Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dina Nadzir terima anugerah graduan kelas pertama, kenang arwah bapa

Nov 14, 2025 | 1:43 PM
dinar nadzri
Dina Nadzir menerima anugerah Graduan Kelas Pertama dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 13 November. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK SINAR

Penyanyi dan juga penyampai radio Sinar FM di Malaysia, Dina Nadzir, 40 tahun, mendedikasikan kejayaan meraih anugerah Graduan Kelas Pertama program sambilan di Pusat Pendidikan Profesional dan Berterusan (Pace), dari Universiti Utara Malaysia (UUM) buat bapanya, Allahyarham Mohd Nadzir Gulam Kadir.

Dina atau nama sebenarnya, Faradina Mohd Nadzir, menghadiri majlis konvokesyen yang berlangsung di UUM Sintok, Kedah pada 13 November untuk menerima anugerah tersebut.

Menerusi gambar anugerah yang dimuat naik di InstaStory miliknya, penyampai radio Sinar itu berharap kejayaannya secara tidak langsung dapat membanggakan arwah bapanya yang ingin beliau menyambung pengajian ke peringkat ijazah.

“Abah... Sejak habis diploma, abah asyik tanya Ana, ‘Bila Ana nak sambung belajar?’ ‘I’ve completed my degree abah. I hope you’re proud of me. I miss you everyday’,” tulisnya di laman media sosial.

Sementara itu, pada hantaran lain di Instagram (IG), Dina memaklumkan anugerah Graduan Kelas Pertama itu bukan sekadar gelaran semata-mata baginya.

“Tapi simbol ketabahan, usaha dan semangat saya yang luar biasa.

“Semoga setiap langkah saya selepas ini terus dipenuhi kejayaan dan kebahagiaan,” tulisnya yang kini merupakan siswazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif dengan Kepujian di UUM.

Menurut Dina, dalam kesibukan jadual kerjanya yang padat memanjang, beliau memang tidak pernah menjangkakan akan berjaya meraih anugerah berkenaan.

Bapa kepada mantan peserta, Gegar Vaganza musim kesembilan itu, meninggal dunia akibat masalah paru-paru pada 23 Oktober 2022.

Dina juga adalah Naib Juara Malaysia Idol musim pertama dan juga mempunyai lagu duet bersama penyanyi asal Singapura, Hazrul Nizam, berjudul Berat Hati.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg