KUALA LUMPUR: Penyanyi Didi Astillah tampil memohon maaf jika video gurauan atau ‘prank’ sempena sambutan ulang tahun ibunya yang tular di media sosial menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.

Didi atau nama sebenarnya Dayang Nazilah Awang Astillah, 30 tahun, berkata beliau menghormati setiap pandangan, namun menjelaskan gurauan sebegitu bukan sesuatu yang baharu dalam keluarganya, lapor BH Online.

“Pada yang tidak tahu, ini bukanlah perkara baharu atau kali pertama saya buat.

“Mungkin pengikut yang sudah lama mengikuti saya pernah melihat perkara sama sebelum ini, cuma ketika itu kurang mendapat perhatian,” katanya menerusi hantaran di Instagram, baru-baru ini.

Menurut adik kepada penyanyi dan pelakon Bella Astillah itu, majlis sambutan berkenaan sebenarnya berlangsung di sebuah bilik persendirian yang ditempah khas dan tidak membabitkan pelanggan lain.

Katanya, rakaman video yang menjadi tular itu pula dimuat naik tanpa pengetahuannya oleh salah seorang ahli pasukan yang turut berada di lokasi berkenaan.

“Apa pun, saya minta maaf jika ada pihak yang kurang selesa.

“Untuk pengetahuan semua, kami sudah menempah tempat itu secara tertutup dan ada ahli pasukan yang memuat naik video itu tanpa bertanya terlebih dahulu.

“Mereka juga sudah memohon maaf,” katanya.

Dalam pada itu, Didi turut meminta orang ramai supaya tidak mengaitkan ahli keluarganya dengan isu berkenaan, termasuk tunang kakaknya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Abang Saddiq okey sahaja. Janganlah kaitkan keluarga kerana setiap keluarga berbeza caranya,” katanya.

Terdahulu, video sambutan hari jadi ibu Didi menjadi perhatian netizen selepas memaparkan situasi yang pada mulanya dilihat seperti pertengkaran, sebelum didedahkan sebagai gurauan yang dirancang.