenaganya ketika menyanyikan lagu dendangan asal Ziana Zain, Madah Berhelah.

Sambil tersenyum, beliau berkata, “Persembahan Eiss (Iskandar Ismail) tetap ganas...ganas...ganas...Saya beri air, biar dia minum sedikit sebab saya takut sampai dia pengsan! Tarik suara sampai urat nak terkeluar.

“Semasa latihan, tak setinggi ini. Ini tinggi betul!”

Juri dari Indonesia, Hetty Koes Endang, pula memberikan Iskandar laungan ‘gebrek’ sambil berpesan agar Iskandar terus menjadi ‘jam terbang’ (menyanyi ke sana sini di acara buat khalayak ramai) dan merakam album, untuk menjadi penyanyi berjaya.

Duet Iskandar bersama juara GV9 dan All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Jaclyn Victor, yang merupakan sahabat lamanya sejak dua dekad lalu, dalam lagu Datuk Awie dan Ziana, Senja Nan Merah, turut mendapat tepuk sorak gemuruh daripada penonton.

Beliau kemudian memaparkan vokalnya yang mantap bagi lagu Cerita Kedai Kopi dalam pusingan ‘battle’ bersama Mell Sakura dan Nubhan.

Sejurus diumumkan sebagai juara, Iskandar turut mengucapkan terima kasih kepada tiga juri yang dianggap bertauliah, Datuk Ramli, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.

“Mereka bertauliah. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka dan saya harap tidak akan ada ‘haters’ selepas ini (yang mempertikai keputusan juri),” ujarnya.

Iskandar juga melahirkan penghargaannya kepada pihak penerbitan GV12, kumpulan peminatnya yang digelar Eissentials, serta pihak pengurusannya MindOrder Management.

Menurutnya, ketika menanti keputusan dengan penuh debaran, beliau mengelakkan daripada melihat skrin raksasa. Apabila peminatnya terpekik, itulah detik yang tidak dapat dilupakannya apabila diumumkan sebagai juara GV12.

Kesan GV12 begitu terasa apabila beliau mendapati jumlah pengikut Instagram dan TikTok-nya bertambah.

Dalam pada itu, penggiat seni Singapura turut menyokong persembahan Iskandar.

Pelakon dan usahawan, Lydia Izzati, mengulas di akaun Instagram Astro Gempak: Versi Senja Nan Merah Eiss dan Jaclyn Victor buat bulu roma saya berdiri! Pastinya adalah persembahan cemerlang...gerenti menang! Kita ada juara di sini!”

Pengacara, Marina Yusoff pula menambah: “Ini baru sama ‘level’. Kededuanya ‘sedap’...100 per 100!”

Di sidang media yang berlangsung di MBSA, Ramli mengulas kemenangan Iskandar seraya berkata: “Dari lirik pertama hingga akhir, Wow!”

Syafinaz menambah: “Pada saya, kemenangannya adalah kerana kemantapan dari persembahan pertama hingga ketiga.

“Dari segi vokal nampak semua orang mencuba menampilkan terbaik. Tapi malam ini rezeki Iskandar. Rezeki Iskandar untuk mendapat markah setinggi itu.

“Rasanya Iskandar perlu ke Malaysia dan melebarkan sayap dan kerjaya di sini.

“Saya rasa awak (Iskandar) harus muncul dengan ‘single’ baru sekarang!”

Sebelum ini, Iskandar yang pernah menjuarai peraduan SG Mania (Musim Pertama) pada 2014, dalam satu wawancara awal, melahirkan hasrat untuk terus berkarya di Malaysia, apatah pula kini bernaung di bawah MindOrder selepas hampir 25 tahun menyanyi malam di Singapura.

Naib juara pula jatuh kepada kumpulan Mendua, trio dari Indonesia, yang terdiri daripada Sasha, Pungky dan Diana. Mendua mendapat 74.4 peratus.

Persembahan mereka yang padu sehingga mendapat pujian Hetty sebagai “kumpulan terbaik” yang pernah disaksikan di pentas Gegar Vaganza (GV) sewaktu membawa lagu Judika, Jikalau Kau Bercinta.

Mereka kemudian berpadu suara dengan Marsha Milan Londoh, menerusi lagu Michael Jackson, Billie Jean.

Menurut Ramli, ini merupakan kali pertama lagu Jackson dibawa ke pentas GV kerana isu hakcipta yang tidak membolehkannya digunakan sebelum ini.

Mendua memberi saingan mantap, membuktikan mereka mempunyai keupayaan membawa pelbagai genre lagu, apabila melalui pusingan ‘battle’ bersama Mark Adam dan Ruri Repvlik, menerusi lagu Joe Flizzow dan SonaOne, Evo.

Selain mendapat pujian ‘Gebrek’ daripada Hetty, Ramli juga berpuas hati dengan pencapaian kumpulan ini yang pernah mencipta nama sebagai Naib Juara pertandingan TV3, Gang Starz, pada 2007, dan menghasilkan satu ‘single’ terkenal, Hampir Ke Situ (runut bunyi filem Duyung).

Menyusuli peraduan itu, mereka berhenti berkarya sebagai sebuah kumpulan, dengan tidak bertemu selama 18 tahun.

Sinergi mereka, bagaimanapun, masih terasa dengan Sasha, seorang pakar bedah; Diana, suri rumah dan usahawan, serta Pungky, vokalis kumpulan Kahitna, memberi komitmen terbaik, bahkan pernah jadi juara mingguan GV12 sebanyak tiga kali.

Dalam pada itu, Nubhan yang konsisten di tiga tangga pertama kecuali pada peringkat separuh akhir di mana beliau jatuh ke tempat kelima, muncul sebagai pemenang tempat ketiga. Beliau mendapat 70.48 peratus.

Mark yang saban minggu selama 12 minggu meraih Anugerah Ikon Semangat Nombor 1 CelcomDigi (daripada undian peminatnya dari The Adam Family) pula diumumkan sebagai pemenang tempat keempat, dengan markah 68.85 peratus.

Mell Sakura yang merupakan peserta ‘dark horse’ berpuas hati dengan tempat kelima, dengan 66.08 peratus, manakala tempat keenam jatuh kepada Ruri, yang mendapat 64.73 peratus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg